Kakitangan institusi agama perlu dilihat bersih, bebas rasuah

BANGI: Kakitangan agensi agama di peringkat Persekutuan dan negeri diingatkan sentiasa fokus kepada pengurusan dana serta perolehan dengan diterap segala nilai positif sepanjang masa.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, sifat amanah, integriti, telus dan komitmen dalam pekerjaan wajib sentiasa diamalkan.

“Kita bukan sahaja bersih bahkan dilihat bersih,” katanya merasmikan Program Perolehan Bebas Rasuah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Aminudin Mohamad dan dihadiri 156 pegawai yang mendapat kerjasama Unit Integriti Jakim.

Hakimah berkata, program itu adalah usaha pemantapan governans dan integriti melalui siri peningkatan pengetahuan, pematuhan dan pemantauan yang berkesan.

“Amalan ini perlu sentiasa diberikan perhatian agar disiplin bebas daripada unsur salah laku rasuah, pecah amanah, penyelewengan, salah guna kuasa dan sebagainya. Di samping itu kerjasama erat Jakim dan SPRM turut membuktikan kesungguhan pihak agensi agama dan serius berganding bahu dalam usaha jihad memerangi gejala rasuah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd. Noor menyifatkan program itu bertepatan usaha menyebar luas mesej antirasuah selaras inisiatif objektif strategik di bawah Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 untuk menambah baik keberkesanan pendidikan dan pembangunan berterusan modal insan.

Justeru tambah beliau, program bersama anggota pentadbiran awam yang menguruskan institusi agama juga adalah signifikan dalam konteks hubungan antara agensi seluruh negara.

“Kami optimis usaha ini dapat beri impak positif kepada kumpulan sasar kerana ia amanah yang wajib ditunaikan sebaik mungkin, jujur, adil, telus dan tanpa ada diskriminasi. Kita harap tiada amalan ketirisan perolehan melibatkan pentadbir institusi agama kerana jika berlaku, ia dibimbangi memberi fitnah kepada imej Islam sendiri,” katanya. – UTUSAN

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts