Alor Setar: Kedah menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain menghadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri berkuatkuasa serta-merta.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco minggu lalu bagi mengelak mudarat yang lebih banyak kepada penduduk.
“Bilangan lesen premis judi di negeri Kedah ketika ini saya tidak ada angka, tapi mana-mana lesen premis yang telah tamat tempoh selepas ini tidak akan diperbaharui lagi untuk operasi perjudian.
“Saya bukan kata tutup tapi saya tidak bagi lesen premis, mula dengan tidak diberi lesen kemudian itu mereka tidak boleh beroperasilah, kita mahu capai sifar judi pada tahun depan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Belanjawan Kedah 2022 di Wisma Darul Aman semalam.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, bagi penjualan arak di kedai serbaneka 24 jam, PBT akan memainkan peranan untuk menangani perkara itu.
Katanya, ada jenis-jenis minuman dalam tin yang mengandungi kadar alkohol tertentu dan tidak dikategorikan sebagai arak.
“Ini pun kena tengok undang-undang, perkara-perkara ini kita serah kepada PBT untuk pastikan ia ditangani sebaik-baiknya. Ada kandungan alkohol tertentu yang dimasukkan minuman itu dalam kategori arak, kalau di bawah kadar tertentu itu tidak termasuk, ini pun undang-undang yang sedia adalah, kita harap usaha yang kita buat ini mendapat sokongan rakyat.
“Kita juga berbincang tentang kedai bebas cukai di Langkawi, premis-premis yang tidak mempunyai lesen kita harap tidak lagi akan menjual arak secara terbuka, arak dihadkan penjualannya kepada orang bukan islam sahaja, setiap PBT akan akan memainkan peranan bagi menjamin akal fikiran rakyat kita yang sentiasa waras,” katanya.
Muhamamd Sanusi menjelaskan keputusan itu turut dibuat atas rasa tanggungjawab beliau sebagai Menteri Besar yang akan disoal Allah di akhirat kelak.
Ini kerana katanya, amaran Allah mengenai judi dan arak adalah terlalu keras berikutan ia jelas boleh merosakkan institusi keluarga serta tamadun manusia.
“Saya fikir tidak ada sesiapa pun yang mengakui bahawa perjudian telah membangunkan tamadun kita dengan begitu cemerlang sekali. Sebaliknya diakui oleh semua orang bahawa perjudian adalah ejen perosak yang besar yang perlu kita tangani.
“Di akhirat nanti Tuhan akan tanya saya aktiviti-aktiviti yang macam ini (judi dan arak) saya buat apa, saya cakap tak buat apa saya kena tibai (rotan). Sementara saya ada kuasa baik saya gunakan, bila ada premis ada aktiviti, bukan sahaja orang bukan Islam, tapi orang Islam juga.
“Perkara-perkara yang tidak elok untuk semua orang ini elok kita elakkan. Manfaat daripada premis judi ini tidak ramai pun, tauke itu sahaja untung, tapi mudarat dia kepada semua orang. Mengelak mudarat lebih utama daripada mengambil manfaat daripada aktiviti seperti itu,” katanya. – My Metro
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM