Kerana perang, rakyat Islam Ukraine turut jadi mangsa

Kuala Lumpur: “Penganut Islam adalah golongan minoriti sama ada di Ukraine mahupun di Poland. Jadi susah untuk kami mendapatkan sumbangan untuk pelarian perang ini. Oleh itu kami perlukan bantuan rakyat Malaysia.”

Itu rayuan wakil Muslim Care Malaysia (MCM) di Poland, Amin Lukasz selaku pengurus Pusat Islam MCM di Skalnicowa, Warsaw, Poland, yang kini menjadi pusat perlindungan sementara untuk pelarian perang dari negara jiran, Ukraine.

Amin berkata, setakat ini 38 pelarian dari Ukraine diberi perlindungan sementara di Pusat Islam MCM, namun lapan daripada mereka sudah ke tempat lain dan hanya 30 yang masih berada di situ.

“Daripada jumlah itu, 19 kanak-kanak dan lapan pelarian wanita termasuk dua ibu tunggal.

“Sebahagian besar daripada mereka bukan penduduk asal Ukraine tetapi warga Kirgistan, Uzbekistan dan Pakistan yang bekerja dan belajar di Ukraine,” katanya semalam.

Menurutnya, Pusat Islam MCM hanya mampu memuatkan kira-kira 30 orang pada suatu masa dan hanya berperanan sebagai pusat transit kepada pelarian.

Sejak tentera Rusia menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu, ramai penduduk Ukraine meninggalkan negara itu untuk mencari perlindungan di negara jiran terutama Poland dan Romania.

Pada masa ini tidak lebih 100,000 orang bersesak-sesak di bandar Medyka, kira-kira 300 kilometer dari Warsaw, yang menjadi pintu masuk utama dari Ukraine ke Poland.

“Pihak berkuasa Poland hanya menerima individu yang memiliki pasport perjalanan yang sah dan bermula Sabtu lalu (26 Februari) kami mula menerima kehadiran pelarian beragama Islam dari Ukraine.

“Dengan ratusan ribu yang kini berada di sempadan, kami menjangkakan lebih ramai yang akan datang ke Pusat Islam MCM.

“Sebab itulah kami perlu bersedia, namun kami kekurangan dana dan amat memerlukan sumbangan orang ramai,” kata Amin ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, Pusat Islam MCM menyediakan tempat tidur, makanan, ruang solat dan peralatan untuk membersihkan diri kepada pelarian Ukraine.

“Sekarang masih musim sejuk dan alat pemanas bilik masih diperlukan. Jadi, kos pengurusan agak mahal kerana pada masa sama kami juga perlu membayar bil untuk bekalan gas memasak dan khidmat pembentungan yang berharga RM300 setiap minggu.

“Jika lebih ramai pelarian Ukraine yang datang berlindung di tempat kami, sudah tentu kos operasi akan meningkat,” katanya.

Menurutnya,sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank MCM (564490413882) dan hantarkan slip sumbangan ke talian hotline MCM 011-50050035

Pusat Islam MCM mula beroperasi sejak 2016 dan diwujudkan untuk membantu pelarian Chechen di sekitar Warsaw. Pada masa ini, ia turut digunakan untuk penduduk Islam menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat.

Pada setiap kali Ramadan, pusat itu aktif menjalankan pelbagai kegiatan untuk penduduk Islam setempat termasuk iftar, solat tarawih dan tadarus setiap hari.

Amin yang juga pengasas kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, Sakinah yang berpusat di Warsaw berkata, dana juga diperlukan untuk pihaknya memberi bantuan kepada ribuan pelarian yang kini tinggal di dalam khemah dan bangunan awam di sempadan Ukraine-Poland. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts