Kekeliruan Siti Kasim tentang syahid

 

1. SEMALAM Siti Kasim menukilkan kenyataan yang seakan memerli TG Haji Hadi. Dia meminta supaya kerajaan membiarkan pesakit Covid-19 di sebuah pulau tanpa sebarang rawatan supaya mereka semua mati dan mendapat syahid seperti yang disebut oleh Tuan Guru.

2. Pada hakikatnya, janji pahala syahid yang disebutkan itu memang disebutkan dalam hadis. Ia adalah khusus buat mereka yang terkena wabak ta’un. Cumanya apa yang diperbahaskan sekarang adalah apakah Covid-19 itu wabak ta’un atau tidak? Saya faham ia adalah perselisihan dikalangan para ilmuan, namun apa yang pasti, pahala syahid buat mereka yang terkena penyakit ta’un memang dinyatakan dalam hadis.

3. Kurniaan gelaran syahid kepada mereka ini sebenarnya dianugerahkan sendiri oleh Rasulullah. Dalam sebuah hadith, Rasulullah bersabda:

الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ : المَطْعُونُ ، وَالمَبْطُونُ ، وَالغَرِيقُ ، وَصَاحِبُ الهَدْمِ ، وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ

“Terdapat lima jenis kematian yang dianggap syahid: iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

4. al-Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa, kelima-lima jenis kematian ini dianggap sebagai syahid kerana mereka menghadapi maut tidak seperti manusia biasa. Seksaan yang mereka lalui lebih dari yang lain. Dengan itu mereka digelar sebagai syahid akhirat.

5. al-Imam Ibn al-Tin menyampaikan pandangan yang hampir sama. Kematian yang berat sebegini adalah penyuci dosa mereka, menambah ganjaran buat mereka lalu Allah mengangkat kedudukan mereka sebagai syahid.

 

6. Dalam sebuah hadis yang lain pula, Rasulullah menjelaskan dengan lebih spesifik bahawa mereka yang bersabar menghadapi ujian wabak ta’un ini akan dikurniakan pahala syahid. Sabda Rasulullah:

ليس من عبد يقع في الطاعون فيمكث في بلده صابراً محتسباً يعلم أنه لا يصيبه إلا ما كتب الله له إلا كان له مثل أجر الشهيد‏”‏ ‏

“Maka mana-mana hamba yang berada dalam suasana wabak taun, lalu dia kekal berada di dalam negerinya dengan penuh kesabaran dan mengharap ganjaran Allah, nescaya dia akan mendapat pahala seperti orang mati syahid.” (HR al-Bukhari)

7. Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam Ibn Hajar menjelaskan:

اقتضى منطوقه أن من اتصف بالصفات المذكورة يحصل له أجر الشهيد وإن لم يمت

“Ungkapan Rasulullah tersebut memberi makna sesiapa yang bersifat dengan sifat-sifat yang disebutkan itu, dia akan memperolehi ganjaran syahid walaupun dia tidak mati kerana ta’un.”

8. Apa yang disampaikan oleh TG Haji Hadi dalam kuliah beliau ini adalah bagi memberikan kata-kata semangat, motivasi bagi membina pemikiran yang positif kepada pesakit bahawa usaha melawan penyakit ini akan diberikan anugerah oleh Allah. Anehnya motivasi sebegini sukar difahami oleh sebahagian kita.

9. Apabila Rasulullah menyampaikan hadis ini sebagai satu ungkapan positif buat mereka yang berjuang melawan penyakit ta’un, apakah berani kita memerli dan mendakwa Rasulullah seolah Baginda menggalakkan mereka ini untuk mati?

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts