‘Jiwa tenang selepas memeluk Islam’

 

KOTA BHARU: “Walaupun disisih keluarga, malah pernah dipukul kerana mahu memeluk Islam, itu menjadi kekuatan saya untuk terus mendalami ajaran Islam,” kata Muhammad Sufian Abdullah, 29.

Menurut Muhammad Sufian, dia menganggap apa yang berlaku itu adalah sebagai ujian dan setiap hari memohon doa kepada Allah SWT supaya dia terus istiqamah untuk mendalami Islam.

Katanya, hidupnya sentiasa dikelilingi rakan Melayu dan sering melihat bagaimana kehidupan orang Islam.

“Saya mula tertarik dengan Islam ketika berusia 15 tahun selepas menyertai kursus kepemimpinan anjuran sekolah dan waktu itu sering ditinggalkan bersendirian sementara menunggu rakan-rakan beragama Islam selesai menunaikan solat.

“Apabila pulang daripada perkhemahan, pada keesokan harinya saya mengalami satu mimpi apabila didatangi cahaya putih sebelum tersedar dari tidur. Pada ketika itu saya benar-benar yakin untuk memeluk Islam selepas dua tahun mendalami Islam tanpa pengetahuan keluarga.

“Saya kemudiannya memberitahu niat untuk memeluk Islam kepada ibu dan dan adik beradik yang lain, namun mereka tidak bersetuju dan marah.

“Walau bagaimanapun, saya tetap dengan pendirian untuk memeluk Islam dan tidak pernah menduga akan dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi umat Nabi Muhammad SAW selepas melafazkan dua kalimah syahadah di Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Tapah, Perak pada Januari 2009 sebaik menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam kepada seorang ustazah yang mengajar di sekolah pada ketika itu.

“Jiwa saya berasa tenang selepas memeluk Islam yang tidak pernah dirasai sebelum ini. Islam penuh dengan kasih sayang dan mengajar cara untuk orang ramai hidup sebagai manusia sebenar. katanya ketika ditemui di Madrasah Pengajian Islam (MPI) di Kok Lanas, Ketereh, baru-baru ini.

Muhammad Sufian berkata, selepas seminggu dia memeluk Islam, ahli keluarganya mula mengesyaki sesuatu selepas terjumpa kopiah di dalam bilik tidurnya, namun apabila ditanya dia tidak mengaku kerana bimbang akan dimarahi.

“Sehingga kini, ibu dan adik beradik yang lain masih belum mengetahui yang saya sudah memeluk Islam dan setahun selepas memeluk Islam, saya mengambil keputusan keluar dari rumah selepas berlaku pertengkaran.

“Kini hidup saya seperti sebatang kara, apabila ibu seolah-olah mahu menyisihkan saya apabila tidak mahu menjawab panggilan setiap kali menghubunginya untuk bertanya khabar sedangkan dulu saya adalah anak manja dan terlalu rapat dengannya.

“Saya tidak tahu sampai bila terpaksa menyembunyikan perkara ini dan hanya mampu berdoa supaya ibu dan ahli keluarga yang lain dapat menerima secara terbuka selepas mengetahui Islam adalah agama baharu yang saya anuti,” katanya.

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu berkata, keputusan untuk memeluk Islam seakan-akan ‘menghidupkan’ kembali dirinya yang selama ini masih tercari-cari arah dalam kehidupan.

“Selepas memeluk Islam, saya belajar mengenai Islam di Pusat Bimbingan Saudara Baru (PUSBA) di Sungai Petani, Kedah selama enam bulan.

“Bagi memantapkan tahap pengetahuan dalam bidang agama, pada April lalu ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya datang ke Madrasah Pengajian Islam di Kok Lanas untuk mendalami serta mempelajari lebih mendalam mengenai Islam dan tenaga pengajar di sini banyak membantu,” katanya.

Katanya, dia juga sentiasa berdoa supaya ibu dan adik beradiknya yang lain terbuka hati untuk memeluk Islam kerana ia adalah agama yang suci dan hati juga berasa amat tenang serta percaya hanya Allah SWT yang layak disembah.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts