Kebimbangan Rasulullah tentang azab Allah

 

1. SAIDATINA Aisyah menceritakan bagaimana Rasulullah sangat bimbang ketika melihat awan hitam. Ia mengingatkan Baginda tentang azab Allah kepada kaum terdahulu. Kata Aisyah:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا رَأَى مَخِيلَةً فِي السَّمَاءِ، أَقْبَلَ وَأَدْبَرَ، وَدَخَلَ وَخَرَجَ، وَتَغَيَّرَ وَجْهُهُ، فَإِذَا أَمْطَرَتِ السَّمَاءُ سُرِّيَ عَنْهُ، فَعَرَّفَتْهُ عَائِشَةُ ذَلِكَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا أَدْرِي لَعَلَّهُ كَمَا قَالَ قَوْمٌ: هَذَا عَارِضٌ مُمْطِرُنَا»

Sesungguhnya Rasulullah itu apabila melihat awan mendung di langit, beliau mundar-mandir, keluar masuk, dan air mukanya berubah gelisah, namun ketika hujan turun maka beliau menjadi lega. Lalu ‘Aisyah pun bertanya tentang hal itu, maka Nabi bersabda: Aku tidak tahu, jangan-jangan awan itu adalah seperti yang diucapkan oleh suatu kaum. “Ini awan yang akan memberi hujan (sedangkan ia adalah azab buat mereka). (HR al-Bukhari)

2. Perhatikan hadith ini bagaimana Rasulullah menjadikan elemen serta fenomena yang berlaku disekelilingnya sebagai titik dan ruang untuk bermuhasabah. Mengingatkan dirinya akan dosa-dosa yang dilakukan oleh manusia. Kata al-Imam al-Nawawi:

فيه الاستعداد بالمراقبة لله والالتجاء إليه عند اختلاف الأحوال وحدوث ما يخاف بسببه وكان خوفه صلى الله عليه وسلم أن يعاقبوا بعصيان العصاة

“Hadith ini mengandungi anjuran untuk sentiasa merasa diawasi oleh Allah dan berlindung padaNya ketika berlakunya perubahan keadaan dan atau terzahir penyebab kepada sesuatu yang ditakutkan. Rasulullah merasa bimbang kerana takut umat Baginda akan diazab dengan sebab maksiat dan kerosakan yang dilakukan oleh para pelaku maksiat.

3. Dalam al-Quran pula Allah mendidik Muslim agar menjadikan sesuatu musibah yang berlaku itu sebagai ruang untuk kembali kepada Allah. Firman Allah:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَى أُمَمٍ مِنْ قَبْلِكَ فَأَخَذْنَاهُمْ بِالْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ * فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُمْ بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَكِنْ قَسَتْ قُلُوبُهُمْ

“Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul kepada umat yang dahulu, maka Kami uji mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat). Maka alangkah baiknya andai mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras.

 

 

4. Mari kita renungi ayat ini. Perhatikan bagaimana Allah menguji kaum terdahulu dengan kesusahan dan penyakit agar mereka kembali kepada Allah. Menurut al-Imam Ibn al-Qayyim, ujian adalah ruang dan masa untuk hamba itu bermuhasabah. Kata beliau:

فالله يبتلي عبده ليسمع تضرعه ودعاءه والشكوى إليه

“Maka Allah menguji hambaNya untuk mendengar tunduk dan patuhnya hamba itu kepada Tuhannya, agar mereka berdoa dan mengadu kepada Allah.”

5. Al-Quran juga menjelaskan kepada kita bahawa kerosakan dimuka bumi ini tercetus adalah hasil dari perilaku manusia. Namun Allah mengingatkan kepada kita bahawa Dia sekali-kali tidak akan menurunkan azab kepada kaum yang beristighfar. Firman Allah:

وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Dan Allah (sekali-kali) tidak mengazab mereka sedangkan mereka beristighfar.”

6. Di sinilah titik muhasabah untuk kita. Kerosakan serta ujian penyakit yang berlaku adalah ruang untuk manusia bermuhasabah. Contohilah Rasulullah yang menjadikan fenomena sekeliling Baginda sebagai pencetus untuk kembali kepada Allah. Perbanyakkan beristighfar.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts