Kasih si kembar, pilih jadi penghantar makanan demi jaga bapa

KOTA BHARU – Pasangan kembar dari Gunong, Bachok memilih untuk bekerja sebagai penghantar makanan bagi memudahkan mereka menjaga bapa yang tidak sihat selepas terkena serangan jantung.

Muhammad Shakir Azmi dan Muhammad Shamin Azmi, 25, yang sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur pulang ke Kelantan pada Januari lalu untuk membantu ibu mengurus keperluan bapa mereka, Azmi Ibrahim, 57.

Muhammad Shakir berkata, mereka mengambil tanggungjawab itu kerana adik-beradik lain tidak berada di Kelantan selain mempunyai komitmen sendiri.

“Kami tidak terikat dengan masa bekerja dan akan terus pulang jika menerima panggilan dari rumah.

“Bekerja sebagai penghantar makanan juga memudahkan kami bergegas ke rumah jika ada kecemasan,” katanya ketika ditemui di pekarangan restoran makanan segera di Kubang Kerian pada Jumaat.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu juga memberitahu, setakat ini, pekerjaan sebagai penghantar makanan sahaja yang sesuai dengan mereka kerana bebas memilih waktu bekerja.

Dia juga bersyukur kerana kesihatan bapanya kini bertambah baik tetapi masih tidak boleh melakukan kerja-kerja berat.

Berkongsi cerita, kembar seiras itu memberitahu, sebelum ini mereka belajar di Sekolah Menengah Batu Muda di Sentul, Kuala Lumpur kerana bapa bekerja di sana.

Katanya, selepas tamat sekolah mereka kemudian mengambil keputusan bekerja sebagai penghantar barang dengan sebuah syarikat penghantar barang.

Kedua-dua beradik itu tidak pernah berpisah jauh kerana lebih selesa bersama terutama ketika bekerja.

Sementara itu, Muhammad Shamin berkata, buat masa ini mereka tidak mementingkan pendapatan kerana lebih utama ialah kesihatan bapa dan ibunya, Norzelin Mohd Noor, 51.

“Syukur kerana keadaan ayah bertambah baik dan kami akan bergilir-gilir pulang jika ada keperluan di rumah,” katanya.-Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts