IPOH – Mengibarkan bendera atau tanda-tanda tertentu yang memberi isyarat bahawa diri dalam keadaan terdesak dan memerlukan bantuan sehingga mengancam jiwa adalah diharuskan dalam Islam.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, perkara itu seperti kempen kibar bendera putih yang digerakkan di media sosial, bukan satu kesalahan kerana dianggap sebagai satu cara menambah keprihatinan dan saling membantu sesama rakyat.
“Dalam Islam sendiri telah menetapkan bahawa semua pihak yang terjejas dan sampai kepada peringkat tiada bekalan makanan harian sehingga mengancam nyawa, adalah wajib untuk dibantu.
“Jadi, tindakan mengibarkan bendera atau apa-apa tanda ini secara tidak langsung membantu pihak pemerintah dan komuniti setempat memastikan bantuan kepada mereka yang terdesak dan benar-benar memerlukan dengan kadar segera.
“Hanya jika warna bendera itu menjadi pertikaian, bolehlah tukar dengan tanda-tanda lain atau warna-warna lain,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Beliau berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 masih berlarutan, fokus setiap pihak sewajarnya adalah untuk membantu mereka yang terkesan dan memerlukan.
Justeru katanya, semua pihak terutama parti politik sepatutnya tidak menggunakan isu-isu kesengsaraan rakyat sebagai modal meraih sokongan dan populariti.
“Tanggungjawab pemerintah dan setiap agensinya adalah memastikan bantuan sampai dengan segera tanpa melalui proses birokrasi yang panjang dengan menyediakan kemudahan untuk mudah dihubungi.
“Namun keadaan ini tidak menggugurkan tanggungjawab ahli masyarakat terhadap jiran-jiran dan komuniti kejiranannya untuk membantu mereka yang terdesak,” katanya. -Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)