Mina: Keadaan sesak dan sempit tidak menjadi halangan jemaah haji Malaysia untuk terus menjaga kebersihan dan berdisiplin dalam tempoh operasi Masyair.
Sebaliknya ia memberi semangat untuk mereka memastikan penginapan di Arafah, Muzdalifah dan Mina selesa untuk diduduki dalam tempoh persiapan operasi Masyair.
Tinjauan Bernama mendapati sesetengah khemah jemaah haji Malaysia di Arafah ditinggalkan dalam keadaan lebih bersih berbanding sebelum ketibaan mereka, malah ada yang bergotong-royong menyusun tilam, selimut serta bantal dengan lebih kemas dan teratur sebelum berangkat ke Muzdalifah.
Ketika bermabit (bermalam) di Muzdalifah pula, rata-rata jemaah membawa plastik sampah masing-masing dan memastikan tiada sisa sampah sebelum bergerak ke Mina dengan menaiki bas.
Dicelah laluan khemah-khemah di Mina yang sempit juga menunjukkan tiada pembuangan sampah-sarap merata-rata dan TH menyediakan tong sampah di pelbagai lokasi.
Kebanyakan khemah jemaah membuat peraturan tersendiri dalam mematuhi penjagaan kebersihan hingga ada yang menyusun selipar dengan teratur di dalam serta di luar khemah.
Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata beliau terharu dengan sikap yang ditunjukkan jemaah haji malah Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi sentiasa memuji dan menganggap jemaah Malaysia adalah contoh terbaik.
Katanya, disiplin tinggi jemaah Malaysia telah diketengahkan dalam Program Kebersihan Masyair dan ternyata sikap itu berjaya membentuk keperibadian terpuji seperti mana misi program tersebut iaitu Kebersihan Mencerminkan Kemabruran Haji.
“Ketika jemaah haji berada di Arafah, sebelum mereka berangkat ke Muzdalifah mereka telah membersihkan perkhemahan dengan bersih dan kita dapat lihat usaha yang telah dilaksanakan.
“Begitu juga ketika di Muzdalifah, jemaah haji telah memberi kerjasama terhadap program ini. Di Mina mereka akan tinggal lebih lama iaitu antara tiga ke empat hari, tempoh agak lama untuk mereka bersihkan di bilik air, kawasan dalam khemah dan lorong-lorong khemah”, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tersebut.
Di Arafah sebanyak 200 khemah disediakan untuk jemaah Malaysia dan di Muzdalifah, jemaah haji perlu bermabit beralaskan tikar di kawasan lapang.
Keadaan di Mina agak mencabar kerana bukan sahaja membabitkan 600 khemah untuk jemaah Malaysia tetapi juga berada dalam kawasan yang sangat hampir dengan khemah umat Islam negara lain. – My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM