Kekeliruan liberal tentang hukuman liwat

 

1. SEMALAM ada yang bertanya tentang hadith yang dinukilkan oleh Ustaz Ebit Lew tentang hukuman liwat. Ada dikalangan Liberal yang menyatakan bahawa hadith hukuman liwat tersebut tidak sahih bahkan kesemua hadith tentang bunuh peliwat dikatakan tidak sahih.

2. Ini adalah kenyataan yang tidak benar. Untuk menyatakan hadith tersebut tidak sahih juga adalah kurang tepat kerana terdapat juga sarjana hadith yang menilai hadith ini sebagai sahih. Sebagai contoh Sheikh al-Albani di dalam karya beliau berjudul Irwa’ al-Ghalil menilai hadith ini sebagai sahih. Al-Imam al-Hakim melihat hadith ini sebagai memiliki sanad yang sahih (isnaduhu sahih), begitu juga dengan al-Imam al-Zahabi.

3. Andai benar sekalipun hadith ini terdapat kecacatan, amalan sahabat boleh dijadikan rujukan buat kita. Ini kerana, para sahabat adalah kumpulan yang sangat rapat dengan Rasulullah dan mereka memahami kehendak syarak. Menurut al-Imam Ibn al-Qayyim, para sahabat mengenakan hukuman yang berat terhadap pelaku liwat. Kata beliau:

وحرق اللوطية بالنار أربعة من الخلفاء أبو بكر الصديق وعلي بن أبي طالب وعبد الله بن الزبير وهشام بن عبد الملك

“Empat orang pemerintah Islam pernah membakar pelaku liwat dan mereka adalah Saidina Abu Bakar al-Siddiq, Ali ibn Abi Talib, Abdullah ibn al-Zubayr dan Hisham ibn Abd al-Malik.” (Ibn al-Qayyim, Raudah al-Muhibbin)

4. Bahkan beliau turut menjelaskan bahawa bukan sahaja para sahabat mengenakan hukuman berat terhadap pelaku liwat, para Tabien, para Imam Mazhab turut memiliki pendapat yang sama. Melihatkan kepada dahsyatnya kerosakan yang dilakukan oleh peliwat, para sahabat, tabien dan imam-imam mazhab telah mengenakan hukuman yang berat. Kata Ibn al-Qayyim:

فَذَهَبَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ، وَعَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ، وَخَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ، وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ الزُّبَيْرِ، وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبَّاسٍ، وَخَالِدُ بْنُ زَيْدٍ، وَعَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَعْمَرٍ، وَالزُّهْرِيُّ، وَرَبِيعَةُ بْنُ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ، وَمَالِكٌ، وَإِسْحَاقُ بْنُ رَاهَوَيْهِ، وَالْإِمَامُ أَحْمَدُ – فِي أَصَحِّ الرِّوَايَتَيْنِ عَنْهُ – وَالشَّافِعِيُّ – فِي أَحَدِ قَوْلَيْهِ – إِلَى أَنَّ عُقُوبَتَهُ أَغْلَظُ مِنْ عُقُوبَةِ الزِّنَى، وَعُقُوبَتُهُ الْقَتْلُ عَلَى كُلِّ حَالٍ، مُحْصَنًا كَانَ أَوْ غَيْرَ مُحْصَنٍ

“Maka dengan sebab itu Saidina Abu Bakar al-Siddiq, Ali ibn Abi Talib, Khalid al-Walid, Abdullah ibn al-Zubair, Abdullah ibn Abbas, Khalid ibn Zaid, Abdullah ibn Ma’mar, al-Zuhri, Rabiah ibn Abd al-Rahman, al-Imam Malik, Ishaq ibn Rahaweih, al-Imam Ahmad (dalam riwayat yang paling sahih berhubung perkara ini), al-Imam al-Syafi’i (dalam salah satu pandangannya); mereka semua menyatakan bahawa hukuman liwat lebih berat dari zina, mereka dihukum bunuh samada telah berkahwin atau belum. (Ibn al-Qayyim, al-Jawab al-Kafi).

 

 

5. Al-Imam Abu Daud pula meriwayatkan pandangan Abdullah ibn Abbas dengan sanad yang sahih tentang seorang lelaki yang melakukan liwat. Kata Abu Daud:

عن ابن عباس رضي الله عنهما، في البكر يؤخذ على اللوطية، قال: يرجم

“Diriwayatkan daripada Ibn Abbas tentang seorang yang masih belum berkahwin yang ditangkap atas kesalahan liwat. Lalu Ibn Abbas berkata: Dia hendaklah direjam.” (Dinilai oleh al-Albani sebagai Sanad yang Sahih – Sunan Abu Daud)

6. Dalam sebuah riwayat yang sahih, Saidina Ubaidillah ibn Ma’mar menjelaskan bahawa hukuman buat pelaku liwat adalah seperti hukuman zina. Ini direkodkan oleh al-Imam Ibn Abi Syaibah yang menyebutkan:

عن عبيد الله بن عبد الله بن معمر قال: عليه الرجم، قتلة قوم لوط

“Dan daripada Ubaidillah ibn Ma’mar, (berkenaan hukuman liwat), maka hendaklah dia direjam seperti hukum bunuh ke atas kaum Nabi Lut.” (Musannaf Ibn Abi Syaibah)

7. Dikalangan Imam Mazhab yang empat, Imam Malik dikatakan memiliki pandangan yang paling keras berhubung hukuman liwat. Kata Ibn al-Qayyim:

وقد علم أن مالكا رحمه الله تعالى من أشد الناس وأشدهم مذهبا فى هذا الباب، حتى إنه يوجب قتل اللوطى حدا، بكرا أو ثيبا، وقوله فى ذلك هو أصح المذاهب، كما دلت عليه النصوص، واتفق عليه أصحاب رسول الله صلى الله تعالى عليه وآله وسلم

“Telah diketahui bahawa Imam Malik memiliki pandangan yang paling keras dikalangan manusia dan mazhab lain, beliau mewajibkan bunuh ke atas pelaku liwat samada yang sudah kahwin atau belum, dan pandangan beliau ini adalah paling sahih di sisi mazhab. Ia disokong oleh nas yang banyak dan para sahabat bersepakat dalam isu ini.

8. Terlalu banyak riwayat yang sahih berkenaan hukuman dan larangan perlakuan liwat ini. Apa yang cuba dilakukan oleh golongan liberal adalah mengelirukan umat Islam dengan memberikan gambaran seolah tidak ada hadith yang sahih dalam perkara ini. Apakah liberal sesat ini cuba mengharuskan pula amalan liwat ini?

Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts