Khutbah Jumaat hari ini menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersama dalam memelihara kemakmuran negara bagi memastikan kedaulatan Malaysia terpelihara.
Menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada istiadat pembukaan penggal kelima Parlimen ke-13 lalu, untuk terus memastikan kedaulatan negara kekal terpelihara.
Menurut teks khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), setiap masyarakat di Malaysia bertanggungjawab dalam memastikan kemakmuran dan kedaulatan negara.
Katanya, ia adalah penting dalam usaha membawa konsep perpaduan yang lebih kuat ke arah pembentukan sebuah negara bangsa yang kukuh.
“Berdasarkan beberapa peristiwa pencerobohan yang dilakukan kumpulan pengganas di negara ini, kita perlu sedar betapa pentingnya aspek keamanan.
“Kita menamakan perkara ini sebagai keperluan penting atau maslahah dharuriyyah bagi setiap manusia, masyarakat dan negara. Justeru dalam konteks ini, kita perlu memastikan negara bebas daripada sebarang aktiviti yang boleh menjejaskan kedaulatannya,” kata khutbah itu.
Khutbah berkata, meskipun Malaysia masih kekal dengan nikmat aman dan makmur, namun rakyat jangan terlalu selesa dengan keadaan tersebut, sebaliknya berusaha keras berdepan cabaran globalisasi yang membuka ruang kepada kegiatan mencemarkan kedaulatan negara.
“Contohnya, keganasan, kegiatan negatif, isu pemerdagangan manusia dan masalah pertahanan dan keselamatan dalam dan luar negara.
“Kita bertanggungjawab untuk memperjelaskan bahawa tindakan tidak menghormati kedaulatan negara adalah bertentangan dengan prinsip Islam dan perlembagaan negara,” katanya.
Katanya, Rasulullah s.a.w telah mengajar umat Islam sendiri kaedah untuk memelihara kedaulatan sesebuah negara menerusi peristiwa pembukaan Kota Madinah.
“Langkah yang baginda SAW lakukan ialah menjalinkan hubungan luar dengan negara-negara berdekatan melalui penghantaran utusan diplomatik dan dakwah yang telah dilantik khas.
“Kesannya, negara-negara berkenaan telah memberikan pengiktirafan sekaligus mengakui kedaulatan Madinah di samping dapat mengukuhkan ekonomi, peluasan pengaruh, penyebaran syiar Islam dan terbentuknya pelbagai bidang kerjasama secara harmoni.
“Dalam hal ini, amalan serupa telah menjadi ikutan di kebanyakan negara termasuk Malaysia demi memelihara kedaulatan negara. Lebih menarik lagi, Malaysia diberi kepercayaan dan peranan penting sebagai orang perantaraan dalam menyelesaikan isu-isu antarabangsa,” kata khutbah. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my