Keras suara Ustaz Ismail kali ini. Kerutan di dahinya menunjukkan betapa serius dia berteriak meniru gaya panglima Islam Tariq bin Ziyad sewaktu berusaha menawan Andalusia.
“Wahai saudaraku! Laut di belakangmu, manakala musuh di hadapanmu. Ini bererti kita tidak punya pilihan lain. Samada kita mencapai kemenangan ataupun kita mendapat syahid. Allahuakbar!”
Tangannya diangkat mendepa kelangit sebagai tanda ajakan kepada semua 7000 tentera muslim yang baru selesai menyeberangi Selat Gybraltaar. Meskipun yang ada dihadapan beliau hanya 30 orang pemuda dan remaja yang menyertai program kali ini.
Sesekali beliau menunjuk-nunjuk ke arah puing-puing kayu yang sebahagiannya ditenggelami air untuk memberi gambaran tinggalan kapal-kapal yang telah dibakar oleh Panglima Tariq. Awan mendung yang menaungi Laut Pantai Remis hari itu menimbulkaan lagi kesan khas perang persis bantuan dari ribuan para malaikat yang diutus Allah sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam surah Al-Anfal.
Kisah-kisah pembukaan Antoqiah, Andalusia dan juga Istanbul menjadi santapan rohani rohani dalam program kali ini. Begitu juga dengan sajian kisah tentera Badar yang dirakamkan secara langsung di dalam Al-Quran. Kesemuanya kisah -kisah ini menunjukkan kehebatan generasi-generasi yang tahan diuji ini.
Aku masih khusyuk membelek hujung-hujung jari tanganku yang masih perit dan pedih akibat luka-luka kecil akibat menggali kepah dan remis sebentar tadi. Meskipun luka itu hanyalah garisan-garisan halus yang hampir tidak kelihatan, namun denyut dan pedihnya tetap dirasa apatah lagi bila terkena air laut yang masin bergaram. Memang patut tangan Pak Udin, orang tempatan yang mengajar kami mencari remis dan kepah hari itu kasar dan keras tapak tangannya. 15 tahun menyara keluarganya dengan hasil pencarian kerang dan siput ini pasti membuatkan sudah tidak ada ruang untuk tangannya dilukai oleh kulit-kulit kerang dan kepah yang berceracak melindungi lantai pantai ini.
Luka-luka pada jari tanganku kali ini bukan sahaja mengajar aku kesusahan mencari spesis ini, tetapi lebih dari itu ia seolah-olah menghantar rangsangan kepada sel-sel otak yang akhirnya menyambungkan neuron untuk memproses maklumat penting yang mesti disimpan dan dihayati dengan sebaiknya. Betapa si pencari kerang ini telah mendidik kesemua 30 orang pemuda dan remaja yang bersamanya hari ini tentang amal dakwah seoraang dai.
Ya, kepah dan remis itu ibarat nilai kebaikan yang harus kita cari dalam selut lumpur jahiliyah moden, dibersihkan dari lumpur-lumpur liberal mahupun pluralisme sebelum di jual atau disajikan kepada masyarakat. Tidak ada nilai kepada Allah swt jika sesuatu kebaikan itu disandarkan kepada kemanusiaan semata-mata tanpa didasari oleh iman dan islam. Pertembungan hari ini menyaksikan bagaimana nilai-nilai kebaikan seperti hak asasi manusia diangkat dan diagungkan dengan menafikan nilai dan hak islam di dalamnya. Sehingga wujud muslim yang mengagungkan hak asasi manusia sehingga melanggar hak islam. Memperjuangkan kebebasan sehingga menafikan hak islam untuk ditaati perintah dan seruannya.
Perjuangan untuk mengangkat nilai-nilai islam ini tidak pernah dihiasi dengan karpet merah. Sinonim dengan si pencari kerang yang harus mengharung selut dan lumpur yang boleh membunuhnya. Pun begitu, si pencari kerang tidak pernah membawa selut dan lumpu itu ke rumahnya apatah lagi memalitkan lumpur tersebut kepada orang ramai yang berkerumun memilih kerang untuk dibeli. Bagi pendakwah lumpur dan selut mungkar itu perlu diredah jua, namun tetap ia tidak lupa untuk sentiasa kembali kepada Allah bagi membersihkan diri dan terus tampil dalam masyarakat sebagai qudwah yang bersih dan baik.
Aku melepaskan pandanganku ke arah laut yang semakin surut. Lantai laut yang dipenuhi dengan selut dan lumpur itu semakin meluas. Namun aku yakin, dalam selut dan lumpur itu sebenarnya masih banyak isi-isi berharga yang perlu di gali dan di bawa keluar. Sepertimana aku juga yakin, dalam hiruk pikuk suasana masyarakat kini, masih banyak kebaikan dan nilai-nilai islam yang boleh diketengahkan untuk menjadi contoh dan ikutan ramai.
Cikgu Asmadi bin Abdul Samad
Sumber: http://isma.org.my/v2/kisah-si-pencari-kerang/