Kisah kematian yang dicemburui

 

1. Tidak ada anugerah yang lebih indah daripada dikurniakan pengakhiran (kematian) yang baik. Sabda Rasulullah:

يُبعَثُ كُل عبدٍ على ما مات عليه
“Setiap manusia akan dibangkit dalam keadaan bagaimana dia meninggal.”

Maka sekiranya kita dianugerahkan dengan pengakhiran yang baik, mudah-mudahan kita dibangkit di hari kiamat dalam keadaan yang baik bersama para Nabi dan orang soleh.

2. Ada beberapa riwayat kematian para sahabat yang dicemburui oleh manusia lain. Mereka adalah manusia yang dikurniakan Allah kematian yang baik walaupun dengan amalan yang sangat sedikit.

3. Antaranya seperti Amru ibn Thabit al-Ansari (yang juga dikenali dengan panggilan Usairim Bani Abd al-Asyhal). Beliau pada awalnya enggan memeluk Islam di era awal Madinah. Sehinggalah apabila berlakunya perang Uhud, beliau terdetik untuk memeluk Islam. Amru lantas menyertai Perang Uhud lalu cedera dan syahid atas perjuangan beliau. Abu Hurairah menyifatkan beliau sebagai:

فمات فدخل الجنة وما صلى لله صلاة

“Beliau menerima anugerah syahid dan masuk syurga dalam keadaan tidak pernah menunaikan solat walau sekalipun.” (HR Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).

4. Begitu juga dengan Yasar al-Habshi. Seorang sahabat Rasulullah yang memeluk Islam ketika dalam tempoh berlakunya perang Khaibar. Beliau lantas menyertai misi Khaibar dan syahid tanpa pernah menunaikan satu rakaat solat pun. Kisah beliau ini dinukilkan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim yang menyebutkan keadaan kematian beliau. Sabda Rasulullah:

لقد حَسُن إسلام صاحبكم، لقد دخلت عليه وإن عنده لزوجتين له من الحور العين

“Sesungguhnya saudara kamu telah memeluk Islam dalam keadaan yang baik. Ketika mana aku menziarahi jenazah beliau, aku mendapati beliau dikurniakan dengan bidadari dari syurga.” (Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma’ad).

5. Mereka adalah kumpulan manusia yang terpilih, yang dikurniakan oleh Allah anugerah kematian yang hebat walaupun dengan amalan yang sedikit. Perihal kematian yang baik ini turut menjadi perhatian Rasulullah. Baginda sendiri berdoa agar dikurniakan kematian dalam keadaan seorang Muslim. Marilah bersama kita amalkan doa yang dibaca oleh Baginda Nabi:

اللهم توفنا مسلمين، وأحينا مسلمين، وألحقنا بالصالحين

“Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan seorang Muslim, kurniakanlah kami kehidupan seorang Muslim, dan kumpulkanlah kami bersama para solihin.” (HR al-Bukhari).

Moga Allah kurniakan kepada kita semua husnul khatimah.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts