KUALA LUMPUR: Jemaah Haji Malaysia yang kini berkumpul di Tanah Suci diseru menyuarakan keprihatinan mereka terhadap isu penjajahan Baitul Maqdis dan Masjid Al Aqsa As-Sharif oleh rejim Zionis.
Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, ibadah haji melambangkan perpaduan ummah dan perlu berdiri teguh selain tidak berkompromi terhadap ketidakadilan dan pemerintahan zalim oleh musuh Islam.
“Dengan perpaduan sebagai kekuatan utama ummah dalam menghadapi agenda Zionis dengan kekuatan hegemoni barat yang (terus) bersekongkol, ummah mesti digerakkan untuk membebaskan Palestin daripada penjajahan berterusan.
“Kami juga menolak usaha untuk tunduk kepada kekuatan Zionis yang dipromosikan Amerika Syarikat dalam mengiktiraf dan menormalisasikan (hubungan) dengan negara pengganas haram Israel,” ujarnya.
Azmi yang juga Penyelaras Tindakan Haji Bersama untuk Perpaduan Ummah bagi Pembebasan Palestin berkata, pihaknya mengecam kuasa imperialisasi Barat, terutama AS dan United Kingdom atas sokongan yang berterusan dalam membenarkan pembunuhan beramai-ramai di Palestin.
Malah ujarnya, MAPIM juga menyeru semua negara Islam untuk bertindak dengan sepenuh tenaga bagi menekan AS dan sekutunya agar menghentikan Israel daripada meneruskan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan penempatan haram di Tebing Barat.
“Kami membantah sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan ganas di dalam dan sekitar masjid Al Aqsa.
“Pada masa sama, kami menuntut negara Islam untuk menghentikan sebarang urusan yang menormalisasikan hubungan dengan Israel dan menentang pemimpin-pemimpin yang mengkhianati amanah ummah untuk mempertahankan Islam dan menuntut kembali hak-hak rakyat Palestin yang tertindas,” ujarnya.
Selain itu tegasnya, tahun ini juga diharap menjadi pengisytiharan kuat kebangkitan ummah untuk menghancurkan penjajahan Palestin dan mengakhiri rejim zalim Israel.
Justeru katanya, MAPIM menggesa semua masyarakat Islam dan organisasi Islam di seluruh dunia untuk bangkit menentang kekejaman ini.
“Kami mencadangkan satu mesyuarat di peringkat antarabangsa mengenai haji dan manifestasi perpaduan ummah dianjurkan untuk mengukuhkan komitmen setiap negara Islam bagi memperjuangkan hak-hak pembebasan Palestin.
“Kami juga menuntut pelan tindakan konkrit daripada semua negara Islam untuk melaksanakan langkah-langkah berkesan dan bergabung dengan semua badan dunia bagi menghadapi cabaran agenda Zionis,” jelasnya. – Astro Awani
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM