Kitalah harapan Islam

Egypt protest - AA

 

Realiti

Mutakhir ini, kita banyak menyaksikan pelbagai tragedi umat yang menyayat hati dek keruntuhan jati diri umat Islam . Di dada-dada akhbar, secara amnya kita melihat maruah saudara kita diinjak, dihina, begitu mudah nyawa umat Islam ditebas, wanita-wanita diperlakukan dengan tidak sewenang-wenangnya, kanak- kanak diseksa, dipenjara malah dibunuh.

Di Malaysia pula lain ceritanya. Wujud suara-suara sumbang melaungkan hak asasi bertuhankan nafsu. Buang bayi, keruntuhan akhlak, zina, lumba haram, dadah dan banyak lagi melibatkan umat Islam khususnya di kalangan pemuda!

Ditambah pula kini kita dapat melihat kian banyak anasir dan pembawa agenda batil yang semakin berani menghalang tertegaknya kebenaran dan kebaikan di muka bumi Allah ini khususnya di bumi Malaysia. Sebagai contoh dalam isu Dr Zakir Naik yang merupakan pendakwah terkemuka dunia namun dipertikai oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab.

Mengapa ini terjadi? Seakannya umat Islam lupa bahawa dahulu agama ini membentuk satu peradaban unggul menguasai dua pertiga dunia membentuk ustaziyatul alam.

Kita perlu menyedari bahawa umat Islam yang pada zahirnya merdeka, namun rupanya tidak! Ini kerana kita masih dijajah secara halus, atau apa yang kita panggil sebagai neokolonisme yang merupakan satu bentuk penjajahan alaf baru. Ini lantaran berjayanya usaha musuh-musuh Allah dalam menjauhkan manusia daripada mengenal manhaj ilahi. Manusia hari ini kian jauh daripada Allah. Penyakit wahantelah berleluasa dan menular ke dalam setiap jiwa, mencengkam, sebati dalam jiwa dan lahirlah masyarakat Islam yang angkanya berbillion tapi tiada kekuatan untuk memandu dunia dengan manhaj Islam.

Rasulullah SAW bersabda:

Hampir tiba masanya kamu dikerumuni oleh manusia seperti mana orang-orang mengerumuni sesuatu hidangan” Berkata seorang sahabat, “Adakah ia lantaran pada waktu kita yang sedikit?” Nabi menjawab, “Tidak, sebaliknya kamu ramai tetapi kamu menjadi seperti buih ketika berlaku banjir. Allah mencabutkan rasa gerun daripada hati musuhmu dan memasukkan perasaan wahan ke dalam hatimu.” Sahabat-sahabat bertanya, “Apakah itu wahan?” Bersabda nabi, “Cintakan dunia dan takutkan mati.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Syeikh Said Hawa dalam al-Madkhal Ila Dakwah al-Ikhwan Al-Muslimin berkata:

“Sejak runtuhnya kerajaan Uthmaniyah di Turki, umat Islam menjadi seperti yang disebutkan oleh hadis ini. Inilah penyakit yang menyerang umat Islam pada hari ini. Umat kehilangan kekuatan sehingga menjadi ringan dan terus hanyut dibawa arus. Bagaimanakah cara bagi menghentikan keadaan ini? Kita sebenarnya bertanggungjawab menerapkan nilai kebenaran pada umat dan seterusnya memproses umat ini sehingga mereka mempunyai nilai-nilai Islam yang kukuh, yang memampukan mereka melahirkan arus mereka sendiri.”

Alangkah pedih rasa hati melihat pabila umat ini diruntun pelbagai tribulasi, rintangan malah penyelewengan bahkan kita sendiri menyaksikan bahawa Islam dalam diri kebanyakan manusia itu hanya tinggal pada “bin” atau ‘binti” tanpa perilaku yang mencerminkan identiti.

Masihkah ada sinar cahaya buat Islam?

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُون

Maksudnya: “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Saff: 8)

Ya, apa yang saya cuba ketengahkan di sini adalah apabila terbentuk tamadun Islam yang unggul dan kemudiannya runtuh pada tahun 1924, sebenarnya masih ada sinar harapan, kerana sejarah ini tidak akan pupus tanpa meninggalkan kesan dan warisan pada generasi seterusnya.

Walau ramai yang terbuai dengan bentuk jahiliyah moden, namun ada segolongan manusia yang besar hatinya, diberi petunjuk untuk menjadi agen kebangkitan umah. Mereka berusaha bersungguh-sungguh berusaha membangun batu bata daripada runtuhan ini. Tribulasi yang melanda malah menjadikan mereka lebih yakin dan lebih tsabat dalam menempuh jalan ini demi menegakkan manhaj yang unggul. Ditambah lagi dengan pertolongan Allah pada hambanya yang beriman dan berusaha menyebarkan agama ini.

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Muhammad: 7)

Inilah janji Allah yang pasti

Jawapannya adalah kita kembali kepada ketulenan Islam itu sendiri, kerana tiada manhaj lain yang mampu memberi rahmat pada sekalian alam melainkan Islam dan sesungguhnya hanya apabila kembali kepada Islam yang sebenar kita mampu berinteraksi dengan fitrah, lantaran itu memberi makna bebas yang hakiki.

Sepertimana kata-kata Rabi’ bin Amir kepada panglima Parsi, Rustum:

“Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan siapa saja yang Dia kehendaki daripada penghambaan diri kepada sesama manusia agar mereka menghambakan diri hanya kepada Rabb manusia, dan mengeluarkan mereka dari dunia yang sempit menuju akhirat yang luas, dan mengeluarkan mereka dari kezaliman agama-agama yang ada kepada keadilan Islam. Maka Dia mengutus kami membawa agama-Nya untuk kami sebarkan kepada manusia. Barangsiapa menerima dakwah kami, kami akan merasa senang menerimanya dan kami akan pulang meninggalkannya, tetapi barangsiapa menolak kami akan memeranginya selama-lamanya hingga kami berhasil memperoleh apa yang dijanjikan Allah kepada kami.”

Melalui jalan pejuang-pejuang terdahulu

Apabila saya menerangkan mengenai harapan ini, maka wujudlah persoalan seterusnya, iaitu bagaimana hendak mengembalikan kemegahan Islam yang gilang-gemilang suatu masa dahulu? Itulah TARBIYAH. Dengan tarbiyah kita kembali kepada fitrah. Tarbiyah itu adalah perubahan, daripada biasa ke luar biasa, daripada keterbatasan kepada keluasan, daripada kemurungan kepada bahagia. Dengan tarbiyah kita mampu melahirkan kader yang bisa mempimpin.

Namun berjalan di atas jalan ini akan senantiasa diuji. Namun itulah satu-satunya jalan yang perlu ditempuh oleh pencinta Ilahi. Tatkala kita tersungkur dek aral yang melintang maka mari kita susuri dan insafi kisah Nabi Nuh as yang sangat konsisten malah komited sepanjang 950 tahun menyeru tanpa segan silu! Maka formula untuk mengatasinya tak lain dan tak bukan, menempuhnya dan melaluinya dengan penuh sabar dan teruskan berdakwah dan berjihad. Nescaya pertolongan Allah akan sampai. Insya-Allah.

Mungkin saya boleh simpulkan dakwah dan tarbiyah ini dalam satu perumpamaan iaitu perumpamaan batu bata yang dinukilkan dalam buku Quantum tarbiyah oleh Solikhin Abu Izzuddin dan saya olah sedikit ayat beliau:

“Proses tarbiyah seperti orang yang mencetak batu bata. Dimulakan dengan mencari tanah hingga memprosesnya menjadi batu bata yang siap untuk menjadi penyusun bangunan yang kukuh dan kuat. Pertama, mencari tanah yang baik. Dan ia perlulah diasingkan dengan teliti daripada kotoran dan kerikil. Kemudian baru ia diolah agar menjadi kuat bahkan dengan dipijak-pijak. Setelah itu diberi bentuk mengikut ukuran yang standard dan kemudian dibakar. Saat dibakar ada yang jadi matang dan menjadi. Ada pula yang pecah. Masing-masing menunjukkan kualiti bahan batu bata itu. Batu bata yang baik adalah batu bata yang kuat dan siap menjadi bahan bangunan yang kukuh dan indah. Ia siap untuk dipasang di mana sahaja mengikut kehendak arkitek.”

Penutup

Akhirnya di sebalik reruntuhan peradaban Islam masa kini, kita seharusnya sedar, yakin dan percaya bahawasanya tanggungjawab mengembalikan Islam pada zaman gemilang adalah tersandar di bahu-bahu kita. Ya, saya dan kamu!

Jika kita malas adau undur diri maka ingatlah bahawa dakwah akan terus berjalan, dengan kita atau tanpa kita. Kalau tidak bersama dakwah maka kita akan bersama dengan yang lain. Kalau tidak bersama dengan dakwah, kita mahu bersama siapa?! Dan hanya dengan melalui dakwah dan tarbiyah kita mampu merealisasikannya. Sematkan di minda bahawa masa depan Islam di tangan kita.

Kerana dengan berusaha memartabatkan manhaj Islam, kita sebenarnya merealisasikan syahadah kita seperti mana yang dinukilkan oleh Sayyid Qutb:

“Pengakuan ini pula hanya akan diterima apabila kita mengesakan uluhiyyah Allah dan mengakui bahawa hanya Allah berhak menentukan manhaj bagi kehidupan manusia, seterusnya berusaha untuk mempraktikkan manhaj yang dibawa oleh Muhammad ini.”

Dr Nur Natasya Sherimim

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/04/tarbiyah-kitalah-harapan-islam/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts