BEIRUT – Ratusan ribu kanak-kanak terus menderita kelaparan di Lubnan setelah insiden letupan Pelabuhan Beirut tahun lalu, selain krisis ekonomi yang mencengkam negara itu, menurut sebuah laporan.
Save the Children dalam analisis terbaharu mendakwa, sejak insiden letupan pada 4 Ogos lalu, jurang kewangan yang diperlukan sesebuah keluarga untuk kelangsungan asas hidup meningkat bagi hampir setiap peringkat golongan.
Letupan yang mengorbankan lebih 200 nyawa dan mencederakan 6,500 yang lain memburukkan lagi krisis ekonomi negara itu, apabila nilai mata wangnya susut sehingga 90 peratus dalam tempoh kurang dua tahun.
Keadaan semakin buruk selepas wabak pandemik COVID-19 merebak ke negara berkenaan.
Kerajaan yang berdepan kekurangan wang menghadapi masalah bahan bakar, bekalan perubatan dan barangan asas yang mengakibatkan kenaikan harga.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebilangan besar keluarga Lubnan menghadapi gangguan bekalan elektrik setiap hari, sementara jutaan yang lain di ambang kehilangan akses air bersih.
“Ratusan ribu kanak-kanak akan tidur dalam keadaan lapar ekoran tidak menjamah sebarang makanan pada hari itu.
“Ada keluarga yang tidak dapat menggunakan elektrik untuk menghidupkan peti sejuk atau air panas atau ubatan yang mereka perlukan untuk merawat penyakit.
“Semakin keadaan ini berlanjutan, besar kemungkinan kanak-kanak akan mengalami kekurangan zat makanan yang akhirnya boleh menyebabkan kematian,” kata Pengarah Save the Children, Jennifer Moorehead.
Analisis itu mendapati bahawa banyak keluarga di Lubnan memilih untuk mengurangkan perbelanjaan makanan, pendidikan dan perubatan, malah ada yang terpaksa menjual perabot atau menanggung hutang.
Kumpulan itu berkata, sekitar 47 peratus mereka tidak mampu membeli barang keperluan seperti minyak masak, lampin pakai buang dan bahan bakar. – Agensi
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam
PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)