DEWASA ini kita lihat, budaya menyambut Hari Valentine ini semakin rancak dinormalisasikan dalam masyarakat kita umumnya dan kepada belia khususnya. Restoran-restoran dan pusat-pusat membeli belah pula semakin asyik mempromosikan perniagaan mereka dengan ‘menggulakan’ pelanggan terutamanya pasangan kekasih yang belum sah bernikah untuk bersama meraikan ‘hari keramat’ ini.
Pelik 1000 kali pelik, dalam banyak-banyak hari kenapa 14 Februari yang dipilih untuk “berkasih sayang” sedangkan dalam Islam sentiasa menganjurkan kasih sayang pada umatnya terutamanya pada suami isteri, ibu bapa dan keluarga tanpa mengira hari! Jadi kalau sehari je kita sambut hari kekasih, 364 hari yang berbaki tu kita tak perlu berkasih-sayang kah? Walhal Rasulullah telah bersabda:
“Tidak beriman seseorang itu jika dia tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri”
Hadis tersebut jelas memperlihatkan bahawa Islam menitik beratkan kasih sayang sesama umatnya (yang sama jantina ye adik-adik). Maka, kenapa harus dispesifikkan hanya satu hari sahaja untuk meraikannya?
Tapi yang menjadi persoalan yang menyeksa jiwa raga belia hari ini adalah KENAPA TAK BOLEH SAMBUT VALENTINE?
“Ala kak, kami berkasih sayang je, tak lebih-lebih”
“Kami keluar jalan-jalan, beli hadiah je, bukannya apa pun”
Meh Akak bagi tau ye dik,
- Memesongkan Akidah
Kenapa dan macam mana Hari Valentine ni boleh pesongkan akidah? Ok, jom kita merentas masa dan mengorek semula sejarah kewujudan Hari Valentine itu sendiri.
SEJARAH SATU
Bermula pada abad ke 17 masihi, agama Pagan merupakan satu agama yang dianuti oleh penduduk Rom suatu ketika dahulu. Bagi meraikan konsep ‘Cinta Spiritual’, mereka meraikan satu festival yang dinamakan sebagai Festival Cinta. Penganut agama Pagan meraikan festival ini pada pertengahan bulan Februari dan diketuai oleh dua orang lelaki yang gagah di negeri Rom pada zaman itu. Festival ini bertujuan untuk meraikan ketokohan Romulus, pembuka kota Rom yang merupakan seorang lelaki yang gagah dan bijaksana.
Oleh itu, upacara festival ini dimulakan dengan penyembelihan binatang seperti anjing dan kambing. Darah haiwan yang telah dikorbankan tadi akan dilumur ke serata tubuh badan kedua-dua lelaki tersebut. Mereka kemudiannya akan berarak ke seluruh pelusuk Bandar Rom sambil memukul kulit haiwan tersebut pada para wanita. Setelah beberapa abad, pihak gereja mendapati perayaan ini tidaklah selari dengan prinsip agama mereka. Maka, untuk mengkristianisasikan perayaan ini, pihak gereja mengambil keputusan untuk mengubah festival tersebut kepada Hari Valentine untuk meraikan pasangan kekasih dalam cara yang lebih terhormat dan bertamadun
SEJARAH DUA
Pada zaman pemerintahan Raja Claudius II, kerajaan Rom amat memusuhi agama Kristian. Permusuhan itu telah mengakibatkan ramai para mubaligh Kristian pada zaman itu dipenjarakan termasuklah St. Valentine. Walaupun dipenjara, St.Valentine tetap tidak berputus asa dan meneruskan usaha dakyah Kristiannya kepada para banduan yang bersamanya. Oleh sebab itu, St.Valentine telah diseksa dan akhirnya dibunuh pada tanggal 14 Februari. Penganut agama Kristian mengabadikan tanggal 14Februari sebagai Hari Memperingati St.Valentine, namun begitu, setelah beberapa abad, Hari Valentine telah diubah untuk dijadikan Hari Kekasih.
Dua sejarah diatas jelas memperlihatkan kecenderungan sejarah Hari Kekasih ini ke arah agama Kristian. Penganut agama Kristian meraikan perayaan ini sebagai satu perayaan di dalam agama mereka. Hal ini bertentangan dengan akidah dan hukum syarak yang menjadi tunjang kepada setiap orang Muslim.
Hakikat yang harus dingat adalah, Islam itu syumul, meliputi seluruh aspek kehidupan. Islam telah menetapkan aturan hidup manusia dari segenap aspek kehidupan termasuklah aspek perayaan. Ibnu Taimiyah menyebut: “Perayaan itu adalah sebahagian dari undang-undang, cara yang jelas telah Allah firmankan dalam surah Al-Maidah, 48,
“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.”
Dan Surah Al-Hajj ayat 57
“Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariatmu; dan serulah (wahai Muhammad) umat manusia kepada agama Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau adalah berada di atas jalan yang lurus.”
Maka jelaslah di sini bahawa Islam telah menetapkan aturan dan panduan bagi manusia hatta untuk menyambut sesuatu perayaan sekalipun. Maka, mengapa masih mahu mengikut kepercayaan agama lain?
- Meniru perbuatan kaum lain
Sepertimana yang telah akak jelaskan di atas, sesungguhnya menyambut Hari Valentine ini merupakan satu perbuatan yang meniru kaum lain.
“Eh kak, tiru je pun, apa masalahnya?”
“Bukannya kacau akidah pun kak!”
Adik. Pernah dengar tak hadis ni?
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” diriwayatkan daripada beberapa orang sahabat; Abdullah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik.
Kata Imam al-Sona’ni:
“Hadis menjadi dalil bahawa sesiapa yang menyerupai golongan fasik, atau kuffar atau ahli bid’ah dalam apa-apa perkara yang khusus untuk mereka, samada dalam pakaian, kenderaan atau cara, maka dia termasuk dalam kalangan mereka. Jika dia menyerupai kafir dalam pakaian (khusus) dan beriktikad untuk jadi seperti mereka, maka dia telah kufur. Jika dia tidak beriktikad demikian, maka para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat mengenainya. Ada yang menyatakan dia menjadi kufur kerana berdasarkan secara zahir hadis tersebut. Ada yang menyatakan tidak kufur, tetapi dia diadabkan (oleh pemerintah)”. (al-Son’ani, Subul as-Salam, 4/321. Beirut: Muassasah Fuad).
Ertinya, sesiapa yang menyerupai sesuatu perbuatan yang khusus untuk agama tersebut, contohnya seperti menyambut Hari Valentine. Walaupun hanya sekadar suka-suka, hukumnya tetap jatuh haram dan berdosa.
Mahukah kita dibangkitkan di akhirat kelak dalam keadaan dosa ini adik-adik?
Mahukah kita digolongkan dengan kaum Kafir walhal kita lahir dimuliakan dengan Islam?
Tepuk dada tanyalah Iman.
- Menggalakkan cinta sebelum nikah
Hari Valentine yang berkait rapat dengan Hari kekasih sangatlah mempromosikan percintaan sebelum nikah. Ya lah, bukankah tanggal 14 Februari ini dikatakan sebagai tarikh keramat bagi mereka untuk meluahkan perasaan?
Maka berputiklah cinta di antara hati hati manusia yang tiada hubungan halal di antara mereka. Maka, siapa yang ketiga menjadi peneman setia? Tak lain tak bukan syaitan lah makhluknya….
Tak gerun ke dik?
- Pembukaan ruang-ruang zina
Dah tentulah kalau dah suka sama suka, cinta sama cinta, ruang-ruang zina pun sama terbuka luasnya… Aik? Ruang zina? Macam mana tu? Pepatah Arab ada menyatakan, sebenarnya ada tujuh langkah untuk kita mendekati ZINA.
- Pandang-pandang
“Menjeling-menjeling ku bertentang, mata kita sama memandang, ku cuba, ku cuba dan bertanya, siapa diakah namanya…” Adatlah, bila dah pandang-pandang jeling jeling, mesti ada rasa suka dan hati berbunga-bunga dalam hati? Lepas dah suka buat apa pulak?
- Senyum
Yelah, bila dah pandang-pandang, tenung dari jauh, bersua muka, senyumlah sikit, sengih-sengih, konon-konon cair lah tu kan.. dan syaitan pun makin buka langkah untuk peringkat ketiga.
- Memberi salam
Jadi, dah senyum, dah pandang kan, syaitan pun hasutlah lagi suruh kita bagi salam pulak, konon nak bertaaruf la kan antara lelaki perempuan…. bila dah taaruf…
- Buat temu janji
Bila dah taaruf….. apa barang sembang dalam Whatsapp/Wechat je kan? Maka syaitan pun sambung lagi strategi dia. Kita buat janji temu pulak.
- Berjumpa
Haa, masa ni la start jumpa, lelaki belanja perempuan aiskrim gula apong, share sama-sama, sweet gamaknya.. walhal syaitan dah sedap tepuk tangan tengok kita yang lemah iman.
- Berzina
Haaa, kan dah jumpa, dah sembang, dah borak, dah rapat, maka syaitan pun cucuk jarum la, mula la cari hotel bajet, bawak balik rumah. Untuk apa semua ni? Pembuktian cinta yang tak pasti?
- Neraka
Maka, lepas enam langkah di atas berjaya dilakukan oleh manusia dengan didikan syaitan, maka tercampaklah anak-anak Adam itu ke dalam neraka jika dia tak sempat bertaubat sebelum terpisahnya roh dan jasad.
Kalau kita lihat, inilah ruang-ruang yang dibuka dalam konsep sambutan Hari Valentine tadi. Maka adik-adik, tak gerun ke? Tak takut ke dengan azab Allah? Sudah-sudahlah, tinggalkan Hari Valentine yang tak ada bawa manfaat pun pada diri kita.
- Pembaziran masa wang dan usia
Ya, tepat. Bila ada Hari Valentine, mesti la kena sambut pakai hadiahkan? Dengan bunganya, coklatnya, emasnya dan segala jenis hadiahlah yang hendak diborongnya demi meraikan satu hari yang haram mengikut hukum syarak! Lepas tu nak kena ajak keluar lagi, ajak makan lagi, tak rasa membazir ke?
Sungguh, nak beli hadiah-hadiah ni untuk seseorang yang masih belum halal untuk kita hanyalah satu pembaziran besar! Masa yang kita luangkan untuk meraikan perayaan ini terbuang sia-sia walhal kita tak tahu sampai bila jasad kita akan terus bernyawa kan? Apa faedahnya wahai adikku sayang? Tak guna membuang masa dan tenaga buat sesuatu yang masih tidak halal untuk kita.
Muhasabahlah adikku sayang. Masa masih ada….
Dengan 5 sebab di atas, maka jelaslah sebenarnya tak ada faedah pun bagi kita untuk menyambut Hari Valentine ni. Bukan sahaja ia meruntun Aqidah umat Islam, bahkan ia mempromosikan zina yang jelas haram dalam Islam! Ia tidak pernah menjadi perayaan mana-mana agama samawi apatah lagi agama Islam. Maka, hari ini, akak menyeru pada adik-adik sekalian, tinggalkanlah sambutan Hari Valentine. Telah Allah tetapkan syariat dan hukumnya di dalam Al-Quran, kenapa masih mahu memilih jalan yang jauh menyimpang dari-Nya?
Pulang lah, sebelum roh terpisah dari jasad.
Ikhlas dari kakakmu,
Amalina Annuar
Biro Kajian dan Informasi PEMBINA
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)