Kesantunan dalam berdakwah

 

Tugas berdakwah kepada Islam ini adalah antara kewajipan yang dituntut kepada umat Islam dalam usaha untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi Allah ini. Perintah kewajipan berdakwah ini sememangnya banyak terdapat dalam rentetan ayat-ayat suci al-Quran dan himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW.

Di antaranya, firman Allah Taala maksudnya: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan memberi peringatan yang baik dan berhujahlah dengan mereka melalui kata-kata yang baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125) 

Dalam surah lain, Allah  berfirman lagi maksudnya: “Adakah ucapan yang baik itu melainkan mereka yang menyeru kepada Allah dan berbuat kebaikan seterusnya berkata ‘sesungguhnya aku dari kalangan orang beriman.” (Surah Fussilat, ayat 33) 

Al-Sheikh Muhammad Amin al-Kurdi dalam bukunya Tanwir al-Qulub menjelaskan bahawa ayat-ayat terbabit menjadi dalil yang jelas kepada kewajipan menyeru dan menegah. Kewajipan berdakwah dijelaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah dan ia adalah satu kewajipan yang amat besar lagi getir  serta menjadi tonggak utama kepada agama, menjadi tiang atau paksi yang menegakkan binaan Islam, menyempurnakan segala peraturannya serta mengangkat martabat Islam hingga ke puncaknya.

Lebih menariknya, berdakwah kepada Allah adalah amalan kebaikan dan kebajikan yang diperintahkan oleh Allah supaya hamba-hamba-Nya sentiasa berdoa untuk mendapatnya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang mengerjakannya, Allah tidak mengurangkan sedikit pun pahala daripadanya. Dan barang siapa yang menyeru kepada kesesatan maka dia akan berdosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya, Allah tidak akan mengurangkan sedikit pun dosa itu daripadanya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh kerana itu, Allah SWT  memerintahkan umat Islam supaya menyampaikan mesej Islam dengan penuh berhikmah. Hikmah adalah salah satu pendekatan terbaik dalam menyampaikan ajaran Islam di samping ia juga mempunyai kaitan dengan kesenian berdakwah. Ini kerana jika seorang pendakwah berdakwah dengan tidak mengambil kira pendekatan hikmah,  sudah pasti akan menatijahkan kelompok sasaran semakin jauh darinya.

Sheikh al-Sabuni ketika mentafsirkan ayat di atas, menjelaskan pengertian berdakwah dengan hikmah dengan maksud menyeru dan mengajak manusia kepada agama Allah SWT  dan syariat-Nya yang suci dengan cara yang penuh bijaksana, berlemah lembut dan beradab, sehingga dapat memberi kesan kepada mereka dan seterusnya dapat menerimanya dengan penuh kerelaan tanpa kekerasan dan kekasaran.

Sehubungan itu, Allah SWT  menggariskan etika berdakwah yang baik iaitu bersikap santun dan tidak bersikap kasar dalam tindak tanduknya. Ini kerana dengan bersikap kasar, orang bukan Islam bukan sahaja tidak tertarik dan tidak dapat melihat keindahan Islam, malah mereka juga akan terus membenci dan mencerca Islam, bahkan sampai ke tahap menghina Allah. Oleh kerana itu, Allah SWT  berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan setiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-An’am, ayat 108)

Jelas di sini bahawa Islam melarang umatnya mencerca orang bukan Islam dalam perkara ibadat mereka, apatah lagi mencerca sesama Muslim yang hanya sebab berlainan mazhab atau fahaman politik. Oleh sebab itu berdakwah kepada kebaikan dengan tidak bersikap santun dan penuh hikmah hanya akan menyebabkan perpecahan dan perbalahan dalam kalangan umat.

Mengimbas kembali sirah Rasulullah SAW, Rasulullah senantiasa memperingatkan sahabatnya  dalam setiap siri peperangan supaya tidak merobohkan dan merosakkan rumah, pohon dan alam sekitar di kawasan peperangan. Maka sudah tentu keperibadian Rasulullah SAW amat disegani dan digeruni serta dihormati dalam kalangan orang bukan Islam kerana sifat santunnya yang luhur meskipun di medan peperangan.

Bersifat santun bukan bererti tidak tegas atau menyerah kalah menurut kehendak orang bukan Islam. Bukankah Rasulullah SAW  pada era permulaan dakwah Islam pernah diberikan tawaran harta benda, pangkat kedudukan dan wanita oleh kaum Musyrikin Makkah supaya meninggalkan dakwahnya, tetapi Rasulullah tetap istiqamah dan tegas dengan dakwahnya menyeru kepada keadilan dan keindahan Islam.

Berdakwah adalah satu kewajipan yang amat mulia di sisi Islam dengan tujuan untuk mengajak orang kepada kebaikan dan kebenaran. Sekiranya golongan yang didakwahkan itu tidak tertarik dan terbuka pintu hatinya, maka itu adalah kehendak dan ketentuan Ilahi semata-mata. Oleh sebab itu, seorang pendakwah hendaklah bersabar dan berusaha dengan lebih giat lagi untuk mempamerkan keindahan Islam.

Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang diekehndaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untu) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”  (Surah al-Qasas, ayat 56)     

Begitu kepentingan kesantunan dalam berdakwah yang merupakan satu aset terpenting dalam menjamin kelangsungan dan kejayaan dakwah Islam kepada umat manusia sejagat. Pendek kata, manusia pada hari ini bukan hanya setakat mendengar apa yang diperkatakan, tetapi turut melihat bagaimanakah tingkahlaku pendakwah di rumahnya dan dalam lingkungan masyarakat.

Penulis Profesor di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) – MyMetro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

 

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts