BANGI – Kualiti pendidikan agama dan akhlak yang rendah antara faktor yang memudahkan perkembangan ajaran salah dalam masyarakat, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK) IKIM, Dr Mohd Farid Mohd Shahran.
Beliau berkata, apabila seseorang tidak dididik dengan ilmu dan adab yang betul berasaskan sumber ilmu serta pembimbing sebenar, mereka akan terkeliru dalam pandangan alam, sekali gus mempunyai kecenderungan berfikir dan bertindak di luar kebiasaan masyarakat.
Dalam hubungan ini, katanya, konotasi makna ‘kurang ajar’ dalam bahasa Melayu bukan sahaja merujuk kepada kurangnya tahap pendidikan formal dicapai seseorang, tetapi merujuk kepada cacatnya ilmu berkait dengan nilai akhlak dan adab.
“Dari sudut pembentukan pemikiran, pendidikan agama yang betul sudah sekian lama berperanan sebagai mekanisme pertahanan penting masyarakat Islam untuk menyaring apa sahaja aliran betul dan salah yang datang kepada mereka.
“Alat pertahanan ini terbina dengan kekuatan pendidikan Islam yang disemai secara teliti melalui pendidikan agama yang berjalan di rumah, masjid dan surau, madrasah serta sekolah.
“Sistem pertahanan inilah yang ternyata sudah menjadi lemah pada sebahagian kelompok masyarakat sehingga ada tidak mampu menyaring ajaran salah yang tersebar dan akhirnya pasrah menuruti ajaran sesat ini,” katanya seperti menulis di Berita Harian.
Pada masa sama, Dr Mohd Farid berkata, faktor lain mempengaruhi ajaran salah adalah perubahan sistem nilai masyarakat yang mengakibatkan lunturnya sensitiviti masyarakat untuk segera menolak dan melawan penyebarannya.
Disebabkan pengaruh falsafah pemikiran luar yang sekular, beliau berkata, nilai dipegang masyarakat sudah menjadi terbuka.
Justeru, katanya, sangat mudah untuk menyesuaikan pandangan ‘berbeza’ atas nama kepelbagaian dan kebebasan bersuara.
“Harvey Cox, seorang pemikir Kristian dalam karyanya, The Secular City mengatakan ‘pluralisme dan toleransi (dengan makna keterbukaan) adalah anak-anak lahir yang daripada sekularisasi. Kedua-duanya mencerminkan ketidakrelaan masyarakat (sekular) untuk memaksa sesuatu kerangka pandangan alam ke atas warganya.’
“Kesannya, ahli masyarakat menjadi semakin individualistik dan tidak sensitif dengan pemikiran berbeza dengan pegangan majoriti ahli masyarakat. Kepada mereka membawa pemikiran berbeza pula, mereka tidak lagi ambil kisah dengan pandangan orang lain terhadap mereka sehingga runtuhnya apa yang kenali dalam ilmu kemasyarakatan sebagai sistem kawalan sosial (social control).
“Jika sebelum ini tahap sensitiviti tinggi ini tercermin dalam bentuk teguran kepada seseorang berbeza yang datang daripada pelbagai pihak seperti jiran tetangga, saudara-mara dan sahabat-handai, kini semuanya luntur sedikit demi sedikit atas nama ‘hak kebebasan peribadi,” katanya.
Jelasnya, antara tindakan boleh dilakukan bagi mengembalikan sensitiviti masyarakat mengenai ajaran salah adalah melalui pengukuhan sistem pendidikan agama khususnya berkaitan akidah.
“Pendidikan akidah tidak seharusnya hanya menekankan kepercayaan semata-mata, tetapi harus menerapkan pengajaran hujah dan dalil mantap mengenai prinsip agama sebagai perisai untuk umat Islam menghadapi ajaran salah,” katanya. -Ismaweb
www.indahnyaislam.my
—-—
Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:
https://www.billplz.com/indahnyaislam
MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)