Johor sedia bantu anak sulung mangsa nahas maut di Segamat

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor bersedia membantu remaja lelaki yang kehilangan ibu bapa dan empat adik beradiknya akibat kemalangan di KM5, Jalan Segamat-Kuantan, Jumaat lepas.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kisah tragis itu memberikan kesan kepadanya apatah lagi ibu bapa kepada Abdul Rahman Amir Ruddin,19, iaitu mangsa kemalangan Amir Ruddin Ismail, 46, merupakan imam di sebuah masjid di Kluang, manakala Norahimah Noor Muhammad, 43, guru agama di sebuah sekolah agama di Felda Kemedak, Segamat.

“Semua pasti mengetahui berita kemalangan lori treler yang mengakibatkan kematian enam sekeluarga semalam (Jumaat). Suaminya seorang imam (Amir Ruddin) dan isterinya (Norahimah) seorang guru Kafa … kedua-duanya amat dekat di hati saya sebab mereka adalah kakitangan di bawah portfolio saya.

“Pada masa sama, kita akan bantu anak muda ini (Abdul Rahman) sekiranya ada bantuan yang dapat kita usahakan, kita juga tadi (semalam) serahkan sumbangan tanda berkongsi kesedihan,” katanya di Facebook.

Semalam, Mohd Fared bersama-sama Pegawai Daerah Muar Hasrin Kamal Hashim dan Adun Sungai Balang Selamat Takim melawat Abdul Rahman di Kampung Parit Lapis, Parit Jawa, Muar.

“Kita bacakan tahlil dan doa tadi… semoga roh kesemua Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah. Amin.

“Masih dalam keadaan terperanjat dia (Abdul Rahman) tapi dia pemuda yang kuat. Kita doakan dia tabah atas ujian yang sangat besar,” katanya.

Empat adik-beradik Abdul Rahman yang meninggal dunia akibat kemalangan itu terdiri daripada Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10; dan Muhammad Assyakrawi, 5, setelah kereta Perodua Alza yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori.

Seorang lagi mangsa, Abdullah Amir Ruddin, 15, yang mengalami kecederaan teruk masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Segamat dan kini ditidurkan.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts