Kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa a.s: Refleksi pendidikan berasaskan pembinaan spiritual

“Aku tidak akan berhenti (berjalan) sebelum sampai ke pertemuan dua laut, atau aku akan berjalan (terus sampai) bertahun-tahun” (Surah Al-Kahf ayat 60). Ayat ini jelas menggambarkan kekuatan keazaman yang dimiliki oleh Nabi Musa dalam mencapai sesuatu tujuan iaitu untuk menemui guru yang diperintahkan oleh Allah. Hal ini berikutan baginda ditanya oleh kaumnya iaitu Bani Israel berkenaan siapa yang paling memahami dan bijaksana dalam kalangan manusia, maka dijawab Nabi Musa a.s bagindalah paling pandai. Peristiwa ini digambarkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

“Diceritakan kepada kami daripada Ubai bin Ka’ab, katanya daripada Nabi Muhammad s.a.w Imam Bukhari diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w berkata, pada suatu hari Nabi Musa a.s. bangun berdiri untuk berkhutbah dihadapan kaum bani Israel. memberikan khutbah, lalu dia ditanya: “Siapakah orang yang paling pandai?” Nabi Musa menjawab: “Aku” Maka Allah S.W.T mencelanya. Lalu Allah S.W.T memahyukan kepadanya: “Ada seorang hamba di antara hamba-Ku yang tinggal di pertemuan antara dua lautan lebih pandai darimu.” Lalu Nabi Musa berkata, “Wahai Rabb, bagaimana aku boleh bertemu dengannya?” Maka dikatakan padanya: “Bawalah ikan dalam keranjang, nanti apabila kamu kehilangan ikan itu, maka itulah petunjuknya.” Lalu berangkatlah Nabi Musa bersama pelayannya yang bernama Yusya’ bin Nun, dan keduanya membawa ikan dalam keranjang hingga keduanya sampai pada batu besar. Lalu keduanya meletakkan kepalanya di atas batu dan tidur. Kemudian keluarlah ikan itu dari keranjang (lalu ikan itu melompat turun ke laut itu)”. (H.R Bukhari)

Menurut Tafsir Fi Zilal Al-Quran karangan Sayyid Qutb, pertemuan dua laut ialah Laut Rum dan Laut Qulzum iaitu Laut Mediterranian dan Laut Merah. Tempat pertemuan dua laut ini ialah kawasan Tasik al-Murrah( at-buhayrat al-murrah) dan Tasik Buaya (buhayrah at-timsah). Sepanjang perjalanan, Nabi Musa ditemani seorang pemuda bernama Yusha’ bin Nun dan pelbagai peristiwa yang tidak terduga dek akal fikiran manusia berlaku. Namun, kekuasaan Allah Maha Hebat dan Maha Besar menjadikan tiada yang mustahil sekiranya Dia mengizinkannya. Dengan izin Allah ikan yang dibawa melompat terus ke dalam lautan! Tiada yang menyaksikan peristiwa ini melainkan Yusha. Maka sudah tentu, inilah tempat pertemuan dua laut itu!

Menurut pandangan yang lebih tepat,  ikan tersebut ialah ikan panggang dan peristiwa ia hidup kembali, berjalan dan menggelongsor ke laut merupakan mukjizat Allah yang dikurniakan kepada Nabi Musa a.s.  Setelah itu, Nabi Musa a,s sedar baginda telah pun melepasi tempat pertemuan yang ditentukan oleh Allah.

Nabi Musa a.s akhirnya bertemu dengan Nabi Khidir a.s dan Nabi Musa a.s sepenuh adab meminta keizinan daripada Nabi Khidir untuk mempelajari ilmu daripadanya. Ilmu yang dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Khidir ialah “ilmu ladunii” iaitu berkaitan urusan ghaib yang diperlihatkan Allah kepadanya sekadar yang dikehendakiNya. Mengapa Nabi Khidir a.s memberi peringatan kepada Nabi Musa untuk bersabar? Hal ini demikian kerana, tiga peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan mereka ialah peristiwa yang tidak terjangkau akal fikiran manusia! Peringatan sudah diberikan dan Nabi Musa a.s berazam untuk bersabar dan memohon pertolongan Allah:

“Jawab Musa: In sha Allah engkau akan dapatiku sanggup bersabar dan aku tidak akan melanggar sebarang perintahmu” (Surah Al-Kahf ayat 69)

Antara tiga persitiwa yang dirakamkan di dalam Surah Al-Kahfi ialah tindakan Nabi Khidir membocorkan perahu, membunuh seorang budak dan memperbaiki tembok binaan. Setiap perbuatan Nabi Khidir pasti akan disusuli pertanyaan oleh Nabi Musa a.s dan ini bukanlah suatu yang menghairankan kerana pada awal perjalanan sudah diberi peringatan bahawa pasti Nabi Musa a.s tidak dapat bersabar dengannya. Sudah pastinya setiap perbuatan Nabi Khidir memiliki sebab dan hikmah tersendiri yang terpancar daripada ilmu ladunni yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. Satu per satu rahsia tersingkap dan persoalan berkenaan perbuatan Nabi Khidir mulai terjawab.

Sekiranya perahu atau bahtera tidak dibocorkan , sudah pasti ianya akan dirampas oleh raja yang zalim. Kersosakan yang kecil di perahu tersebut sebenarnya telah menyelamatkan daripada bahaya dan risiko lain yang lebih besar. Kedua, budak kecil yang kelihatan tidak berdosa secara zahir sebenarnya di dalam jiwanya tersembunyi kekufuran yang akan membawa kesan yang buruk kelak apabila dewasa dia akan mempengaruhi kekufurannya terhadap ibu bapanya. Ketiga berkaitan memperbaiki tembok binaan adalah kerana di bawahnya ialah harta kekayaan milik dua anak yatim piatu. Sekiranya binaan tersebut runtuh, maka sudah pasti harta kekayaan tersebut akan terbongkar dan kedua-dua anak yatim tidak dapat mempetahankannya kerana masih kecil. Inilah kurniaan dan perlindungan daripada Allah kepada anak yatim tersebut kerana ayah mereka merupakan seorang yang soleh. Begitulah jauh dan tepat jangkaan dan cakupan fikiran yang Allah kurniakan kepada Nabi Khidir a.s.

Antara ibrah yang dapat kita implementasikan pada hari ini ialah:

  1. Dalam konteks sebagai seorang penuntut ilmu, kesabaran ialah satu prinsip dan kepastian dalam menuntut ilmu. Kisah kesabaran Nabi Musa jelas digambarkan di dalam Surah Al-Kahf ini apabila meletakkan keazaman untuk meneruskan perjalanan mencari Nabi Khidir a.s walaupun ianya akan mengambil masa bertahun-tahun. Begitu juga apabila berusaha untuk sabar dengan segala tindakan yang dilakukan oleh Nabi Khidir a.s. Hal ini merupakan satu contoh yang begitu dekat dengan kita sebagai mahasiswa dan mahasiswi apatah lagi dengan kondisi dunia dilanda COVID-19, cabaran dalam proses pembelajaran kian bertambah. Ia menuntut kesabaran, keihklasan dan pengorbanan yang tinggi demi menggapai ilmu. Sememangnya kisah pengembaraan untuk menuntut ilmu ini merupakan tradisi ulama sejak dahulu lagi.

 

  1. Kekuasaan Allah S.W.T adalah di luar batasan pemikiran manusia. Ilmu yang dimiliki oleh Nabi Khidir a.s bukanlah kuasa magis tetapi ianya adalah kurniaan Allah kepada hambaNya yang soleh dan taat. Golongan-golongan yang berpegang kepada prinsip “cause and effect” semata-mata tanpa meletakkan kekuasaan Allah di atas prinsip ini, pastinya akan menemui titik kebuntuan. Allah berkuasa ke atas setiap sesuatu dan Maha Mengetahui segala rahsia alam ini. Rahsia-rahsia ini terkandung di dalam Al-Quran dan menuntut umat manusia untuk berfikir dengan kerangka Islam dan mengimplementasikannya dalam kehidupan. Golongan ulul albab yang melihat dengan hati pasti dapat memahami dengan jelas mesej-mesej yang disampaikan oleh Allah. Allah berfirman di dalam Surah Al-Hajj ayat ke 46: “Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada).

 

  1. Ilmu dan kefahaman ialah kurniaan Allah. Ilmu yang bermanfaat membawa kita mengenal hakikat yang hakiki. Ilmu yang bermanfaat akan membawa kita lebih mengenal Pencipta Alam ini. Sekiranya hati dan jiwa masih bergelumang dengan maksiat, bagaimanakah cahaya ilmu dapat menembusi hati? Oleh sebab itu, adab yang paling utama dalam menuntut ilmu ialah penyucian jiwa (tazkiyah nafs) daripada sebarang bentuk kemaksiatan. Pendidikan di segenap peringkat pada hari ini sewajarnya memberi penekanan dan fokus kepada pembinaan jiwa dan spiritual bukan sekadar material sahaja. Hal ini penting dalam melahirkan generasi yang berakarkan nila-nilai Tauhid seterusnya menjadi “insan kamil” dalam kelompok masyarakat.

 

  1. Seorang guru memainkan peranan penting untuk menegur kesilapan yang dilakukan oleh anak muridnya untuk manfaatnya. Hal ini jelas digambarkan apabila Nabi Khidir menasihati Nabi Musa untuk terus bersabar dengannya. Guru bukan sekadar mengajar tetapi bertanggungjawab juga dalam membentuk jiwa-jiwa muridnya. Di dalam Alquran dan al-Sunnaħ terdapat sejumlah istilah yang merujuk kepada pengertian pendidik. Antaranya al-murabbi (pendidik), al-mu’allīm (pengajar), al-muzakki (orang yang melakukan pembinaan mental dan sikap yang mulia), al-muaddib (orang yang memiliki akhlak dan sopan santun), al-mursyid (orang yang selalu berdoa kepada Allah), al-ustaż (guru), ulū al-albāb (orang yang memiliki daya fikir, daya żikir dan spiritual), ulū al-nuhā, al-faqih (orang yang memiliki pengetahuan agama yang mendalam). “Tanpa murabbi, tiadalah aku mengenal Rabbi” merupakan satu indikator melihatkan kepada kita betapa agungnya tugas seorang guru.

 

Nur Irdina Hakimah binti NorAzali,

Jawatankuasa Kajian dan Informasi Pembina Malaysia,

Ketua Editor Pena Ar-Rashid

 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts