Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu difahami sedalam-dalamnya: Al-Sultan Abdullah

 

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu tindakan tegas diambil terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara.

Susulan itu, baginda bertitah, agensi penguat kuasa perlu bertindak tegas ke atas sebarang sebaran media sosial yang melanggar undang-undang.

“Semua pihak perlu menjunjung keluhuran Perlembagaan terutama yang menyentuh mengenai sistem demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Penggunaan media sosial secara tidak bertanggungjawab boleh mengancam nilai murni yang berlandaskan agama dan prinsip moral masyarakat.

“Sungguhpun kerajaan beta meraikan keterbukaan dan kebebasan bersuara, adalah penting kebebasan ini dipraktikkan dalam lingkungan undang-undang dan norma kehidupan bermasyarakat,” titah baginda berucap merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Al-Sultan Abdullah berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Dalam hal ini, baginda bertitah, seruan perpaduan perlu tidak tinggal sebagai slogan semata-mata.

“Sebaliknya, semangat perpaduan dan usaha perlu benar-benar disuburkan dengan ikhlas dan dihargai,” titah baginda.

Sementara itu, baginda menyokong usaha kerajaan mempromosikan nilal dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan Alamin dan Maqasid Syariah.

Baginda bertitah, pendekatan berdasarkan ajaran Islam sebenar itu diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia, seterusnya dicontohi dunia luar.

“Dalam memperkukuh ajaran Islam di negara ini, agama lain perlu dihormati demi keharmonian dan kesejahteraan hidup kita semua, ” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan perlu difahami sedalam-dalamnya oleh setiap warga negara tanpa mengira bangsa dan agama.

“Islam bukan sekadar agama eksklusif untuk kumpulan tertentu, malah ia adalah cara hidup yang universal dan membawa rahmat kepada sekalian alam,” titah baginda. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts