Biarlah kebaikan yang dibuat kecil di mata manusia, tapi berterusan. Itulah yang paling dicintai ALLAH
KADANGKALA terbit rasa iri hati apabila melihat orang lain melakukan banyak amal kebaikan. Terfikir juga mengapa diri ini tidak boleh menjadi sepertinya.
Bukannya kita tidak mahu beramal, tetapi adakalanya ada sahaja kekangan yang dihadapi. Akhirnya, hasrat untuk melakukan sesuatu seperti bersedekah, membaca al-Quran dan sebagainya terkubur begitu sahaja.
Namun begitu, rugilah andai kita tidak melakukan apa yang sudah diniatkan tadi. Lebih-lebih lagi kita baru sahaja melalui madrasah Ramadan yang mendidik diri bertakwa dan menjadi insan lebih baik.
Alangkah indahnya jika kita dapat meneruskan perbuatan baik dan ibadah yang dilakukan sepanjang bulan mulia berkenaan.
Perkara itu jelas disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, kerjakanlah suatu amalan mengikut kemampuan kalian kerana sesungguhnya ALLAH tidak akan bosan sehingga kalian merasa bosan, dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai ALLAH adalah yang dikerjakan secara berterusan walaupun sedikit.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Memetik hantaran yang dikongsikan oleh Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam laman sosial Facebook miliknya, perilaku tersebut dapat dilihat menerusi sikap Rasulullah SAW yang menjadi contoh terbaik dalam kehidupan seharian.
Walaupun Nabi Muhammad SAW seorang yang maksum, tetapi Baginda tetap sibuk mengurus umat pada waktu siang dan sentiasa kuat beribadah pada malam harinya.
“Dalam hadis ini, Saidatina Aisyah menerangkan keadaan Baginda mengerjakan solat malam hanya dengan menggunakan tikar pelepah sebagai alas dan daun tamar sebagai dinding tanpa tempat mihrab yang khusus.
Ini sangat jelas dalam penceritaan Saidatina Aisyah walaupun ketika itu Baginda merupakan seorang pemimpin terbesar buat umat Islam,” katanya sebagaimana dipetik dalam Facebook Majlis Ulama ISMA.
Bukan itu sahaja, dalam hadis yang sama juga, Majlis Ulama ISMA menjelaskan, Aisyah turut menceritakan perbuatan Rasulullah SAW melaksanakan solat sunat hingga menyebabkan ramai sahabat behimpun untuk mengikutinya.
“Bagi mengelakkan ia dianggap ‘wajib’ oleh para sahabat, lantas Rasulullah SAW memberikan panduan iaitu buat sekadar termampu dan tidak diberatkan agar tidak berasa jemu.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM