BANGI – Umat Islam harus memikirkan dan berusaha sendiri mencari jalan penyelesaian bagi membebaskan Baitulmaqdis dari cengkaman Israel, tanpa mengharapkan campur tangan asing.
Seruan yang disampaikan melalui khutbah Jumaat hari ini mengingatkan semua untuk sedar bahawa isu Baitulmaqdis bukanlah semata-mata isu Arab.
Walhal, tegasnya, isu Baitulmaqdis adalah isu umat Islam seluruhnya.
“Walaupun ada yang melaung-laungkan bahawa Baitulmaqdis merupakan isu Arab, isu nasionalisme, hakikatnya semua itu hanyalah bertujuan menutup mata umat Islam yang lain.
“Tiada yang lebih berhak menjaga dan mempertahankan Baitulmaqdis melainkan umat Islam itu sendiri.
“Cukuplah campur tangan asing yang sememangnya tidak memberi sebarang keadilan dan kelebihan kepada umat Islam suatu ketika dahulu. Kali ini, kita tidak akan termasuk ke dalam lubang yang sama dua kali!,” tegas khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Khatib menegaskan umat Islam perlu menyemai semangat bersatu padu tanpa mengira perbezaan fikrah dan politik bagi membebaskan Al-Aqsa.
“Ayuh, marilah kita bangkit dengan penuh semangat dalam tindakan mempertahankan Baitulmaqdis mengikut kemampuan yang ada. Inilah semangat yang perlu kita jaga dan semai.
“Tidak hanya dalam isu Palestin, malah dalam isu-isu lain juga yang melibatkan perpaduan dan keharmonian rakyat di negara kita ini,” katanya. – Ismaweb
www.indahnyaislam.my
Sertai kempen Malaysia Subuh Berjemaah Bebaskan Al-Aqsa: bit.ly/subuhaqsa
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)