Kekejaman IOF di Gaza: Kesaksian Menyayat Hati Pesakit dan Jururawat

Kekejaman tentera penjajah Israel (IOF) kembali mencengkam hati dunia apabila tindakan mereka menyerbu Hospital Kamal Adwan di utara Gaza, Jumaat lalu, terus meninggalkan trauma mendalam kepada mangsa yang terselamat. Serangan itu bukan sekadar melibatkan kehancuran fizikal, tetapi juga meranapkan nilai-nilai kemanusiaan yang paling asas.

Izzat Al-Aswad, seorang pesakit di hospital itu, berkongsi pengalaman ngerinya ketika serangan berlangsung. Menurutnya, tentera IOF bertindak memaksa semua lelaki menanggalkan pakaian sebelum dihalau keluar dari kawasan hospital. “Mereka memukul saya dan lelaki lain, termasuk pesakit yang sedang dirawat.

Bom dijatuhkan tanpa henti, siang dan malam. Dron pula menembak sesiapa sahaja di halaman hospital, mensasarkan penjana elektrik dan tangki air,” ujarnya kepada Al-Jazeera.

Hospital Bertukar Menjadi Neraka

Izzat turut menceritakan detik-detik sebelum serangan itu, apabila tentera Israel menyerang bangunan hospital yang menempatkan kira-kira 50 pesakit. Dalam situasi genting itu, tiada bantuan yang dapat diberikan kerana jururawat dan petugas hospital juga terperangkap.

“Kaum lelaki dipaksa berjalan kaki selama dua jam ke laluan yang ditetapkan oleh tentera IOF. Kami diarah memberikan nama, diambil gambar, dan ditandakan nombor pada dada serta leher sebagai bukti pemeriksaan. Kami kemudian diarahkan ke arah barat Gaza, meredah runtuhan dalam cuaca sejuk, sebelum menerima sebarang bantuan,” jelasnya lagi.

Wanita Turut Menjadi Sasaran

Jururawat hospital, Shorouq Al-Rantisi, turut mendedahkan nasib pilu yang menimpa kaum wanita. Mereka dipaksa meninggalkan hospital melalui laluan yang sama, menunggu selama beberapa jam dalam kesejukan, sambil mendengar kaum lelaki dipukul dengan kejam.

“IOF menarik kepala wanita, memaksa kami menanggalkan tudung. Mereka yang enggan dipukul tanpa belas kasihan. Saya sendiri dipaksa membuka pakaian sebelum diperiksa identiti saya. Bagaimana kami boleh meninggalkan hospital sedangkan pesakit masih memerlukan kami? Namun, tiada siapa yang diberi pilihan,” luah Shorouq dengan linangan air mata.

Rakusnya Penjajah, Lesapnya Kemanusiaan

Serangan ini sekali lagi menjadi bukti kerakusan tentera penjajah Israel yang tidak mengendahkan nyawa orang awam, apatah lagi pesakit yang tidak berdaya. Tindakan kejam ini melanggar semua nilai kemanusiaan, menjadikan Hospital Kamal Adwan medan penderitaan yang tiada taranya.

Keganasan ini mengingatkan kita tentang pentingnya solidariti dan sokongan terhadap rakyat Gaza, yang terus berjuang untuk kelangsungan hidup mereka di bawah kekejaman yang tidak mengenal perikemanusiaan. Dunia tidak boleh terus membisu.

Semoga keadilan suatu hari nanti berpihak kepada mereka yang tertindas.

Sumber: TV PERTIWI

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts