TAIPING: Kisah tular ibu enam anak yang mendakwa lambat menerima bantuan dan berhasrat mendapatkannya daripada pihak gereja, perlu menjadi pengajaran kepada masyarakat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata biarpun kes itu diselesaikan pihak terbabit, ia perlu dijadikan contoh agar tidak lagi berulang.
“Konsep ambil tahu ini sangat penting dan perlu menjadi pegangan semua, terutama jiran agar tiada lagi kes keluarga susah akan terabai. Saya selalu guna kaedah ini apabila biar kita yang cari orang susah dan bukan orang susah mencari kita.
“Jika kita dapat tahu (orang susah) daripada imam, jawatankuasa keselamatan kampung, maklumat itu mesti kita daftar, itulah sikap perlu kita ada,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan kepada calon peperiksaan SPM dan STAM 2021 di Simpang, di sini hari ini.
Idris berkata, tindakan masyarakat memaklumkan kes kesusahan sebegitu adalah satu bentuk bantuan.
Rabu lalu, media melaporkan kes Diwiyana Mohamed, 37, yang videonya tular di media sosial mendakwa permohonan bantuan dari pihak berkaitan lambat diluluskan.
Susulan video ditularkannya itu, pelbagai pihak tampil menyalurkan bantuan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meluluskan bantuan bulanan RM500 sebulan bermula Mac.- Berita Harian
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM