BEIJING – China mengeluarkan peraturan baharu bagi umat Islam di negara ini yang berkunjung ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji, sebagai antara langkah menentang ekstremisme agama.
Berdasarkan peraturan baharu itu, Beijing menetapkan supaya rombongan jemaah haji hanya diuruskan oleh Persatuan Islam China, selain mewajibkan jemaah mematuhi undang-undang negara komunis itu.
Terdapat 20 juta umat Islam di China, kebanyakannya penduduk Uyghur – kumpulan etnik yang berasal dari Turki – dan Muslim Hui yang berasal dari etnik China.
Kedua-dua etnik iaitu Uyghur dan Muslim Hui mempunyai penduduk sekitar 10 juta, menurut data rasmi.
Kira-kira 10,000 orang Cina muslim menunaikan haji dan umrah setiap tahun.
Peraturan yang mengandungi 42 artikel itu menyatakan bahawa setiap jemaah haji dan umrah perlu diatur dan mengikut undang-undang, selain hanya memberi kuasa mengurus kepada Persatuan Islam China sahaja.
Tidak ada organisasi atau individu lain yang boleh mengatur jemaah, dan warganegara itu perlu memenuhi syarat asas ketika menunaikan haji dan peraturan yang akan dilaksana mulai 1 Disember.
Peraturan yang wajib dipatuhi oleh setiap jemaah haji negara itu adalah didakwa bertujuan menentang ekstremisme agama.
Sejak tahun lalu, China berdepan kritikan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara Barat, berikutan penahanan lebih sejuta orang – kebanyakan etnik Uyghur – di kem tahanan wilayah Xinjiang dalam usaha menentang ekstremisme.
Wilayah Xinjiang yang kaya dengan sumber adalah rumah bagi lebih 10 juta muslim Uyghur yang berbahasa Turki. – Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)