Kenapa Rasulullah ﷺ beristighfar?

  1. Ketika membahaskan tentang hadith istighfar, Sheikh al-Dahlawi menyebutkan bahawa terdapat sarjana Muslim yang berasa hairan mengapa Rasulullah ﷺ sering beristighfar sedangkan Baginda telah diampunkan dosanya. Kata Sheikh al-Dahlawi:

ولقد تحير العلماء في بيان معنى هذا الحديث وتأويله

“Sesungguhnya sebahagian ulama merasa hairan ketika membahaskan hadith ini (hadith istighfar Rasulullah).” Ini kerana kita semua sedia maklum bahawa Rasulullah telah dikurniakan keampunan, bahkan Baginda adalah maksum. Lalu untuk apa lagi istighfar tersebut?

  1. Menurut riwayat Sahih Muslim, Rasulullah ﷺ dikatakan tenggalam dalam kekhusyukkan beristighfar. Sabda Baginda Nabi :

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِي، وَإِنِّي لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِي الْيَوْمِ مِئَةَ مَرَّةٍ

“Sesungguhnnya hatiku tenggelam dalam keseronokan beristighfar. Dan sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah setiap hari seratus kali.” (HR Muslim)

  1. Timbul persoalan di sini, mengapa Rasulullah yang maksum ini khusyuk dan tenggelam jiwanya dalam memohon keampunan buat Allah sedangkan Baginda adalah maksum. Menurut al-Imam al-Nawawi, Baginda beristighfar bukan buat dirinya akan tetapi buat umatnya iaitu kita! Kata al-Imam al-Nawawi:

هُوَ هَمُّهُ بِسَبَبِ أُمَّتِهِ وَمَا اطَّلَعَ عَلَيْهِ مِنْ أَحْوَالِهَا بَعْدَهُ فَيَسْتَغْفِرُ لَهُمْ

“Ia adalah disebabkan kerana keperihatian Nabi terhadap umatnya, Baginda memerhati hal ehwal yang akan menimpa umatnya lalu Baginda beristighfar buat mereka. (al-Nawawi, Sharh Muslim).

  1. Bayangkan, Rasulullah sendiri memohon istighfar buat kita kerana dosa dan kesilapan yang kita lakukan. Tidak malukah kita kepada Rasulullah yang memohon istighfar buat umatnya sedangkan kita sendiri jarang beristighfar?
  2. Menurut al-Qadi Iyyad pula, Baginda mengucapkan istighfar setiap masa kerana bimbang terdapat terdapat masa yang hatinya leka dari mengingati Allah.

كَانَ شَأْنُهُ الدَّوَامَ عَلَيْهِ فَإِذَا فتَرَ عَنْهُ أَوْ غَفَلَ عَدَّ ذَلِكَ ذَنْبًا وَاسْتَغْفَرَ مِنْهُ

“Sesungguhnya hati Rasulullah itu sentiasa berada dalam keadaan zikir (mengingati Allah), namun apabila Baginda teralpa atau leka seketika, maka Baginda segera beristighfar kerana leka dari berzikir kepada Allah.” (Sharh Muslim)

  1. MashAllah! Begitu tinggi iman seorang Nabi. Tidak ada masa bagi hatinya untuk alpa dari mengingati Allah. Sekiranya terleka seketika, Baginda segera memohon keampunan dari Allah.
  2. Malah al-Nawawi menegaskan bahawa istighfar Rasulullah itu adalah manifestasi pengabdian Baginda kepada Allah, iaitu menundukkan seluruh jiwa dan raganya hanya kerana Allah sebagai tanda hamba yang bersyukur.
  3. Andai Rasulullah sendiri beristighfar untuk kita setiap hari, malulah kita jika kita sendiri tidak beristighfar setiap hari. Malah sekiranya Rasulullah sendiri beristighfar untuk menzahirkan sifat kehambaan dan syukur kepada Allah, maka kita lebih perlu untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts