ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor tidak menghalang mana-mana pendakwah, penceramah luar untuk mengajar atau memberikan ceramah selagi mereka mematuhi kriteria, peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, selagi pendakwah mahupun penceramah menepati kriteria oleh MAINJ, tidak ada masalah untuk mereka dibenarkan berceramah dan mengajar di negeri ini.
“Kriteria utama bagi pentauliahan penceramah dan pendakwah di Johor berdasarkan latar belakang pendidikan termasuk tahap pendidikan dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jemaah.
“Saya percaya kita ada lembaga dan Jawatankuasa Tauliah Pengajar dan Memberi Syarahan Agama negeri Johor yang meneliti hal ini. Kita yakin jawatankuasa ini bertindak dengan teliti dalam menentukan setiap perkara berhubung pentauliahan.
“Alhamdulillah jawatankuasa ini tidak pernah bersifat berat sebelah. Jika kriteria ditepati kita akan benarkan tanpa mengira siapa pun mereka,”katanya ketika ditemui pada program Belanja Raya Bersama Asnaf 2022 di Mydin Mall pada Selasa.
Mohd Fared berkata, senarai pentauliahan penceramah dan pendakwah sentiasa dikemaskini MAINJ bagi memastikan mereka yang memberikan ceramah dan mengajar menepati kriteria yang ditetapkan.
“Saya percaya pendakwah dan penceramah yang dibenarkan pun tidak sealiran dengan mana-mana parti politik tertentu.
“Saya percaya Johor tidak pernah mengambil kira itu sebagai keutamaannya tetapi kelayakan perlu bertepatan dengan kehendak MAINJ,” jelasnya.
Sebelum itu media melaporkan berapa nama penceramah terkenal tidak lagi dibenarkan memberi kuliah agama di Selangor selepas tauliah mengajar mereka ditarik balik oleh majlis agama Islam negeri itu.
Antaranya ialah bekas calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abd Rani, penceramah Nazmi Abdul Karim dan Syamsul Amri atau lebih mesra dikenali sebagai Syamsul Debat.
Pada tahun 2017, Johor mengharamkan dua penceramah, Mufti Zimbabwe, Ismail Menk dan Ustaz Haslin Baharim daripada menyampaikan ceramah di negeri ini berikutan pandangan mereka yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian kaum.
Sebelum itu pada tahun 2016, Johor mengeluarkan pekeliling dan arahan melarang 16 penceramah bebas mengajar kelas agama di negeri ini.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM