‘Kebakaran ini ujian ALLAH’

 

KOTA BHARU – “Saya terima ujian ALLAH ini dengan hati terbuka, sesungguhnya ia akan menguatkan lagi ketaatan saya kepada agama Islam selepas ini,” kata Ahmad Sainuddin Thomas Abdullah, salah seorang mangsa yang tinggal di Pondok Pasir Tumboh yang terbakar dalam satu kejadian awal pagi Rabu.

Dalam kejadian jam 2.15 pagi itu, pemuda berusia 44 tahun itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas selesai melaksanakan urusan pertukaran nama dan pensijilan Islam di Seremban, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, kepulangan pemuda yang berasal dari Sabah itu ke pondok tersebut ‘disambut’ dengan bau asap kebakaran yang memusnahkan lima unit pondok kayu separa kekal.

“Memang saya terkejut, saya terduduk. Semua barang peribadi hangus, pakaian, kitab dan buku-buku saya hanya tinggal debu namun saya bersyukur, kami semua selamat.

“Ini mengajar saya untuk muhasabah diri dan tenang menghadapi sebarang dugaan ALLAH.

“Saya yakin semua ini ada hikmahnya. Saya percaya pada semua itu, semoga ALLAH kuatkan hati saya, rakan-rakan dan mudir kami di sini dan maafkan segala kesilapan yang pernah saya lakukan sebelum saya memeluk agama Islam,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Lima unit pondok kayu separa kekal yang hangus tersebut adalah sebahagian daripada 26 buah unit pondok yang dibina di kawasan berkenaan.

Pondok yang masih lagi mengekalkan ciri-ciri pembinaan lama itu didakwa dihuni oleh pelajar-pelajar senior yang menimba ilmu di madrasah berkenaan sejak lebih dua tahun lalu.

Sementara itu, Setiasuaha Agung Pondok Pasir Tumboh, Ahmad Shairazi Atiqullah ketika ditemui Sinar Harian memberitahu, kebakaran tersebut disedari salah seorang pelajarnya yang berada di bangunan sebelah lokasi kejadian.

“Pelajar berkenaan nampak asap berkepul keluar dari arah bahagian atas pondok berkenaan lalu mereka memaklumkan kepada pihak pengurusan.

“Kami pun bergegas ke pondok berkenaan dan menghubungi pihak bomba memandangkan peralatan memasak turut terbakar. Seorang pelajar yang ketika itu sedang membasuh pakaian di luar rumah juga tidak sempat menyelamatkan barang-barangnya.

“Mujurlah semasa kejadian itu tiada seorang pun pelajar yang berada di dalam pondok tersebut kerana ada yang pulang bercuti dan keluar atas urusan masing-masing. Hanya seorang sahaja yang tinggal, itu pun dia berada di luar pondok semasa api sedang marak.

“Punca kejadian masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa dan anggaran kerugian lima unit pondok ini adalah lebih RM25,000. Ini antara pondok kami yang masih lagi kekal dengan pembinaan ciri-ciri pondok lama dengan jarak 1 meter antara setiap unit,” katanya.

Untuk rekod, pondok Pasir Tumboh atau Madrasah Diniah Bakriah ini mempunyai 500 orang pelajar iaitu 350 pelajar lelaki dan 150 pelajar perempuan. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts