Antara dua gambaran kasih sayang seorang ‘ibu’ demi kebahagiaan anak/anak-anak tersayang.
Kedua-dua ibu ini mempunyai pilihan dan pilihan ini bersangkut paut dengan kebahagiaan sang anak.
Seorang boleh sahaja memilih untuk membesarkan sang anak tanpa sentuhan Islam dan tidak ada siapapun akan tahu.
Seorang lagi memilih untuk memisahkan anak-anak sendiri dari sentuhan Islam dan semua orang sudah tahu.
Dalam kedua-dua kes, kebahagiaan siapakah yang diutamakan – diri sendiri atau anak/anak-anak?
Dua kes yang unik – Pertama: seorang wanita beragama Buddha membesarkan dan memelihara anak yang Muslim memastikan ‘anaknya’ kekal menjadi Muslim. Kedua: seorang wanita beragama Hindu (?) yang mengambil tindakan mahkamah untuk membatalkan keislaman anak-anaknya.
Mahkamah dan sistem perundangan ciptaan manusia tidak akan mengambil peduli tentang akhlak dan keimanan. Apa yang disebut sebagai keadilan yang ingin ditegakkan tidak ada kaitan dengan aspek keimanan. Manakala keadilan yang ingin ditegakkan oleh Syari’at ditunjangi oleh taqwa disebabkan berlaku adil dan menegakkan keadilan adalah perbuatan yang menghampiri taqwa.
Di dalam sistem kehakiman sivil yang melibatkan perebutan hak jagaan anak-anak, mahkamah dan hakim akan menilai sudut ‘kebajikan anak-anak’ sebelum memutuskan siapakah di antara ayah atau ibu yang perlu diberikan hak penjagaan.
Di dalam kes pemilihan agama anak-anak (pasangan bukan-Islam) yang masih di bawah umur 18 tahun, keputusan tersebut tidak terletak di tangan anak-anak. Ini adalah realiti dan kekusutan yang masih belum dapat dileraikan dengan memberi keadilan kepada semua pihak.
Terdapat satu sudut yang barangkali ramai di antara kita tidak sedar iaitu istilah-istilah ‘Aqil, Baligh dan Mumaiyyiz yang boleh digunakan sebagai satu petunjuk atau garis panduan untuk menguji kefahaman dan keislaman sang anak di dalam kes-kes ‘penukaran’ agama ini.
Maksud saya, dari sudut pandang Syari’at, umur 18 tahun bukanlah kriteria mutlak yang menjadikan seseorang itu bertanggungjawab di atas keputusan dan tindakan seseorang. Contohnya mendidik anak untuk solat, yang dimulai dengan suruhan ketika berumur tujuh tahun dan disiplin (hukuman) sekiranya sudah mencapai umur 10 tahun.
Ketiga-tiga istilah di atas juga merupakan kayu ukur sama ada seseorang anak itu faham tentang halal haram, dosa pahala, kefahaman tentang Islam dan juga pertanggungjawaban terhadap keputusan dan tindakan yang dibuat.
Kematangan tidak selalu dan tidak semestinya terikat dengan faktor umur.
Terdapat banyak contoh yang dapat dipetik dari khazanah ilmu Fiqh dan juga sejarah Islam tentang sudut pandang ini.
Kita berharap pihak mahkamah dan sistem perundangan negara hari ini meminta dan mengambil kira pandangan anak-anak yang telah menjadi Muslim sama ada untuk kekal di dalam agama Islam atau menuruti kehendak sang ibu yang telah memfailkan tindakan undang-undang untuk mencabar keislaman mereka.
Semoga tulisan ringkas ini dapat membuka mata, hati dan minda bahawa perjalanan untuk mendaulatkan Syari’ah masih jauh lagi buat umat Islam.
Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi iPeguam/Pemerhati politik
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM