Judi dan akal syaitani

 

1. TULAR baru-baru ini beberapa video berkenaan iklan judi di samping mengeksploitasi kesulitan kewangan rakyat marhaen lebih-lebih lagi waktu Covid-19 dan nak beraya, untuk menjustifikasi keperluan berjudi.

2. Oleh kerana sudah banyak ulasan dari sudut hukum serta impaknya secara sosial, ekonomi dan negara, saya hanya mahu ulas isu ini dari perspektif sudut pandangan Al-Quran dalam melihat kehidupan.

3. Rezeki merupakan antara yang dijamin Allah SWT untuk setiap makhluk. Bahkan setiap makhluk tidak akan mati hinggalah disempurnakan rezekinya.

4. Dalam perihal rezeki, Allah SWT berulang kali menyebut bahawa Dialah pemberi rezeki dan kewujudan rezeki itu adalah benar sepertimana benarnya kemampuan manusia untuk berkata-kata.

5. Namun syaitan datang untuk mengubah pemikiran manusia untuk menanggapi sebaliknya. Dia menjaja janji-janji kemiskinan dan kefakiran kepada manusia hingga manusia lupa bahawa Tuhan yang memberi rezeki. Langkah seterusnya adalah syaitan pula yang membuka pintu segera untuk mendapat rezeki dengan cara yang salah.

Ini disebut dengan jelas dalam surah Al-Baqarah :

“Syaitan itu menjanjikan kamu kefakiran dan menyuruh kamu melakukan perbuatan fahsya’ (maksiat), sedangkan Allah menjanjikan keampunan daripada-Nya dan kurniaan-Nya”

6. Mentaliti segera kaya, segera selesai masalah, segera senang dan seumpamanya, hakikatnya adalah mentaliti syaitani yang mengakibatkan manusia terjerumus dalam rantaian syaitan dalam kehidupan.

7. Dalam menyelesaikan masalah kefakiran, syaitan suruh berjudi sebagai jalan pintas. Hakikatnya judi hanya menambahkan masalah seseorang. Dia akan jadi semakin malas, berserah pada nasib, dan yang lebih teruk dia menghilangkan sifat kemanusiaannya dengan melupuskan peranan akal yang berfikir bahawa di sebalik kesenangan ada kesulitan, dan tiada perkara yang percuma di atas muka bumi ini, serta setiap perkara berdiri di atas neraca kesaksamaan dan keadilan.

8. Sama seperti isu tekanan perasaan. Syaitan suruh minum arak untuk tenang. Hakikatnya arak hanya mengakibatkan pergaduhan, masalah sosial, hatta pembunuhan. Bahkan ia mendidik jiwa untuk lari daripada masalah sebenarnya.

9. Seperti isu keperluan seksual, syaitan suruh berzina kerana kononnya ia boleh selesaikan masalah. Hakikatnya perzinaan akan membawa kepada tabiat meletakkan suatu perkara bukan pada tempatnya. Manusia akan melihat hubungan kelamin semata-mata suatu kepuasan, tanpa melihat timbal balik yang perlu dibayar, hingga akhirnya menjadikan perkara itu murah semurah-murahnya.

Islam meletakkan syarat yang ketat dalam isu hubungan ini kerana Islam meletakkan ia pada tempat yang tinggi.

10. Namun syaitan hanya memperdaya manusia dengan kecetekan akal mereka, lalu menyediakan pintu keluar segera, yang hakikatnya adalah pintu ke neraka.

11. Semua ini berpunca apabila seseorang manusia tidak mengenali Tuhannya, dan melihat dunia sebagai matlamat utama hidupnya.

“Sekali-kali tidak, bahkan kamu mencintai perkara segera (dunia) dan kamu meninggalkan akhirat” – Surah Al-Qiyamah

“Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya kepada kamu, agar kamu berfikir terhadap dunia dan akhirat” – Surah Al-Baqarah

Wallahua’lam bissawaab.

Ustaz Syamil Esa

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts