Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) minggu lalu amat membanggakan. Walaupun pelajar terpaksa meneruskan pengajian di rumah, peratusan pencapaian tetap meningkat. Selepas ini, mereka perlu mengorak langkah ke peringkat seterusnya dalam bidang diminati, sesuai kondisi diri masing-masing.
Sebenarnya, apa sahaja keputusan peperiksaan dalam kehidupan hanyalah ‘sempena.’ Begitu juga cita-cita kerjaya diimpikan. Hakikatnya, kita dituntut menjadi ‘terlebih baik’ dalam apa juga bidang diceburi, walau apa pun keputusan diperoleh.
Ini jelas ditegaskan dalam firman Allah SWT: “Dialah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah antara kamu lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang bertaubat).” (Al-Mulk: 2)
Anjuran menjadi golongan ‘ahsan’ atau ‘terlebih baik’ dalam sesuatu urusan banyak dinyatakan dalam al-Quran seperti ayat ke-125 dalam surah al-Nisa’; al-An’am (152); Hud (97); al-Nahl (125); al-Isra’ (34 dan 53); al-Kahfi (7 dan 30); al-Mukminun (96); al-Qasas (77); al-Ankabut (46); Fussilat (33) dan al-Ahqaf (16).
Ia menunjukkan kita dituntut sentiasa meletakkan posisi diri untuk menjadi terlebih baik sama ada dalam perbuatan, pertuturan dan perancangan dalam sesuatu urusan.
Kayu ukur ‘terlebih baik’ ini pula dirujuk silang dengan firman Allah SWT: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan sia-sia dan hiburan melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” (Al-An’am: 32)
Penghujung ayat ke-169 Surah al-A’raf; Yusuf (109) dan al-Nahl (30) juga senada menyatakan akhirat itu terlebih baik berbanding kehidupan dunia. Kedudukan akhirat diperteguhkan lagi pada ayat ke-38 surah al-Taubat, sekali gus selari dengan ayat ke-77 Surah al-Nisa’; al-Ra’d (26); al-‘Ankabut (64); al-Ahzab (29); Ghafir (39) dan Zukhruf (35).
Kembali kepada ayat ke-2 surah al-Mulk, Imam al-Razi dalam Mafatih al-Ghayb menghuraikan maksud ‘lebih baik amalnya’ sebagai amalan mempunyai dua ciri sekali gus yakni amalan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan sowab (benar), iaitu mengikut petunjuk sunah Rasulullah SAW.
Beliau juga menukilkan riwayat daripada Qatadah merujuk Rasulullah SAW mengenai hal ini, maka Baginda bersabda: “Iaitu amalan berpadu antara akal paling sempurna dengan perasaan sangat takut kepada Allah (yakni takwa) serta amat berwaspada dengan segala suruhan dan larangan-Nya.”
Imam al-Razi seterusnya memetik riwayat daripada al-Hasan menyebutkan ‘lebih baik amalnya’ merujuk golongan yang fokusnya keakhiratan dengan bersikap zuhud terhadap dunia.
Fokus keakhiratan ini amat identik dengan pedoman Nabi Muhammad SAW seperti diriwayatkan Imam al-Tabarani dalam al-Awsat, iaitu golongan paling dicintai Allah ialah mereka paling membawa kemanfaatan kepada manusia.
Riwayat daripada al-Hakim pula menyatakan Allah SWT sentiasa akan membantu hamba-Nya yang sentiasa membantu saudaranya lain. Baginda juga bersabda dalam hadis diriwayatkan Ahmad dan al-Hakim bahawa sesiapa mampu memberi manfaat kepada saudaranya, maka lakukanlah yang demikian itu.
Dengan fokus keakhiratan ini, maka ‘terlebih penting’ ialah berkenaan aspek ‘kefungsian’ setiap individu supaya kekal dalam keadaan ‘sejahtera lagi mensejahterakan’ orang lain supaya kita dapat menjadi ‘terlebih baik’ seperti dinyatakan dalam sorotan wahyu Ilahi.
Prinsip kefungsian inilah seharusnya menjadi tonggak utama dalam melakari cita-cita masa depan walau apapun kerjaya dipilih kelak. Ada kerjaya dipandang tinggi dengan gaji lumayan, begitu juga sebaliknya. Itu semua hanya ‘sempena’ dalam meniti kehidupan sementara di dunia.
Paling penting, kita tetap menjadi ‘terlebih baik’ dalam apa jua lapangan diceburi dengan menjalankan kefungsian mengekalkan kesejahteraan umat sejagat. Inilah titik pertemuan kita semua walaupun keputusan peperiksaan dan hala tuju masa depan berbeza.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Pusat Kajian al-Quran dan al-Sunnah,
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)