اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ،
اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ، اللهُ أَكْبَرُ وَلله ِالْحَمْدُ
اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا، وَالْحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا، وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلاً.
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَلْ لَهُ عِوَجًا.
أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيْتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.
وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالاَهُ. أَمَّا بَعْدُ.
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ، وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,
Begitu pantas hari-hari di dalam bulan Ramadhan meninggalkan kita. Adakah kita benar-benar menyedari keadaan ini? Bagaimana prestasi Ramadhan kita kali ini? Benarlah firman Allah azza wajalla:
أَيَّامًا مَعْدُودَات
Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu (ialah beberapa hari yang tertentu (sahaja)”. (al-Baqarah: 185)
Tanpa kita sedar Ramadan telah berlalu dan kita semua telahpun menyempurnakannya, kita telah berpuasa di siang harinya dan menghidupkan malam-malamnya, kita telah menafkahkan harta dan wang ringgit di jalan Allah, kita telah memberi makan orang yang berbuka puasa, kita telah melakukan segala amalan soleh di dalam bulan Ramadhan ini.
Rugilah mereka yang melepaskan anugerah Allah yang tidak ternilai ini dan teramat rugilah mereka yang belum terampun dosanya setelah Ramadan ini berlalu pergi.
Ambillah contoh daripada salaf yang mana apabila berlalu Ramadan mereka terus berdoa agar amalan mereka sepanjang Ramadan diterima Allah dan dipanjangkan umur bertemu Ramadan yang akan datang.
Ketahuilah sekalian Muslimin dan Muslimat,
Eidul fitri yang kita sambut adalah ibadah, Eidul fitri yang kita sambut adalah zikir dan takbir, Eidul fitri yang kita sambut adalah menghubungkan silaturrahim, Eidul fitri yang kita sambut adalah ziarah menziarahi, Eidul fitri yang kita sambut ada berkasih sayang.
Maka sambutlah Eidul fitri ini dengan dalam batasan syarak yang telah ditetapkan tanpa melangkaui dan melanggarinya.
Sabda Rasulullah saw:
إنَّ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَئِذٍ لِتَعْلَمَ يَهُودُ أَنَّ فِي دِينِنَا فُسْحَةً إِنِّي أُرْسِلْتُ بِحَنِيفِيَّةٍ سَمْحَةٍ
Maksudnya: “Aishah ra berkata, Rasulullah saw bersabda (Pada suatu hari raya aidil fitri di mana kanak-kanak Habsyah bermain-main di dalam masjid), agar orang Yahudi tahu bahawa sesungguhnya dalam agama kita terdapat kelonggaran. sesungguhnya aku diutus dengan agama yang damai (serta jauh dari kesyirikan).” (HR Ahmad no 24333, dihukum Hasan oleh al-Albani di dalam Silsilah Ahadith Sohihah (6/1023)
Hadith ini menerangkan bagaimana terbuka, halus serta damainya ajaran Islam yang tidak sama sekali menegah umatnya untuk berseronok dan bersukaria, asalkan terikut dalam batasan syarak yang dibenarkan oleh Allah SWT.
Sidang Jemaah Muslimin dan Muslimat Yang Dirahmati Allah,
Eidul Fitri mengajar kita kembali kepada fitrah, fitrah agama Islam yang suci tanpa dicemari hawa nafsu manusia, fitrah memahami agama mengikut kehendak Allah bukan mengikut acuan agama lain mahupun pemikiran akal manusia yang mentafsirnya dengan tafsiran yang jauh dari kehendak Allah dan Rasulnya.
Kita sebagai umat Islam sama sekali tidak akan rela dipaksa untuk memahami agama kita mengikut acuan agama lain.
Ada agama yang memahami bahawa urusan agama nya adalah urusan peribadi semata-mata, kalau boleh jangan ada undang-undang dari pemerintah mahupun norma-norma masyarakat yang masuk campur dalam urusan agama individu yang dianggap sebagai sangat peribadi sifatnya.
Falsafah di dalam agama mereka mengatakan “Berikan hak Kaisar (raja) kepada Kaisar, dan berikan hak Allah kepada Allah”. Inilah sekularisme. Pemahaman ini sangat ganjil dari pemahaman orang Islam terhadap agamanya tetapi itulah yang cuba dipaksa pakai kepada umat Islam. Bahkan tidak sedikit umat Islam yang terpengaruh dengan pemikiran ini.
Sesungguhnya, pemahaman ini jauh berbeza dari apa yang sepatutnya kita fahami. Marilah kita renungi beberapa ayat-ayat yang memberikan petunjuk secara jelas bahawa Allah menguasai segala-galanya dan tiada istilah peribadi di sisi Allah.
Di antaranya di dalam surah Al-Imran ayat ke 154, Allah SWT berfirman:
قُلْ إِنَّ الْأَمْرَ كُلَّهُ لِلَّهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya perkara itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya).” (Ali Imran: 154)
Juga di dalam surah Al-A’raf ayat 54, Allah SWT berfirman:
أَلَا لَهُ الْخَلْقُ وَالْأَمْرُ ۗ تَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam”. (Al A’raaf: 54)
Fitrah Islam juga mengajar kita bahawa agama ini adalah agama bermasyarakat dan bernegara, ini bermakna individu muslim perlu mengatur kehidupannya selaras dengan tuntutan agama.
Masyarakat pula berhak masuk campur membantu individu muslim agar dapat menunaikan kewajiban beragama, bahkan negara wajib menyediakan suasana yang kondusif agar rakyat kekal beragama dengan taat bahkan berhak untuk menghalang sebarang usaha yang menganggu gugat rakyat dan ahli masyarakatnya daripada mengamalkan dengan selesa segala tuntutan agamanya.
Malaysia sebagai sebuah negara Islam sebagaimana termaktub dan terpahat kemas dalam Perlembagaan Negara dalam Perkara 3(1), Islam Adalah Agama Negara,maka menjadi tanggungjawab pemerintah untuk mendaulat dan memartabatkan Islam dalam kehidupan masyarakat negara ini, khususnya lagi kepada umat Islam.
Usaha ini tidak boleh dipersoalkan mahupun dientang oleh rakyat yang lain khususnya yang bukan Islam sebagai diskriminasi kerana ini adalah hak kita umat Islam untuk melaksanakan hukum Allah dan mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian.
Di dalam surah al-Haj, ayat 41 Allah dengan sangat jelas memperuntukkan bahkan meletakkan tanggungjawab kepada pihak yang diberi kekuasaan untuk menjalankan kerja-kerja amar ma’ruf ( menyuruh kepada kebaikan) dan nahi munkar ( melarang kemungkaran ).
الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (al Hajj: 41)
Di dalam ayat yang lain dijelaskan bahawa umat Islam berhak masuk campur untuk mengekang perbuatan mungkar dan maksiat sebelum ia berakar umbi dan membudaya di dalam masyarakat.
Ini kerana di dalam Islam kita mengimani dan memahami bahawa kesan dari maksiat dan kemungkaran itu membawa kesan kepada keseluruhan masyarakat dan bukan hanya kepada mereka yang melakukan maksiat tersebut itu sahaja. Ini jelas digambarkan di dalam surah Al-Anfal ayat yang ke 25:
وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.” (al Anfaal: 25)
Membiarkan maksiat dan kemungkaran berlaku tanpa pencegahan atas alasan melindungi hak asasi manusia , membiarkan Islam dihina atas alasan hak kebebasan bersuara bukanlah dari ajaran Islam tetapi berasal dari agama lain yang cuba dipaksa pakaikan kepada umat Islam.
Pemikiran dan tindakan mempertikai campur tangan agama di dalam urusan kehidupan manusia, mempertikaikan penguatkuasaan undang-undang yang mengawal moral dan akhlak oleh agensi–agensi bertanggungjawab mahupun inisiatif masyarakat mahupun individu adalah bukan dari fahaman kita sebagai umat Islam terhadap agama kita bahkan ia termasuk dalam perkara yang disuruh oleh Nabi SAW.
Bertitik tolak dari kefahaman ini, dan sifat taqwa yang kita peroleh hasil daripada tarbiah Ramadhan yang baru berlalu, setiap seorang dari kita mestilah peka dan sedar untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar serta bersatu menegakkan ajaran dan hukum Allah dalam masyarakat dan negara.
Tanggungjawab ini adalah tanggungjawab bersama yang perlu dijalankan dan dilakukan oleh pihak kerajaan dan agensi-agensinya, pihak keselamatan, pihak institusi Islam dan badan dakwah Islam, pihak NGO Islam, pihak masjid dan surau bahkan perlu dilakukan oleh setiap keluarga dan individu Islam.
Inilah tanggungjawab kita terhadap segala bentuk kemungkaran. Jika ini dilakukan secara menyeluruh, tersusun dan konsisten, segala bentuk kemaksiatan ini akan dapat dibendung, namun jika ditinggalkan atau dicuaikan, nescaya nasib umat Islam dan kedaulatan agama dan negara ini akan menuju kehancuran.
Marilah kita menghayati hadith Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ
Maksudnya: “Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (HR Imam Muslim dalam kitab Al-Iman, hadith no.49)
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ، وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ، أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
Sumber : ismaweb