BANGI – Kerajaan sepatutnya dari dahulu lagi menutup pusat-pusat hiburan yang hanya merosakkan anak bangsa, kata Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat.
Dengan kes terbaharu melibatkan usahawan selebriti, Noor Neelofa Mohd Noor, sekaligus membuka mata semua pihak bahawa kelab malam The Zouk yang megah di ibu kota bukan tempat terbaik untuk masyarakat khususnya golongan muda.
Katanya, pusat hiburan seperti The Zouk inilah punca berlakunya maksiat, pesta arak dan pengedaran dadah.
“Mungkin Allah nak jadikan asbab isu Neelofa ini. Hakikatnya yang kita perlu tahu juga, kelab malam itu sendiri merosakkan anak muda.
“Kami sudah lama mengintip The Zouk, tetapi kami tidak boleh pergi serbu kerana kabel yang melindungi The Zouk adalah kabel-kabel yang besar. Mereka kata ada lesen. Sedangkan kelab bersebelahan The Zouk, kita dapati lima tahun tidak mempunyai lesen, tetapi mereka dilindungi kuasa-kuasa eksekutif .
“Kita harap sangat dengan isu ini, kerajaan akan membuka mata dan bertindak segera, mungkin menutup kelab-kelab hiburan yang langsung tidak mendatangkan manfaat untuk generasi masa depan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Perkid adalah NGO Islam yang aktif menyertai aktiviti penguatkuasaan di kelab-kelab malam bersama polis dan Jabatan Agama Islam Selangor.
Menceritakan pengalamannya Ustaz Masridzi berkata, Perkid sebelum ini telah menghantar memorandum kepada Dato Bandar DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan agar bertegas dengan pusat maksiat.
Namun malangnya, tiada akta yang diperuntukkan untuk menghalang percambahan atau penutupan pusat-pusat hiburan ini.
“Pusat judi kita boleh tutup. Menerusi operasi yang kita lakukan dua ratus lebih pusat judi kita berjaya tutup, tetapi untuk menutup pusat hiburan kita tidak berjaya kerana tidak ada akta.
“Akta terlalu lemah lebih-lebih lagi tempat yang tidak ada lesen pun kita tidak boleh tutup, apatah lagi tempat yang berlesen. Maknanya terlalu lemah dari surut penguatkuasaan, sedangkan pusat hiburan tumbuh macam sendawan,” katanya.
Lebih menyedihkan katanya, dahulu pusat hiburan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam sahaja, namun disebabkan Kementerian Pelancongan meminta agar dilanjutkan perkhidmatan kepada pelancong asing, ia dibenarkan beroperasi sehingga jam 3 pagi.
“Di Bukit Bintang ada yang sampai jam 5 pagi. Bila kita periksa perkhidmatannya bukan pelancong yang masuk, tetapi anak-anak Melayu. Lebih 80 peratus yang terlibat,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)