BUTTERWORTH – Sebuah kilang pengeluar belacan bukan bumiputera di Sungai Puyu di sini dikesan menggunakan nama pengeluar Melayu pada kotak bungkusan dalam serbuan Ops Bersih yang dilakukan
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang pada Rabu.
Selain menggunakan nama pengeluar Melayu, syarikat terbabit turut memaparkan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diragui kesahihannya pada kotak bungkusan produk belacan mereka.
Pegawai Kesihatan Persekitaran BKKM, Mohd Wazir Khalid berkata, perbuatan menggunakan nama pengeluar Melayu dan logo halal itu dipercayai tujuan pemasaran itu sangat tidak bertanggungjawab kerana boleh mengelirukan pengguna.
Menurutnya, ketika disoal mengenai perkara itu, pemilik kilang terbabit hanya memberi alasan kotak bungkusan berkenaan bertujuan untuk ‘sample’ namun ia tidak boleh diterima berikutan penemuan kotak bungkusan yang banyak di dalam premis terbabit.
“Kita tidak pasti sama ada berlaku penggunaan logo secara ‘ali baba’ atau sebaliknya namun kita menemui kotak bungkusan mencurigakan itu dalam jumlah yang banyak dalam premis ini.
“Menerusi semakan yang dibuat, nama pengeluar Melayu itu tidak ada kaitan dengan kilang belacan ini yang dipercayai telah beroperasi secara haram sejak 5 tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan pada Rabu.
Mohd Wazir berkata, dalam serbuan itu pihaknya mendapati kilang memproses belacan terbabit gagal mengutamakan aspek kebersihan apabila menemui najis tikus di bahagian stor penyimpanan bahan selain pekerjanya gagal menggunakan pakaian dan kelengkapan yang sepatutnya ketika memproses bahan makanan itu.
Beliau berkata, tindakan pengusaha kilang itu membiarkan belacan dijemur di atas lantai juga menjadi satu kesalahan selain mendapati peralatan yang digunakan untuk memproses bahan makanan itu kotor.
“Berikutan itu, tindakan menutup premis selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dikenakan dan mereka perlu melakukan kerja-kerja pembersihan sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya.
Sementara itu, Mohd Wazir berkata, tindakan sama turut dikenakan terhadap sebuah kilang memproses tauhu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor selepas didapati turut mengabaikan aspek kebersihan.
Katanya, dalam serbuan itu pihaknya turut menemui najis tikus di dalam stor penyimpanan barang selain mendapati bahan makanan diletakkan di atas lantai.
Beliau berkata, apa yang lebih memualkan apabila pihaknya menemui kain buruk yang dipercayai digunakan untuk membalut tauhu ketika proses pembuatan bahan makanan berkenaan.
“Kilang ini pernah diperiksa dua bulan lalu dan kita telah menasihatkan mereka agar melakukan penyelenggaraan yang lebih baik dengan mengutamakan aspek kebersihan.
“Namun selepas risikan dibuat sejak beberapa minggu lalu mendapati keadaannya tidak berubah hingga memaksa tindakan penutupan diambil hari ini,” katanya. -Sinar Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)