DI dalam al-Quran terdapat beberapa perkara yang disebutkan oleh Allah SWT yang mempunyai hubungkait dengan rezeki dan keberkatannya. Antaranya adalah:
1. Melazimi taqwa. Orang mukmin yang berusaha kearah taqwa akan dibuka baginya keberkatan langit. Firman Allah SWT:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ
“Dan sekiranya ahli sesuatu tempat itu beriman dan bertaqwa, maka kami akan buka bagi mereka keberkatan dari langit dan bumi,” (al-A’raf: 96)
2. Mereka yang sentiasa menjaga solat serta mengajak ahli keluarga menunaikan solat juga berupaya dipermudahkan rezeki oleh Allah. Firman Allah SWT:
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَّحْنُ نَرْزُقُكَ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى
“Dan perintahkanlah keluargamu untuk mengerjakan solat, dan hendaklah kamu bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu,”
2.1. Di dalam ayat ini, Allah seolah meletakkan urusan solat mempunyai kaitan juga dengan rezeki.
Menurut al-Imam al-Qurtubi, ketika ayat ini diturunkan Rasulullah sering mengetuk pintu rumah Fatimah, mengajak mereka bersolat.
Bahkan Saidina Umar melakukan perkara yang sama dan mengingatkan kepada ahli keluarganya supaya jangan sampai urusan mencari rezeki menyibukkan kamu dari solat.
Malah menurut al-Qurtubi lagi, Rasulullah akan menyuruh ahli keluarganya mendirikan solat ketika mereka ditimpa kesusahan. Begitulah besar peranan solat dalam kehidupan muslim. (al-Qurtubi, al-Jami li Ahkam al-Quran, 11/263).
3. Beristighfar. Amalan melazimi istighfar juga dikatakan mempunyai kesan terhadap rezeki. Firman Allah:
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّاراً* يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَاراً* وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَاراً
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Beristighfarlah kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun (11). (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;(12).”Dan Allah akan memberi kepada kamu dengan harta kekayaan serta anak-pinak; dan Allah akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya),” (Surah Nuh: 10-12)
3.1 Malah Rasulullah turut bersabda:
مَن أكثر الاستغفار جعل الله له من كل همَّ فرجاً، ومن كل ضيق مخرجاً، ورزقه من حيث لا يحتسب
“Barangsiapa yang memperbanyakkan istighfar, Allah akan membuka segala kesusahannya, memberikan jalan keluar bagi segala kesempitan, dan mengurniakan rezeki yang tidak mereka sangka,” (HR Ahmad, dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir).
4. Bersedekah. Amalan bersedekah turut membantu dalam membuka pintu rezeki seseorang. Firman Allah:
وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِين
“Dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki,” (Surah Saba’: 39).
Mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan rezeki buat kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)