Mendepani cabaran fasa endemik pada masa ini, memperlihatkan setiap daripada kita berusaha untuk meningkatkan ekosistem ekonomi keluarga selepas terkesan teruk ekoran pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini.
Keluarga Malaysia kini sedang giat untuk memperkasa kegiatan ekonomi dengan gaya hidup normal yang kembali pulih melalui tanggungjawab menjaga prosedur operasi standard (SOP) demi kesihatan dan keselamatan semua.
Tanpa penat dan lelah, setiap keluarga Malaysia berusaha untuk mengekalkan taraf ekonomi mereka untuk memastikan boleh mengharungi kehidupan ini yang semakin mencabar.
Oleh itu, ramai dalam kalangan pencari nafkah sudah kembali memulakan kerja dalam pelbagai sektor bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Semasa pandemik, ramai dalam kalangan mereka terjejas akibat penutupan premis perniagaan dan sektor pekerjaan.
Usaha keras mencari rezeki halal merupakan tugas murni setiap ketua keluarga yang bekerja demi isteri dan anak-anak.
Islam memandang tinggi mereka yang sentiasa berusaha untuk mencari rezeki halal lagi diberkati buat keluarga tercinta.
Bekerja dan mencari nafkah merupakan amal soleh yang sangat besar pahalanya di sisi Allah.
Allah mengurniakan keberkatan kepada orang yang sentiasa berusaha memberikan kehidupan lebih baik kepada keluarga.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyebut mengenai kewajipan bagi setiap umat Islam untuk mencari rezeki yang halal.
Maksudnya: “Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu (seperti solat, puasa, dan lain-lain). (Hadis riwayat Thabrani dan Baihaqi).
Sudah pasti setiap kelelahan hasil usaha mencari nafkah dan rezeki yang baik akan diberikan ganjaran setimpal dengan apa yang diusahakan.
Berpenat lelah demi mencari nafkah merupakan satu kehormatan bagi seorang lelaki. Bahkan terdapat dalam kalangan wanita turut sama memikul tanggungjawab membantu suami.
Dalam situasi ini, mungkin suami memerlukan isteri untuk sama-sama membantu, memikul tanggungjawab bersama mencari sumber pendapatan bagi keselesaan hidup mereka.
Pengorbanan mulia oleh para isteri yang berusaha membantu mencari pendapatan keluarga sudah tentu dihargai oleh suami yang baik.
Rasulullah SAW berpesan kepada kita semua yang bermaksud:
“Sesiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, Allah menjadikan kekayaan di dalam hatinya, menghimpunkan baginya segala urusannya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk.
“Sesiapa yang menjadikan dunia sebagai tujuannya, Allah menjadikan kefakiran dekat kepada kedua-dua matanya, memisah-misahkan urusannya dan dunia tidak akan mendatanginya, melainkan apa yang telah ditentukan baginya. (Shahih Sunan al-Tirmizi)
Sesungguhnya, Allah memberi ganjaran pahala atas setiap penat lelah dan usaha demi mencari rezeki halal di dunia ini.
Antara tanda-tanda rezeki yang kita peroleh adalah halal dan diberkati Allah adalah apabila berasa cukup dengan apa yang kita ada.
Hakikatnya, rezeki setiap manusia adalah tidak sama.
Sudah pasti dalam kehidupan di dunia ini, ada golongan kaya dan terdapat juga orang miskin. Ada yang bergaji besar dan ada juga yang bergaji kecil.
Namun, walaupun dengan bergaji kecil, jika kita masih boleh menguruskan nafkah kepada keluarga dengan baik, memberi hadiah kepada ibu dan bapa, bersedekah dan juga membuat simpanan, ia menunjukkan ada keberkatan daripada rezeki kurniaan Allah.
Bagaimanapun, jika rezeki yang diperoleh tidak mendapat keberkatan, akan ada rasa ketidakcukupan serta sering berkeluh kesah.
Dengan rezeki yang baik juga, Allah akan memudahkan urusan kita untuk menjaga solat dan melakukan amal ibadat.
Jiwa kehambaan kepada Yang Maha Pencipta, kita akan merasai kemanisan ibadah tanpa rasa terpaksa.
Seharusnya, rezeki yang diperoleh akan membuatkan kita semakin dekat dengan Allah dan menjadikan kita hamba yang bersyukur.
Allah juga memberikan kebahagiaan kepada kehidupan dan keluarga apabila kita menjaga hubungan kita dengan-Nya.
Selain itu, menjaga amanah dalam kerja juga menjamin rezeki halal untuk keluarga.
Alhamdulillah, setiap daripada kita Allah kurniakan kebahagian hidup yang tidak sama. Kebahagiaan setiap individu dan keluarga sudah tentu berbeza penilaiannya.
Sesungguhnya, melalui rezeki halal menjadi asbab untuk mendapatkan keberkatan dalam hidup di dunia yang fana demi akhirat yang kekal abadi.
Dr. Rosmawati Mohamad Rasit ialah Ketua Jaringan Industri dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. -Kosmo
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM