KEMPEN ‘Subuh Macam Jumaat’ yang dicetuskan oleh selebriti dan juga penyanyi, Alif Satar bukan sahaja mendapat reaksi positif dalam negara, tetapi turut menjadi contoh sehingga jadi ikutan di negara jiran seperti Singapura.
Menurutnya, sejak memulakan kempen itu pada November tahun lalu, aktiviti tersebut semakin berkembang dan lebih menarik apabila disusuli aktiviti berlari yang turut ditemani ramai rakan baharu.
Tambahnya, ilham untuk memulakan gerakan tersebut bermula selepas mendengar ceramah berkaitan Palestin.
Susulan itu, masjid di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sedang giat menyemarakkan kempen ‘Subuh Macam Jumaat’ bagi menggalakkan amalan menunaikan ibadah tersebut secara berjemaah di masjid secara berterusan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif sedemikian yang diyakini dapat mengubah persepsi masjid dalam kalangan masyarakat.
Perkara tersebut juga dilihat sangat signifikan lebih-lebih lagi umat Islam bakal menyambut Ramadan dan sudah tentu masing-masing ingin merebut pahala sepanjang bulan mulia itu.
Orang ramai hadir untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah pada program Geng Subuh Macam Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Pengaruh media sosial telah memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menjalankan rukun Islam kedua itu dengan lebih baik, selain memeriahkan masjid menerusi aktiviti keagamaan bersama komuniti setempat.
Program seperti ini bukan sahaja membuka ruang silaturahim, tetapi juga menjadi tempat perkongsian ilmu kepada orang ramai.
Selain dapat beribadah, masyarakat juga dapat mengenali antara satu sama lain dan mengukuhkan permuafakatan sesama insan.
Fungsi masjid sebagai tempat pertemuan tidak hanya diisi dengan ruang lingkup kerohanian semata-mata, tetapi ia juga menjadi pusat perbincangan intelektual dan kemanusiaan.
Kempen atau gerakan yang mengajak masyarakat berbuat baik menerusi platform media sosial adalah kaedah paling berkesan, malah ia berupaya membentuk individu lebih positif dalam menjalani kehidupan.
Inisiatif tersebut merupakan langkah permulaan kepada mana-mana individu untuk memperbaiki diri menjadi lebih baik.
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM