RASANYA ramai yang runsing dan mengulas berkenaan kebenaran yang diberikan oleh mahkamah kepada penganut agama Kristian untuk mengunakan kalimah Allah dan beberapa kalimah yang lain. Pelbagai sudut boleh diulas; dari segi undang-undang, dari segi mainan politik, dari segi ancaman kepada Islam, dari segi toleransi agama dan sebagainya. Setiap orang ada pandangannya, jadi terpulanglah.
2. Saya kongsikan sedikit pengalaman saya berdialog ringkas bersama beberapa orang penganut agama Kristian dalam satu forum. Antara soalan yang ditanya kepada saya adalah kenapa NGO Islam seperti ISMA risau sangat dengan isu kalimah Allah dan sering bimbang bahawa ada usaha untuk mengkristiankan negara. Sedangkan ia tidak begitu menurut mereka.
3. Saya kata usaha untuk ubah status negara adalah isu yang ‘real’, terpulang sama ada nak mengaku atau tidak. Saya pun tidak berminat untuk memanjangkan isu itu. Saya pernah bentangkan satu kertas kerja dalam satu seminar anjuran Jais beberapa tahun lepas tentang isu ini. Kertas kerjanya boleh dirujuk bagi yang berminat untuk tahu lebih lanjut.
4. Tentang kalimah Allah, seperti yang kita maklum, orang Kristian yang bukan Melayu tidak menggunakan Bible bahasa Melayu. Mereka pun tidak baca surat khabar Melayu, tidak menonton drama Melayu, tidak bertutur bahasa Melayu pun sesama mereka. Jadi kenapa mereka mahu baca Bible bahasa Melayu secara tiba-tiba sedangkan mereka biasa menggunakan bahasa lain?
5. Jika mereka mahu menggunakan Bible bahasa Melayu pun kenapa mahu guna kalimah Allah sedangkan ia bukan kalimah bahasa Melayu. Mereka jawab di sini bahawa mereka nak bezakan antara Lord dan God. Satu guna Tuhan, satu guna Allah. Saya kata ada banyak lagi pilihan dalam bahasa Melayu yang mereka boleh guna; seperti Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Agong, Yang Maha Besar dan sebagainya. Itu bahasa Melayu. Allah bukan perkataan bahasa Melayu.
6. Dialog bersambung di luar forum di meja makan, saya bertanya kepada mereka, apa nama tuhan orang Kristian sebenarnya? Agama Hindu dan agama lain semua ada nama tuhan mereka sendiri. Agama Kristian sepatutnya ada nama tuhan juga, jadi apakah nama tuhan bagi penganut agama Kristian. Di sini mereka tak jawab.
7. Isu nama tuhan Kristian adalah isu besar dalam agama Kristian. Ada yang mendakwa Yahweh, ada mendakwah Yehowah, ada yang mendakwa Adonai dan sebagainya. Tak kisahlah apa juga nama pun, sepatutnya gunakanlah nama tuhan itu. Tidak perlu bersusah payah untuk meminjam nama tuhan agama lain sehingga menimbulkan ketegangan bukan sahaja di kalangan penganut agama selain Kristian, bahkan di kalangan penganut agama Krsitian sendiri.
8. Tetapi pendakyah Kristian memang akan meminjam nama tuhan agama lain untuk tujuan dakyah agama mereka. Ini memang strategi, dan bukannya berlaku dalam bentuk yang tidak dirancang. Kenapa begitu? Kerana bila digunakan nama tuhan agama lain, dakyah itu akan lebih mudah bagi mereka untuk menarik penganut agama lain ke agama Kristian.
9. Inilah strategi yang dipanggil ‘kontekstualisasi’. ia bermaksud secara mudahnya, menggunakan perbendaharaan kata atau istilah atau perlambangan agama/budaya bangsa lain ke dalam agama Kristian untuk tujuan menghampirkan minda penganut agama lain tersebut kepada agama Kristian bagi tujuan menariknya ke agama Kristian.
10. Dalam dakyah Kristian, ia berlaku dengan begitu terancang dan halus. Beberapa contoh yang dapat dikongsikan:
a. Menggunakan perkataan al-Kitab bagi menggantikan perkataan Bible atau Injil. Gereja yang mula dipanggil sebagai Rumah Allah. Begitu juga seperti menggunakan perkataan Maulid Isa bagi sambutan kelahiran Isa as. Menggunakan perkataan selawat menggantikan nyanyian gereja mereka dan sebagainya. Dan perkataan-perkataan ini akan makin bertambah dari hari ke hari.
b. Melakarkan wajah Maryam dan Nabi Isa as dengan wajah yang menyerupai kaum tertentu. Di Afrika, Maryam dilakarkan berkulit gelap, berbibir tebal. Di benua India, Maryam dipakaikan sari. Di Eropah lain pula wajahnya. Dan begitulah seterusnya.
c. Menggunakan perkataan Iswar/Iswara yang merupakan nama tuhan tempatan satu kaum di benua India sebagai terjemahan kepada Lord/God. Begitulah juga sebenarnya dalam kes di bumi Melayu yang menggunakan kalimah Allah sebagai nama tuhan.
11. Dari situ, kita dapat faham bahawa tujuan orang Kristian bermatian-matian ingin menggunakan kalimah Allah adalah untuk misi Kristianisasi itu sendiri. Tidak ada kaitan dengan semangat patriotik untuk bertutur bahasa Melayu, tidak ada kaitan dengan kekeliruan nama tuhan mereka, tidak ada kaitan dengan isu membetulkan ‘kesilapan’ penghakiman mahkamah dan tidak ada kaitan dengan apa pun kecuali hanya untuk dakyah Kristian. Mereka akan gunakan apa juga cara untuk itu. Sekarang mereka menggunakan saluran undang-undang. Masa akan datang mungkin mereka akan paksakan dengan cara lain. Dan sebelum ini pun mereka gunakan juga kalimah Allah secara senyap-senyap.
12. Dengan itu, tindakan sewajarnya dari umat Islam adalah menangani isu dakyah Kristian dan gejala murtad itu sendiri. Sebarang usaha dalam isu perundangan hendaklah dijuruskan ke arah menghalang dakyah Kristian itu. Sebarang usaha dialog antara agama juga mesti menjurus ke arah itu. Jangan bazirkan tenaga melakukan sesuatu yang mungkin tidak menyelesaikan akar umbi masalah.
Kita kena faham gerakan musuh dengan baik; yang tersurat dan tersirat. Saidina Umar ra pernah mengingatkan:
ينقض عري الاسلام عروة عروة اذا نشاء في الاسلام من لا يعرف الجاهلية
“Akan terungkai rungkaian Islam sedikit demi sedikit, apabila membesar di dalam Islam generasi yang tidak faham jahiliah.”
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Timbalan Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)