1. KEKELIRUAN golongan liberal nampaknya semakin kritikal. Jika sebelum ini Farouk Peru menafikan kewujudan ‘pensyariatan’ Solat Jumaat di dalam al-Quran, terkini terdapat pula di kalangan mereka yang menafikan kewujudan Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Nabi.
2. Kita sedia maklum bahawa Solat Jumaat telah pun disyariatkan oleh Allah melalui ayat yang kesembilan daripada Surah al-Jumuaah. Ketika menafsirkan ayat ini, al-Imam al-Tabari menyebutkan:
وذلك هو النداء ، ينادى بالدعاء إلى صلاة الجمعة عند قعود الإمام على المنبر للخطبة
“Ayat itu menjelaskan mengenai seruan, seruan untuk memanggil (kaum muslimin) supaya mendirikan Solat Jumaat, (seruan yang dilafazkan) ketika Imam telah bersedia di atas mimbar untuk menyampaikan Khutbah.”
3. Al-Imam al-Tabari tidak bersendirian dalam memahami kefarduan Solat Jumaat melalui ayat ini. Majoriti ulama tafsir dan fekah turut berfahaman sedemikian. Anehnya, Farouk Peru pula menafikan kefarduan Solat Jumaat melalui ayat ini. Apakah pemahaman Farouk Peru terhadap bahasa Arab dan ayat al-Quran lebih baik daripada ulama tafsir dan fekah sepanjang zaman?
4. Sarjana hadis turut mengesahkan bahawa perlaksanaan Solat Jumaat telah dilaksanakan di Madinah. Menurut al-Imam Abu Daud, Saidina Abu Umamah As’ad Ibn Zurarah adalah sahabat pertama yang membimbing solat itu di kalangan Ansar. Ia direkodkan dalam Sunan Abu Daud yang menyebutkan:
كان أبي إذا توجَّه لصلاة الجمعة وسمع الأذان استغفر لأبي أُمَامة، ولمَّا سأله لماذا يستغفر له قال: كان أول من جمع بنا في المدينة
“Abdul Rahman ibn Kaab ibn Malik berkata: Sesungguhnya bapaku (Saidina Ka’ab ibn Malik) ketika mana beliau berjalan untuk menunaikan Solat Jumaat, beliau akan memohon keampunan buat Abu Umamah (As’ad ibn Zurarah). Ketika (Ka’ab) ditanya mengapa engkau memohon keampunan buat Abu Umamah? Saidina Ka’ab menjawab: Kerana dia adalah orang yang pertama membimbing Solat Jumaat di Madinah. (HR Abu Daud, dinilai Sahih oleh al-Bayhaqi, dinilai Hasan oleh Ibn Hajar).
5. Dakwaan liberal yang menyatakan bahawa Khutbah Jumaat itu tidak wujud adalah dakwaan tidak benar. Mereka menyatakan sekiranya Solat Jumaat difardukan, mengapa Khutbah Jumaat Nabi tidak direkodkan secara bertulis oleh sahabat?
6. Kekeliruan ini boleh dijelaskan melalui penjelasan yang direkodkan di dalam tesis peringkat Master yang dijalankan di University of Baghdad. Tesis yang menghimpunkan keseluruhan Khutbah Nabi itu diselia oleh Prof Dr Abdul Rahman Wadi. Ketika menjelaskan mengenai Khutbah Jumaat, penulis membentangkan sejarah penyampaian Khutbah Jumaat Rasulullah ﷺ seperti yang direkodkan oleh al-Imam al-Tabari. Kata al-Imam al-Tabari:
حَدَّثَنِي سَعِيدُ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْجُمَحِيُّ، انه بلغه عن خطبه رسول الله ص فِي أَوَّلِ جُمُعَةٍ صَلاهَا بِالْمَدِينَةِ فِي بَنِي سَالِمِ بْنِ عَوْفٍ
“Said ibn Abdul Rahman al-Jumahi menyampaikan kepadaku mengenai Khutbah Jumaat pertama yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ di Madinah di perkampungan Bani Salim ibn Auf.” (Tarikh al-Tabari, 2/394)
7. Al-Imam al-Tabari kemudian menukilkan keseluruhan isi Khutbah yang disampaikan oleh Baginda Nabi. Bagi meringkaskan ruang perbahasan, saya tidak bercadang untuk menukilkan keseluruhan Khutbah Jumaat itu di sini. Namun sekiranya golongan liberal berhasrat untuk mengkaji Khutbah itu, mereka bolehlah merujuk karya al-Imam al-Tabari yang berjudul Tarikh al-Tabari, Cetakan Dar al-Turath, Beirut, yang diterbitkan pada tahun 1387 Hijriyyah/ 1967 Masihi. Sila rujuk jilid yang kedua, muka surat 394.
8. Al-Imam al-Baihaqi pula memperincikan penampilan Rasulullah ﷺ ketika menyampaikan Khutbah Jumaat. Beliau meriwayatkan:
كان إذا خَطَبَ في الحَربِ خَطَبَ على قَوسٍ، وإِذا خَطَبَ في الجُمُعَةِ خَطَبَ على عَصًا
“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ sekiranya berkhutbah di medan perang, Baginda akan memegang busur panah. Dan sekiranya Rasulullah ﷺ berkhutbah pada hari jumaat, Baginda akan memegang tongkatnya.” (HR al-Baihaqi dan Ibn Majah, dinilai daif)
9. al-Imam Ibn Khuzaimah pula menjelaskan mengenai ayat al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah ﷺ ketika menyampaikan Khutbah Jumaat. Ia diceritakan oleh Ummu Hisham binti Harithah yang menceritakan:
قَرَأْتُ (ق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ (مِنْ فِيّ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – كَانَ يَقْرَؤُهَا كُلَّ جُمُعَةٍ عَلَى الْمِنْبَرِ إِذَا خَطَبَ النَّاسَ.
“Aku mendengar dan mempelajari Surah Qaf daripada mulut Rasulullah ﷺ ketika Baginda membacanya dalam keadaan berkhutbah di atas mimbar pada hari jumaat.” (Sahih Ibn Khuzaimah)
10. Terlalu banyak perincian mengenai kaedah penyampaian Khutbah Jumaat oleh Rasulullah ﷺ seperti yang direkodkan oleh sarjana muslim. Selain perincian ini, terdapat beberapa karya khusus yang menghimpunkan khutbah-khutbah Rasulullah ﷺ, termasuklah khutbah Baginda ketika Solat Jumaat. Sekiranya golongan liberal berminat, mereka boleh mendapatkannya dipautan dibawah:
a. Tesis Master yang menghimpunkan khutbah-khutbah Rasulullah ﷺ:
http://thesis.mandumah.com/Record/154799
b. Karya Sheikh Muhammad Khalil al-Khatib yang turut menghimpunkan khutbah-khutbah Rasulullah ﷺ:
https://waqfeya.com/book.php?bid=10771
11. Bahkan, tahukah anda bahawa Syiah dan Ahmadiyyah yang sebahagiannya dihukum sebagai sesat pun masih mengakui dan mengamalkan Solat Jumaat? Liberal nampaknya lebih keliru daripada mereka kerana bukan sahaja menafikan Solat Jumaat ini wujud di dalam al-Quran bahkan menidakkan pengriwayatan khutbah-khutbah Rasulullah ﷺ.
Semoga Allah membimbing kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam
——
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)
▪️ telegram.me/indahnyaislam
▪️ instagram.com/indahnya.islam
▪️ twitter.com/IndahnyaIslam