Kenapa perlu boikot produk Amerika Syarikat

1. SATU persoalan yang berlegar di pemikiran sesetengah orang adalah boikot terbatas kepada badan yang memang mendanai persenjataan Israel. Dari situ timbul persoalan kenapa perlu memboikot syarikat yang tidak menyumbang kepada peperangan secara langsung?

Saya kongsikan di sini pandangan saya untuk percambahan idea dalam memahami isu boikot secara lebih luas. Boleh diterima boleh ditolak, terpulang kepada pembaca.

2. Israel akan jatuh tidak lama lagi. Terlalu banyak petanda ke arah itu. Tidak jatuh hanya kerana Amerika masih memberikan tubuhnya untuk Israel bersandar. Amerika menggunakan pengaruh dan kuasa ancamannya untuk melibatkan banyak negara Eropah dan sebahagian negara Arab untuk memastikan kesinambungan hayat Israel. Perang sudah bertukar dari Israel-Palestin kepada US-Palestin.

3. Perang zaman moden tidak sama seperti perang di zaman klasik dahulu. Kos peperangan terlalu tinggi dan boleh meruntuhkan negara. Sebahagian negara yang kuat, mereka akan menggunakan mungkin separuh belanjawan negara untuk pertahanan. Pertahanan tidak bermaksud hanya kos senjata. Termasuk juga adalah kos risikan, kos kajian, kos pembangunan teknologi, kos propaganda media, kos hubungan diplomatik, kos lobi antarabangsa dan lain-lain kos yang kadang tidak termasuk dalam perkiraan seperti upah talibarut dan seumpamanya.

Negara yang kuat akan menjuruskan seluruh pembangunan negara (teknologi, keselamatan makanan, politik, pendidikan, sosial budaya dan sebagainya) menuju ke arah kemampuan negara untuk mengisytiharkan peperangan. Sebagai contoh kalau negara itu hanya maju dari segi persenjataan tetapi dari segi pembangunan pendidikan dan sosial tidak melahirkan rakyat yang berani dan setia, senjata tersebut hanya akan makan diri dan menjadi ancaman keselamatan kepada negara.

4. Berbalik kepada isu boikot …. pihak yang menimbulkan persoalan kenapa perlu juga boikot syarikat yang tidak memberi bantuan persenjataan kepada Israel? Jawapannya ada di atas dalam poin yang saya kongsikan tadi.

i. Kenapa perlu memboikot produk US?

Kerana perang ini bukan lagi Israel-Palestin sebaliknya adalah US-Palestin. ‘War room’ bukan lagi di tangan Israel tetapi di tangan tentera US.

ii. Kenapa tidak menghadkan boikot kepada syarikat yang memberi bantuan persenjataan sahaja?

Kerana US dalam memerangi Palestin, mereka bukan sahaja perlu kepada senjata, tetapi juga perlu kepada perkara lain.

Mereka perlu kepada manusia yang berfikir dengan neraca Barat. Jika ramai yang begitu, maka serangan setiap hari tidak akan dibantah kecuali oleh segelintir. Dari situ mereka melabur di dalam insustri perfileman, hiburan dan membudayakan satu cara hidup melalui makanan, minuman, pakaian, fesyen, pertuturan dan lain-lain.

Setiap syarikat di dalam bidang yang pelbagai itu mengukuhkan US-Israel dan menambahkan kemampuan mereka di dalam peperangan ini.

iii. JIka begitu, bukankah boikot ini akan jadi terlalu besar?

Jawapannya iya. GSPP memulakan dengan memboikot tiga produk, tetapi harapan dan cita-citanya adalah jauh lebih dari itu.

Liga Arab telah mencadangkan agar negara-negara Arab tidak membenarkan ruang udara mereka digunakan oleh Israel. Juga mencadangkan agar minyak dan segala sumber ekonomi Arab tidak dijual kepada Israel dan sekutunya. Itulah boikot … malangnya usul ini ditolak oleh empat negara Arab.

Kenapa ditolak?

Kerana US sudah berjaya mengikat negara-negara ini dengan kekuatan-kekuatan lain (ekonomi, budaya, perundangan yang sesetengah pihak tidak menganggapnya sebagai kekuatan dalam peperangan).

FBI datang ke Malaysia dan disambut mesra oleh Menteri dan SPRM. Kalau kita faham tabiat peperangan sekarang, Menteri dan Sprm sepatunya ‘memboikot’ kunjungan tersebut dan tidak memberikan perhatian.

Tetapi persoalan sama, kenapa Malaysia tidak ‘boikot’ kunjungan tersebut?

Kunjungan itu tidak akan ‘diboikot’ kerana kita sebelum ini tidak ‘memboikot’ cara fikir Barat menjadikan orang kita menganggap Barat sebagai maju bertamadun, perlu dicontohi, perlu dihormati dan perlu dapatkan perlindungannya.

4. Salah satu senjata yang amat ditakuti oleh US adalah boikot dari umat Islam. Jika boikot ini berjaya, US tidak akan dapat apa-apa sumber kekuatan dari negara umat Islam. Mereka perlukan wang … wang tidak akan mengalir dari poket umat Islam kepada US. Mereka perlukan sokongan polisi … sokongan itu tidak akan diperolehi dari pemimpin umat Islam. Mereka perlukan tanah untuk penempatan tentera … mereka tidak akan dapat tanah untuk penempatan tentera mereka di negara-negara Arab. Laut dan udara juga mereka tidak akan dapat.

Jika boikot dalam konsep yang luas ini dilaksanakan, adakah US akan memenangi peperangan ini?

Mustahil ….

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts