Kelas al-Quran dalam talian tingkat kemahiran

KUALA LUMPUR: Mengaji al-Quran dalam talian menggunakan kaedah yang interaktif mempunyai tarikan tersendiri bagi menggalakkan kanak-kanak menguasai dan meningkatkan kemahiran bacaan berkenaan.

Kaedah pembelajaran itu membolehkan kanak-kanak berinteraksi dengan guru agama masing-masing untuk menguasai bacaan al-Quran dan tidak ketinggalan terutama ketika pengajaran bersemuka belum dilaksanakan sepenuhnya berikutan situasi COVID-19 yang belum reda.

Penyelia KAFA di Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI), Fatimah Suhaily Zaini Rijal, berkata, kaedah pengajaran al-Quran dalam talian banyak diperkenalkan seperti al-Baghdadi, teknik kad imbasan atau aplikasi interaktif lain dapat membantu anak menguasai kemahiran mengaji.

Katanya, melalui paparan, latih tubi dan bacaan interaktif memudahkan anak mempelajari dan mengulang kaji pembelajaran al-Quran di rumah.

“Pemantauan daripada ibu bapa juga membantu penguasaan anak agar ilmu pembelajaran al-Quran berterusan dan dapat dipraktikkan dari semasa ke semasa.

“Fitrah kanak-kanak cenderung bermain video atau menonton program kesukaan mereka sama ada melalui televisyen atau gajet milik ibu bapa.

“Justeru, tiada masalah jika diberi gajet seperti komputer peribadi untuk mereka mempelajari al-Quran menggunakan kaedah itu,” katanya.

Beliau berkata, jika dilihat situasi pandemik dua tahun dahulu pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sudah dilaksanakan di semua sekolah, jadi tiada masalah untuk mereka mengikutinya dengan baik.

“Kanak-kanak juga sudah terbiasa dengan cara ini dan seharusnya diteruskan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Kaedah berkenaan sebenarnya tidak menghakis kelas mengaji secara bersemuka yang sudah menjadi kelaziman ibu bapa menghantar anak untuk mendapatkan ilmu membaca al-Quran atau mengaji dengan ustazah bertauliah.

Jika keadaan COVID-19 semakin diyakini pulih, belajar al-Quran sama di masjid, surau atau kelas agama persendirian, selain Sekolah Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pembelajaran mengaji boleh diteruskan tanpa ragu sebagai memenuhi kewajipan umat Islam menuntut ilmu itu.

Katanya, kaedah mengaji melalui kaedah bersemuka juga sudah diamalkan sejak dahulu seperti dalam sirah Nabi Muhammad SAW, Malaikat Jibril menjadi guru kepada Baginda melalui beberapa peristiwa penting dan bersejarah, antaranya penurunan wahyu pertama di Gua Hirak pada malam 17 Ramadan.

“Nabi Muhammad SAW yang dilahirkan sebagai buta huruf atau ummi, diperintahkan untuk membaca ayat al-Quran. Lalu Jibril mengajarkan Baginda dengan ayat satu hingga ayat al-‘Alaq.

“Kaedah bersemuka dapat melihat secara jelas sebutan makhraj huruf dan hukum tajwid,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, bagi meningkatkan kemahiran membaca al-Quran, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan membaca bersama anak selepas solat atau memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 30 minit bagi mengenal huruf pada Iqra.

Banyak kaedah mengajar al-Quran yang sering digunakan seperti talaqqi musyafahah, tasmik (peringkat sekolah), tadarus (biasanya di masjid atau surau), tikrar (kaedah latih tubi), ImlaI, Baghdadiah, Iqra, Qiraati dan Hattawiah.

Fatimah Suhaily berkata, pelbagai teknik boleh digunakan ibu bapa sebagai inisiatif menggalakkan anak mempelajari bacaan al-Quran seperti pembelajaran dalam talian.

“Sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, ada ibu bapa mengambil peluang terbaik untuk mengaplikasi anak belajar dalam talian. Oleh itu, tiada masalah inisiatif ini dilakukan dengan ustaz atau ustazah bertauliah,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts