Setiausaha Agung Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Dr. Ali Al-Qurrah Daghi, baru-baru ini menyertai sidang media khas ‘Solidariti Bersama Kerajaan Turki dan Rakyat’ yang dianjurkan oleh organisasi sivil negara-negara Islam yang diadakan pada Isnin 1 Ogos 2016 di Istanbul, Turki bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada rakyat Turki atas kejayaan menumpaskan cubaan rampasan kuasa bulan lalu.
Dalam ringkasan ucapannya dalam sidang media tersebut, beliau mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Turki; termasuk Presiden, kerajaan dan warganegara seluruhnya serta semua pihak yang bersama-sama kebenaran dan kebebasan dan kuasa rakyat di negara-negara Islam; khususnya buat golongan yang tertindas di dunia Islam seperti Palestin, Mesir, Syria, Iraq, Yaman, Myanmar, Somalia dan lain-lain.
“Sesungguhnya Turki hari ini menjadi ‘kiblat’ orang yang dizalimi, serta ‘kaabah’ buat mereka orang yang teraniaya; dan Allah telah memelihara negara itu disebabkan doa-doa mereka yang tidak terhijab antaranya dengan Allah.”
Beliau menambah lagi, konspirasi buruk itu besar tetapi Allah telah menyelamatkannya sepertimana firman-Nya:
(وما رميت اذ رميت ولكن الله رمى)
“…Dan bukanlah engkau yang melempar, tetapi Allah yang melempar,” (Surah Al-Anfal: 17)
Tegasnya, golongan yang cuba merampas kuasa ini menyangka segalanya mengikut perancangannya; kecuali apa yang telah ditakdirkan Allah dan doa-doa orang yang dizalimi; Allah telah mengagalkan mereka dalam sekelip mata, Yang telah menyangkal segala perancangan mereka sepertimana firman-Nya:
( ورّد الله الذين كفروا بغيظهم لم ينالوا خيرا )
“..Dan Allah menghalau orang kafir itu disebabkan keburukan mereka dan mereka tidak memperoleh apa-apa keuntungan.” (Surah Al-Ahzab: 25)
“Pada hari ini kita bersyukur dan memanjatkan pujian kepada Allah SWT, dan mengucapkan tahniah kepada bangsa yang gagah ini yang terdiri dari pelbagai komponen dan kumpulan; kerana berjiwa besar seterusnya membuktikan kehebatan bangsa ini.”
Menurutnya, rakyat Turki yang mempunyai sejarah yang hebat dalam kepimpinan malah pelopor dalam sejarah; akhirnya mampu mencipta sejarah dan kehidupan buat kali yang seterusnya dengan izin Allah.
“Kita memohon dengan penuh pengharapan Allah akan membangkitkan golongan syuhada bersama para Nabi dan siddiqin sebagai sebaik-baik teman, dan menyembuhkan kecederaan mereka serta memberikan mereka ganjaran dan pahala serta kesembuhan yang segera.”
Dr. Ali Al-Qurrah Daghi turut menjelaskan pendirian Kesatuan Ulamak Islam Sedunia mengenai cubaan rampasan kuasa yang gagal berkenaan; yang menjadi tanda soal pelbagai pihak.
Menurutnya, pendirian Kesatuan adalah pendirian yang berteraskan syarak serta menjelaskan bahawa menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam untuk bersama-sama dengan kebenaran walau dengan apa pun harganya, mendukung suara rakyat dalam isu hak asasi dan kebebasan, serta menentang sebarang usaha rampasan kuasa yang tidak menepati syara’ dan pemberontakan bersenjata ke atas kerajaan yang tidak melanggar tunturan syara’.
Justeru, menurutnya, pendirian Kesatuan Ulamak Islam Sedunia ialah pendirian asas yang kukuh iaitu Allah telah menugaskan ulamak untuk menerangkan kebenaran dan tidak takut kecuali kepada-Nya sepertimana firman:
( الَّذِينَ يُبَلِّغُونَ رِسَالَاتِ اللَّهِ وَيَخْشَوْنَهُ وَلَا يَخْشَوْنَ أَحَدًا إِلَّا اللَّهَ ، وَكَفَىٰ بِاللَّهِ حَسِيبًا )
“..iaitu orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan tidak kepada seorang pun selainnya, dan cukuplah Allah sebagai pembuat perhitungan.” (Surah Al-Ahzab: 39)
Tambah beliau lagi, kegagalan cubaan rampasan kuasa ini telah menyingkap konspirasi jahat dan sikap hipokrit negara-negara timur dan barat.
“Mereka menyatakan mereka mengangkat demokrasi tetapi insiden ini membongkar pembohongan dakwaan mereka.”
“Kebanyakan negara ini tidak mahu umat Islam beroleh kebaikan dan kesejahteraan; apatah lagi sistem demokratik yang kononnya didokong oleh mereka.”
Di penghujung ucapannya dalam sidang media itu, beliau berkata cubaan rampasan kuasa ini telah menyatukan umat Islam sebenar dan menjadi bukti bahawa penyatuan umat Islam adalah tidak mustahil jika wujud panduan dan kepimpinan yang mantap.
Beliau menutup ucapannya dengan menegaskan bahawa cubaan rampasan kuasa ini telah menyingkapkan kepentingan pendidikan yang betul, manhaj yang benar dan sederhana, serta pemikiran yang lurus, pembinaan yang konsisten dan keperluan mengambil tindakan terhadap pemikiran yang menyeleweng yang tidak akan dapat diatasi melainkan dengan pemikiran yang benar, sederhana dan seimbang.
“Semoga Allah memelihara Turki dan seluruh negara Islam daripada fitnah-fitnah yang zahir ataupun tersembunyi; serta mengembalikan keamanan dan kesejahteraan kepada orang yang dizalimi dan negara-negara mereka dengan kemenangan dan kemuliaan terhadap kezaliman dan penindasan.”
(Pautan asal: http://iumsonline.org/ar/7/lkrh-dghy-lnklbyon-hsbo-lkl-shy-hsbh-so-kdr-llh-taal-odaa-lmthlomyn/ )
Sumber: http://ulamasedunia.org/2016/08/03/kenyataan-rasmi-kesatuan-ulamak-islam-sedunia-solidariti-bersama-turki/
www.indahnyaislam.my