KOTA BHARU – Indahnya apabila Allah SWT menghadiahkan hidayah melalui mimpi. Perkara itu dialami seorang pemuda Cina yang memeluk Islam selepas kerap bermimpi ditauliah sebagai penceramah agama dan menjejakkan kaki ke Tanah Suci, Makkah.
Mohd Dylan Yap Abdullah, 24, atau nama sebenarnya Yap Sheng Mei telah melafazkan dua kalimah syahadah pada 14 tahun Mei lalu, selepas lapan tahun ‘jatuh cinta dalam diam’ terhadap Islam.
Mohd Dylan yang mengakui ketenangan luar biasa dialami sebaik bergelar seorang muslim kini sedang mendalami Islam di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Pengkalan Chepa, di sini.
Beliau berkata, tarikannya terhadap agama Islam adalah sejak belajar di sekolah menengah, tambahan pula apabila seorang rakannya pernah menghadiahkan sebuah buku mengenai kisah 25 nabi dan rasul.
“Rakan meminta saya memahami apa yang ada dalam buku itu dan sehari demi sehari selepas membacanya, tarikan semakin kuat untuk mengenali dengan lebih mendalam mengenai Islam.
“Dalam buku itu ada dinyatakan mengenai peraturan dalam Islam, solat lima waktu dan segala yang baik mengenai Islam.
“Namun ketika itu pemahaman saya masih belum jelas dan tiada sesiapa yang boleh dirujuk sehingga tahun lalu saya diberi petunjuk oleh Allah melalui mimpi yang sama selama empat bulan membuatkan saya nekad memeluk Islam.
“Sebaik bergelar saudara baharu, saya belajar mengenai Islam di sebuah surau berhampiran rumah di Sepang, Selangor selama enam bulan sebelum ditawarkan ke IDIP,” katanya seperti dilapor portal Berita Harian.
Mohd Dylan berkata, tindakannya memeluk Islam masih belum diketahui secara jelas oleh ahli keluarga, sebaliknya hanya mengetahui hasrat untuk bertukar agama sahaja.
Beliau mengakui sebelum ini pernah menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam, namun ditentang habis-habisan terutama ibu yang beberapa kali mengugut untuk membunuh diri sekiranya hasrat itu diteruskan.
“Bagaimanapun, percaturan Allah sudah ditetapkan saya tetap nekad memeluk Islam,” katanya yang meletakkan jawatan sebagai penyelia di sebuah pasar raya di Selangor demi menuntut ilmu di IDIP yang memakan masa selama tiga tahun.
Beliau yang sudah bertunang dengan seorang gadis dari Klang, Selangor berkata, beliau telah pulang ke rumahnya baru-baru ini ketika cuti perayaan Tahun Baharu Cina, namun menghampakan apabila layanan diterima sudah tidak semesra dulu.
Mohd Dylan juga hanya mendiamkan diri ketika diasak keluarga yang bertanyakan sama ada dirinya sudah memeluk Islam atau belum susulan khuathir dengan ugutan ibunya sebelum ini.
“Saya berhasrat untuk melanjutkan pengajian ke Jordan suatu hari nanti dan jika diberi peluang, ingin berkhidmat di mana-mana institusi agama Islam,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)