Bilangan tahanan Palestin di Tebing Barat meningkat kepada 7,060 orang sejak serangan tanpa henti Israel ke atas Semenanjung Gaza pada Oktober lalu.
Jumlah terkini itu susulan penahanan 20 lagi warga Palestin di Tebing Barat dalam tempoh 24 jam lalu, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Persatuan Tahanan Palestin.
“Tentera Israel menahan sekurang-kurangnya 20 rakyat dari Tebing Barat dalam tempoh 24 jam lalu.
“Ia termasuk seorang wanita dari Nablus, bekas tahanan dan ahli keluarga rakyat Palestin yang syahid di Baitulmaqdis,” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan, kebanyakan tangkapan dibuat di Hebron, Ramallah, Baitulmaqdis, Nablus, Jenin dan Salfit.
Kumpulan itu mendedahkan tindakan penyeksaan berskala besar, ancaman terhadap tahanan dan keluarga serta tindakan sabotaj meluas ke atas rumah penduduk, termasuk rampasan dana dan kenderaan dilakukan rejim Israel.
Setakat ini, jumlah tahanan Palestin di penjara Israel melebihi 9,000 termasuk 3,484 tahanan pentadbiran dan 606 diklasifikasikan sebagai pejuang bukan tetap, iaitu tahanan dari Gaza.
Penahanan pentadbiran adalah dasar penjara di bawah perintah Israel yang kononnya berkait ancaman keselamatan tanpa pertuduhan dan boleh berlanjutan selama enam bulan.- Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM