AMPANG: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan undang-undang syariah negeri Selangor yang menetapkan seks di luar tabii sebagai jenayah membuka ruang kepada mana-mana pihak untuk mencabar kelakuan atau peruntukan jenayah syariah pada masa hadapan.

Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkatamereka khuatir pada akhirnya, Mahkamah Syariah tidak lagi boleh mengadili apa-apa kelakuan yang menjadi jenayah dalam agama Islam.

“Jadi sudah tentu, ia satu senario yang tidak adil kepada bukan sahaja hukum syariah tetapi juga kepada umat Islam pada keseluruhannya.

“Atas dasar itu, kami menggesa beberapa perkara dan yang pertama, kami meminta Majlis-majlis Agama Islam Negeri membuat satu kajian terperinci dan semakan terhadap undang-undang Islam hari ini dan membuat pindaan bagi memastikan tidak ada lagi tafsiran berbeza yang akan mengetepikan ruang lingkup hukuman jenayah dalam Islam.

“Kami kira mereka pihak yang bertanggungjawab untuk melihat perkara ini dan harus mengambil tindakan yang segera bagi menghadapi sebarang cabaran yang dibuat pada masa hadapan terhadap hukum Islam,” kata Aminuddin pada satu sidang media di Pejabat Pertubuhan Muafakat pada Khamis.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Pembela, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Setiausaha Agung Pembela, Mahmud Hishamuddin.

Dalam perkembangan yang sama, beliau juga menyeru agar Menteri Undang-Undang mengkaji semula Perlembagaan dan mengemukakan pindaan supaya undang-undang ini tidak dicabar pada masa hadapan.
“Banyak fasa dalam Perlembagaan hari ini yang sering dicabar dengan cara yang berbeza dan merugikan agama Islam.

“Kami berharap Menteri Undang-Undang secepat mungkin sama ada menubuhkan satu jawatankuasa dan sebagainya untuk menyemak kembali di mana ruang dalam Perlembagaan ini yang harus dibaiki sesuai dengan status negara sebagai negara Islam yang majoritinya umat Islam.

“Ini tidak bermakna kami menolak atau mengetepikan agama lain seperti yang ada dalam Perlembagaan,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membenarkan usul dikemukakan seorang lelaki berusia 35 tahun yang didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 21 Ogos 2019 atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan undang-undang syariah negeri Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah.

Panel sembilan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan penetapan seks luar tabii sebagai jenayah di bawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah. – Astro Awani

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)