TELUK INTAN – Jeritan dua pelajar menyelamatkan sebahagian pelajar perempuan asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Al Islah Sungai Lampam di sini, yang terbakar petang semalam.
Bagaimanapun tiada kecederaan dalam kebakaran yang dikesan kira-kira 2.30 petang itu serta difahamkan ketika kejadian, sebahagian pelajar baharu sahaja pulang ke asrama berkenaan kerana sesi pembelajaran sudah berakhir.
Saksi kejadian Nurul Nadiah Ahmad Nazeli, 15 ketika ditemui berkata beliau telah terlihat asap kecil dari tengah blok atas asrama tiga tingkat sebelum memanggil rakannya Nur Fazira Yakaria, 15, yang ketika itu baharu selesai menunaikan solat Zohor di surau asrama itu.
“Masa itu saya baharu sahaja pulang dari menikmati juadah tengah hari di kantin sekolah dan menuju ke surau menunaikan solat Zohor.
“Tanpa berlengah saya dan Fazira terus menjerit daripada bawah memanggil rakan-rakan yang sedang beristirehat di tingkat dua supaya turun kerana bahagian atas yang juga bilik belajar kami waktu malam sedang terbakar,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, semalam.
Katanya, rakan-rakannya yang mendengar jeritannya itu segera turun menyelamatkan diri sambil memastikan tiada penghuni asrama di tingkat dua ketinggalan.
Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat (BBP) negeri Perak Datuk Yahaya Madis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.30 petang dan 30 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan bangunan asrama di tingkat atas. BBP Teluk Intan telah dibantu BBP Hutan Melintang dan BBP Tapah serta Bomba Sukarela Langkap.
Api dapat dikawal pada jam 3.27 petang dan kebakaran padam sepenuhnya pada jam 4 petang,” katanya.
Beliau berkata, punca kejadian masih lagi dalam siasatan dan pihaknya dimaklumkan ruangan kebakaran adalah kelas belajar malam bagi pelajar perempuan asrama sekolah itu yang berjumlah 63 orang. – Bernama
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)