Kembara Korban Yayasan Ikhlas di Bangladesh

merasmikan

Alhamdulillah rasa bersyukur dan bertuah kerana saya diberi kepercayaan menguruskan ibadah korban Yayasan Ikhlas di Bangladesh bersama Encik Syafiq Syazmi Sazali, Pegawai Tugas-Tugas Khas Yayasan Ikhlas (YI). Walaupun hanya mengambil masa singkat hanya 13 hari untuk promosi korban Bangladesh, YI telah berjaya mendapat penyertaan 47 ekor lembu, ia melebihi sasaran asal hanya 40 ekor. Itupun masih ramai lagi yang hubungi YI setelah penyertaan ditutup. Satu capaian yang wajib DISYUKURI kerana ia merupakan projek perintis YI di Bangladesh. Jika bersyukur pasti Allah akan tambah lagi nikmatnya, tanpa menafikan keperluan penambahbaikan.

Alhamdulillah Allah permudahkan urusan untuk tujuan yang murni. Mengambil masa lima hari membuat segala persiapan dokumen untuk ke Bangladesh seperti pembelian tiket, visa, MoU dengan wakil Bangladesh, pembayaran lembu ke Bangladesh, cetak nama peserta, banner dan lain-lain lagi.

Malaysia dan Bangladesh mempunyai ikatan dua hala sedia ada yang kukuh, terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan. Kami berbesar hati dapat menyumbang sesuatu dalam meningkatkan ikatan dua hala ini, ia memaparkan keyakinan kami membantu golongan yang kurang diberikan perhatian.

Bangladesh mempunyai kepadatan penduduk seramai lebih 156.5 juta orang. Merupakan Negara Islam ketiga termiskin di dunia. Berbahasa Bengali. Terletak bersempadan Utara, Barat, Timur India dan Teluk Benggal di sebelah Selatan.

photo_2016-09-10_21-48-49

Yayasan Ikhlas menjalin kerjasama dengan Ustaz Shahidul Islam Faruqi, Chairman Sabehuul Huda Education Foundation bagi melaksanakan ibadah korban di Bangladesh. Ustaz Shahidul adalah warga Bangladesh yang sedang mengikuti pengajian PhD, Maqasid Syariah di UIA Gombak. Beliau berpengalaman mengendalikan program korban di Bangladesh.

Semua 40 tempat korban yang dicadangkan dalam MoU telah menerima agihan 47 ekor lembu korban tersebut. Korban telah berjaya disempurnakan pada hari raya pertama dan kedua.

Urusan Visa juga tidak rumit, hanya ambil masa dua hari sahaja. Sediakan dua keping gambar saiz visa background biru, salinan passport, surat undangan ke Bangladesh, alamat tempat tinggal di Bangladesh, no hp untuk dihubungi di Bangladesh serta slip bayaran visa RM40 yang dibank-in terlebih dahulu ke akaun Maybank Kedutaan Bangladesh.

Walaupun pada awalnya saya rasa bimbang aspek keselamatan untuk menerima tugasan ini berikutan perkembangan mutaakhir politik di Bangladesh. Namun perasaan tawakkal sebulatnya pada Allah swt dan mengambil inspirasi keyakinan Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan Hajar dan Ismail di padang pasir yang gersang, akhirnya dapat mengatasi semua rasa kebimbangan itu.

Kami berlepas dari KLIA sepatutnya 0955 pm, tetapi tertunda 15 minit kerana pengurusan AirAsia terpaksa menyelesaikan masalah beberapa penumpang yang membawa bagasi bimbit melebihi timbangan yang dibenarkan. Bag ditimbang di ruang menunggu untuk berlepas. Suasana agak tegang bila ada penumpang yang berkeras tidak mahu mematuhi arahan.

Majoriti penumpang adalah warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia dan pulang bercuti, sudah pasti banyak ole-ole atau hadiah yang dibawa untuk keluarga.

ust-8

Dalam kapal terbang berlaku sedikit suasana berebut tempat duduk walaupun terjamin AirAsia menyediakan seat yang secukupnya untuk setiap penumpang. Seat ana pun asalnya dah ada orang lain duduk. Mereka duduk ikut sukahati sahaja macam suasana naik keretapi di Bangladesh.

Bila tunjuk boarding pass akhirnya mereka akur kerana silap seat. Mereka minta maaf sambil melemparkan senyuman.

Dua penumpang yang duduk bersebelahan saya adalah warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia dan pulang bercuti, boleh bertutur Melayu. Seorang darinya dah 4 tahun kerja di Selayang manakala seorang lagi dah 10 tahun bekerja di Kilang Plastik, Meru Klang.

Walaupun AirAsia tidak menyediakan makanan dan minuman bagi penumpang yang tidak membuat tempahan online, namun perjalanan 3 setengah jam tetap rasa terhibur dengan perkongsian cerita pengalaman mereka bekerja di Malaysia. Mereka bersyukur dan bertuah dapat bekerja mencari rezeki di Malaysia, negara aman dan rakyatnya berbudi bahasa khususnya orang Melayu.

ust-7

Tepat 1145 pm waktu Bangladesh, kapal terbang selamat mendarat di lapangan terbang Dhaka. Dhaka adalah ibu negara Bangladesh, salah satu bandar terbesar di dunia dan sibuk dengan kira-kira 18 juta polulasi.

Mengambil masa lebih kurang 35 minit urusan di imigresen. Ustaz Shahidul juga turut serta dalam misi korban ini, beliau menaiki penerbangan Malindo Air.

Mendapat maklumat dari penumpang lain bahawa sepanjang 4 hari perayaan, bank dan kedai akan ditutup, kami ambil kesempatan menukar mata wang USD ke TAKA (matawang Bangladesh) dan membeli sim kad Banglalink di zon bebas cukai yang dibuka 24 jam dalam airport. Namun dukacita talian internet ada gangguan sepanjang perayaan, sim kad hanya boleh guna untuk panggilan sahaja.

Ketibaan kami di airport disambut oleh Maulana Muhammad Salman, prinsipal Madrasa Darul Rashad (MDR), Dr Humayun Kabir dan Muhammad Nurul Zaman seorang pemandu yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun dengan MDR.

Kami dibawa ke tempat penginapan tetamu di MDR, Phalabi, Dhaka. Kediaman yang sederhana tapi selesa. MDR adalah sebuah sekolah agama swasta yang mempunyai 1200 orang pelajar dalam satu-satu masa. Telah melahirkan ramai huffaz dan ulamak hebat di Bangladesh.

ust-naik-cng

Berdasarkan ru’yah anak bulan, Eidul Adha di Bangladesh disambut pada tanggal 13 September. Ia sama seperti di Pakistan dan India. Mereka bermazhab Hanafi. Solat Eidul Adha dan ibadah korban adalah wajib di sisi mereka.

Kami berpeluang menunaikan solat Eidul Adha mengikut cara Mazhab Hanafi di sebuah masjid 3 tingkat yang terletak bersebelahan Madrasa Darur Rashad. Memandangkan bilangan jamaah yang terlalu ramai hampir 12 ribu orang, memaksa solat Eidul Adha dilakukan sebanyak 3 kali. Masjid hanya boleh memuatkan 4 ribu orang sahaja dalam satu-satu masa. Itupun hanya jamaah lelaki.

ust-3

Selesai solat, kami terus memulakan ibadah korban. Hari raya pertama sebanyak 10 ekor lembu berjaya dikorbankan di beberapa tempat di Dhaka. 2 ekor ditumbangkan di MDR dan 7 ekor lagi di tempat lain termasuk di sebuah madrasah ahli Tasawuf. Manakala baki 37 ekor lagi berjaya dikorbankan di Khustia, kawasan perkampungan yang terletak di sebuah pulau, 6 jam perjalanan dari Dhaka.

Hari raya kedua, seawal jam 0500 pagi kami bertolak dari Dhaka menuju ke Khustia. Mesti bertolak awal demi mengelak kesesakan lalu lintas di bandar yang sesak dengan kenderaan dan ribuan beca berbagai warna. Sebahagian perjalanan perlu menaiki feri selama kira-kira 1 jam. Ada kenangan mencemaskan ketika feri sedang berlayar di mana ada seorang penumpang yang jatuh terhumban ke laut. Feri terpaksa berpusing untuk menyelamatkan mangsa. Keadaan air laut sangat keruh kerana laluan feri yang sangat sibuk.

Kami bergerak menaiki kereta jenis Toyota SEG warna putih yang dipandu oleh Muhammad Nurul Zaman, sangat pantas dan cekap. Kenderaan yang dilengkapi bunyi siren polis dan mikrofon. Siren polis sentiasa dibunyikan setiap kali ada kesesakan jalan atau ketika memintas kenderaan lain, juga ketika hampir sampai ke destinasi dituju, persis seperti naik kereta menteri.

Dalam perjalanan, kami sempat melintasi jambatan sungai Gangga. Dua kali berhenti di stesen minyak, sekali isi petrol dan sekali isi gas. Petrol di Bangladesh RM4.70 satu liter. Jauh lebih mahal berbanding di Malaysia.

Tiba di Khustia jam 11 pagi, kami terus menuju ke tempat pertama korban di Madrasah Sabeelul Rashad, Satian Mirpur. Di samping menyempurnakan korban, saya turut dijemput membacakan doa selamat di tapak Madrasah Lilbanat. Ustaz Shahidul yang juga penasihat Madrasah berkenaan turut mengaminkan doa dengan penuh perasaan sampai menangis.

Seterusnya kami bergerak ke kampung Ustaz Shahidul, di Dawlaat Pur, Thursia. Ada sebuah madrasah Darul Ulum Sabeelur Rashad dan masjid Nur hampir siap pembinaan berhampiran rumah Ustaz Shahidul. Beliau adalah pengasas dan mudir madrasah ini.

Kami menginap di bilik tetamu madrasah tersebut. Ramai ahli keluarga dan orang kampung berpusu-pusu datang bersalaman dan meminta didoakan. Turut hadir adalah warga Bangladesh dari kampung berdekatan yang bekerja di Malaysia dan kebetulan sedang bercuti.

penduduk

Di tempat ini 3 ekor lembu telah dikorbankan. Orang kampung menunggu sejak awal pagi untuk menyambut ketibaan kami. Ditakdirkan Allah swt hujan turun setibanya kami di situ. Oleh kerana dah lama tak turun hujan, maka ada yang berkata kedatangan kami bagaikan membawa rahmat.

Di kampung ini kami disajikan makan tengahari dan makan malam dengan lauk 2 jenis ikan, ayam kampung dan kambing masak kerutub. Mereka beli ayam dan kambing untuk raikan tetamu. Sedihnya bila saya dapat tau, bahawa lauk kambing dan ayam itu masak cukup-cukup untuk tetamu sahaja, sajian makan tengahari dan malam.

Ahli keluarga tak sentuh lauk daging itu kerana bimbang tak cukup. Hanya itulah bajet yang mereka mampu untuk meraikan tetamu. Mengalir air mata mengenangkan anak-anak kecil yang kelihatan seperti terliur nak makan bersama ketika itu tetapi dihalang keluarga. Saya dapat tahu keadaan sebenar selepas siap makan malam, berbual dengan seorang remaja yang boleh faham Arab. Dia kata ; ini memang adat kami ketika sambut tetamu lebih-lebih lagi bila tetamu tersebut seorang ustaz dan ulamak. Salam cium tangan dan minta doakan berbagai ; minta doa kesembuhan, dapat pergi ke Mekah buat haji dll.

Keadaan di kampung yang kami kunjungi memang sangat memilukan, terlalu miskin. Boleh dikatakan setiap rumah di kampung ada kolam ikan. Ikan adalah sumber utama lauk mereka sepanjang hayat. Mereka dapat merasa daging ketika raya korban setahun sekali. Ada yang mampu ternak lembu tapi untuk dijual ketika musim perayaan, bukan untuk makan sendiri. Ikan di kolam juga tidak sempat membesar kerana sentiasa dimakan. Saiz ikan keli yang menjadi sajian pun lebih kurang sebesar 2 jari tangan dan panjang 15cm.

Alhamdulillah semua lembu korban dari rakyat Malaysia dapat disempurnakan pada raya kedua di perkampungan miskin tegar dalam daerah Khustia. Pengagihan daging kepada mereka walaupun mungkin cukup hanya untuk sekali makan, sudah pasti dapat mengubat kerinduan untuk merasa daging setahun sekali. Tak sempat nak simpan dalam freezer seperti suasana di Malaysia di mana ada yang terima daging korban sampai tak muat peti, sebulan kadang tak habis makan lagi. Cukup menginsafkan, aku tak mampu menyembunyikan rasa sebak di dada dan menahan terjahan air mata tatkala mengenangkan keadaan mereka.

kampung-3

Kebanyakan kediaman mereka dibina menggunakan tanah liat. Takdirnya hujan lebat seminggu berturut-turut nescaya runtuh dan perlu dibina semula.

Sumber air minuman juga tidak dirawat. Kami sempat minum air kelapa muda yang baru diturunkan ketika kami berkunjung. Kami memang sentiasa membawa bekal air tapis dan jus mangga yang beli di kedai, letak dalam ghari@kereta.

Pemilihan Bangladesh sebagai salah satu destinasi korban Yayasan Ikhlas adalah ijtihad yang amat tepat sekali. Terdapat jutaan manusia beragama Islam miskin tegar di negara ini. Mereka perlukan bantuan makanan dan pakaian. Sungguh menginsafkan bila melihat keadaan mereka. Sukar nak digambarkan dengan kata-kata keperitan hidup yang mereka tempuhi saban hari. Kemiskinan yang tak pernah saya saksikan di Malaysia. Jiwa agama mereka kuat, tidak merungut dengan kesusahan hidup, cukup menjaga maruah, tidak menyerbu kami untuk meminta sedekah walaupun boleh dibaca dari air muka yang sangat mengharapkan belas ehsan.

Syafiq dan Ustaz Shahidul meneruskan perjalanan ke beberapa tempat lagi untuk penyempurnaan ibadah korban YI. Manakala saya direhatkan di rumah tetamu madrasah. Ada beberapa tempat korban yang tiada laluan kereta, terpaksa masuk berjalan kaki beberapa kilometer.

Menjelang Maghrib saya dijemput menyampaikan ucapan ringkas dalam bahasa Arab di Masjid Nur. Ketika itu tiada penterjemah yang mahir berbahasa Arab kerana ustaz Shahidul dan Syafiq masih terlibat dengan program korban di tempat lain. Ada seorang pelajar Bangladesh kelulusan MBA boleh berbahasa Inggeris sikit-sikit tolong terjemah. Saya terpaksa berkomunikasi english + arab. Audean hanya senyum dan terangguk-angguk sepanjang tazkirah.

ust-4

Lepas Isyak saya dijemput sekali lagi memberi tazkirah 30 minit dalam bahasa arab dan diterjemah oleh Ustaz Shahidul. Beliau dianggap seperti mufti di daerahnya dan semua tempat yang kami kunjungi. Slot kedua ini kelihatan riak wajah kepuasan audean bila mufti sendiri yang terjemah dengan penuh semangat. Saya mengupas ayat 13 surah al-Hujurat bertemakan ukhuwwah dari kejadian berbilang bangsa.

Firman Allah bermaksud :
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”. [Surah al-Hujurat : 13]

Sepanjang masa kami di Dhaka dan Khustia, ada pengiring peribadi yang ditugaskan untuk menemani kami. Di antara tugasnya ialah menyimpan kasut atau selipar yang kami guna. Selipar perlu dibawa masuk dalam masjid dan letak di tempat yang disediakan supaya tidak hilang. Di tempat penginapan pun begitu juga, pengiring akan ambil selipar atau kasut kita dan diletakkan di tempat yang disediakan. Sehingga kami nak bertolak balik, kasut saya telah dikiwikan terlebih dulu hingga kilat. Kami bagaikan tidak dibenarkan menyentuh kasut sendiri.

Pengiring tersebut juga ditugaskan untuk membantu menguruskan sebarang keperluan peribadi. MasyaAllah cukup terharu dengan layanan mereka terhadap tetamu, lebih-lebih lagi terhadap seseorang yang ada title ustaz dan ulamak. Tradisi mereka memang sangat menghormati ulamak walaupun kami secara peribadi tidak mengharapkan semua layanan seperti itu. Walaupun mereka hidup susah tapi jiwa agamanya cukup kuat.

Saya ke Bangladesh hanya membawa sehelai jubah dan beberapa helai pakaian kemeja dan t-shirt untuk memudahkan pergerakan urusan korban. Tetapi dinasihatkan oleh Ustaz Shahidul supaya berterusan pakai jubah, kerana itu uruf pakaian seorang Ustaz dan Ulamak di Bangladesh. Saya menghormati pandangan beliau walaupun hakikatnya lebih suka fleksibel.

Jam 0500 pagi, setelah selesai mengumandangkan azan dan mengimami solat subuh di Khustia, kami bertolak kembali ke Dhaka. Mengambil masa perjalanan yang hampir sama selama 6 jam. Kami kembali ke penginapan yang sama di MDR, Dhaka.

ust-2

Di MDR kami berkesempatan bertemu dengan sekumpulan 26 orang pelajar muallaf. Mereka berasal dari beberapa suku kaum bukan beragama Islam. Telah berjaya diislamkan dan kini menjadi anak angkat MDR serta mendapat didikan agama yang sempurna di situ.

ust-1

Hari terakhir di Dhaka kami sempat berkunjung ke Kedutaan Malaysia, namun dukacita kerana pejabat tutup. Hanya berpeluang ambil gambar di luar pejabat sahaja.

Tepat jam 0900 pm waktu Bangladesh kami bertolak ke airport untuk berlepas pulang ke Malaysia. Prinsipal MDR turut menghantar kami ke airport.

Sebelum meninggalkan kediaman, kami sempat menyampaikan plak cenderahati dari Yayasan Ikhlas sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan.

Suasana sebak dan pilu di saat akhir perpisahan walaupun hanya sempat bertaaruf beberapa hari, tetapi bibit ukhuwwah sudah terbina. Dua kali prinsipal Maulana Salman menghubungi kami bertanya keadaan semasa ketika kami sudah berada di dalam balai berlepas dan ketika kami sudah sampai di Malaysia. Maulana boleh berbahasa Arab dan Inggeris. Beliau mengkagumi Malaysia dan Tun Mahathir. Pernah datang ke Kelantan dan mengenali almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Tepat jam 0630 pagi 16.09.16 kami selamat mendarat di KLIA2. Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan hingga berjalan dengan lancar. Demikianlah sedikit coretan misi korban Yayasan Ikhlas di Bangladesh. Tidak lupa diucapkan terima kasih kepada semua peserta ibadah korban YI di Bangladesh. Saya merinduinya untuk berkunjung lagi…

Ustaz Abdul Rahman Iskandar [ Al Rais ]
Pengurus Yayasan Ikhlas Kelantan

Sumber: http://www.yayasanikhlas.org.my/kembara-korban-yayasan-ikhlas-di-bangladesh/

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts