ULAMA-ULAMA dari Nusantara yang berada di Mekah telah menjadi perancang utama (mastermind) dalam merangka strategi-strategi membebaskan wilayah-wilayah di Nusantara dari cengkaman Belanda, British dan Siam. Sebab itu sebahagian dari mereka seperti Syeikh Samad Al-Falimbani dan Syeikh Daud Al-Fathani sering berhijrah dari satu wilayah ke wilayah yang lain di Nusantara. Selain daripada menyebarkan ilmu, mereka membangkitkan semangat menentang musuh-musuh Islam.
Dalam merancang strategi-strategi tersebut, perhubungan melalui surat giat dijalankan bagi menyampaikan mesej-mesej sulit. Sebagai contoh, Syeikh Wan Abd Qadir (Mufti Kedah) telah mengutuskan surat kepada Syeikh Samad Al-Falimbani di Mekah bagi menyampaikan maklumat bahawa Kedah dan Pattani sedang berperang dengan Siam. Oleh itu, beberapa orang ulama di Mekah termasuk Syeikh Samad bergegas pulang untuk membantu angkatan perang Kedah-Patani.
Namun, dalam beberapa keadaan, musuh mudah menyelinap melalui pengkhianat-pengkhianat. Beberapa surat-surat sulit dari para ulama dapat dipintas oleh musuh. Sebagai contoh, surat Syeikh Samad kepada Sultan Mataram telah jatuh ke tangan Belanda. Akibat pengkhianatan juga, Syeikh Samad Al Falimbani, Syeikh Arsyad Al Banjari dan Syeikh Wahab Bugis pernah ditangkap oleh Belanda sewaktu mereka bertiga pergi ke Betawi. Namun disebabkan kecerdikan mereka, Belanda terpaksa melepaskan mereka bertiga.
Bagi menangani masalah ini, salah seorang perancang yang genius, iaitu Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani telah mencipta kod-kod rahsia sebagai tulisan dalam persuratan. Pada zaman itu, hanya sekitar 36 orang sahaja yang memahami tulisan ini. Antaranya Menteri Besar Kelantan iaitu Nik Mahmud. Maka surat-surat sulit ditulis menggunakan tulisan ini. Sekiranya ia jatuh ke tangan musuh, maka mereka tidak akan memahami sebarang kandungan yang terdapat pada surat itu.
Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam
Sumber: https://www.facebook.com/hasan.yusof.5/posts/10205093930386600
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)